88 research outputs found

    Nilai akademik dalam laman web: Satu analisis penggunaan WWW dalam persekitaran pembelajaran di Universiti Utara Malaysia

    Get PDF
    Internet merupakan medium maklumat yang pesat digunakan dalam persekitaran pendidikan khususnya di IPT. Penyediaan makmal komputer IPT yang dilengkapi kemudahan mengakses Internet banyak membantu aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam dan luar kelas. Kemudahan ini sentiasa digunakan oleh pelajar setiap hari untuk mencari maklumat dari pelbagai laman web yang ada di Internet. Namun, apakah laman web yang diakses oleh pelajar benar-benar menyediakan nilai akademik untuk pembelajaran mereka? Kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti nilai akademik yang ditawarkan dalam laman web yang dikunjungi pelajar di makmal komputer Universiti. Sejumlah 126,711 buah laman web diperolehi dari 10 buah komputer kajian dari lima buah makmal komputer Universiti Utara Malaysia. Dari jumlah tersebut, 500 buah laman web diambil sebagai sampel dan dijalankan analisis kandungan. Hasil kajian mendapati bahawa hanya 30.8% laman web dikategorikan sebagai sesuai untuk penyelidikan dan pembelajaran. Laman web dengan domain .com pula mencatat kunjungan tertinggi iaitu 81.1%. Namun begitu, nilai pendidikan dari laman web tersebut didapati mempunyai nilai akademik yang rendah (min=1.42) dan kurang sesuai untuk tujuan pembelajaran di Universiti

    Penggunaan dan Pemuasan Kehendak Terhadap World Wide Web (WWW) dalam Kalangan Pelajar Universiti Utara Malaysia

    Get PDF
    Kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti sama ada sikap dan pandangan pelajar Universiti Utara Malaysia terhadap media World Wide Web (WWW) mcmpengaruhi penggunaan media berkenaan dalam persekitaran pembelajaran di Universiti. Berasaskan teori penggunaan dan pemuasan kehendak (uses and gratifications theory), kajian ini dijalankan dalam tiga fasa iaitu menggunakan soalselidik bercetak, soalselidik berkomputer dan analisis kandungan ke atas laman web yang dikunjungi pelajar. Dalam fasa pertama kajian, sebanyak 353 orang pelajar telah menjawab instrumen soalselidik bercetak. Hasil kajian fasa ini mendapati bahawa kebanyakan pelajar percaya bahawa WWW merupakan media yang penting dalam pengajian mereka. Mereka juga mengakui bahawa WWW adalah sumber maklumat, komunikasi dan hiburan yang terbaik. Lapan motif penggunaan WWW dinyatakan oleh pelajar iaitu "penyelidikan dan pembelajaran", "mengakses hiburan dengan mudah", "komunikasi dan interaksi sosial", "mengisi masa lapang ketika bosan", "mengakses bahan yang sukar diperolehi", "mendapatkan bantuan teknikal dan maklumat produk", "mcngakses laman permainan dan seks" dan "transaksi pengguna dan membeli belah". Ujian korelasi yang dijalankan ke atas sikap terhadap WWW dan tahap kemahiran menggunakan WWW menunjukkan terdapat perkaitan positif yang signifikan dengan motif penggunaan WWW yang dinyatakan. Selain daripada itu, ujian-t yang dijalankan menunjukkan bahawa terdapat perbezaan di antara pelajar lelaki dan wanita dalam menggunakan WWW untuk "mengakses laman permainan dan seks" dan "transaksi pengguna dan membeli belah". Sebanyak 296 responden fasa pertama telah menjadi responden dalam fasa kedua kajian yang menggunakan instrumen soalselidik berkomputer. Lapan motif yang dinyatakan dikemukakan khusus untuk mengenalpasti tujuan utama pelajar berkenaan menggunakan WWW pada masa tersebut (motif yang ingin dipenuhi.- gratification sought). Fasa terakhir kajian adalah analisis kandungan ke atas laman web yang dikunjungi oleh responden dalam fasa kedua kajian untuk mendapatkan gambaran umum penggunaan sebenar medium tersebut. Sebanyak 126,711 buah laman web telah dikunjungi oleh pelajar. Dari jumlah tersebut, 500 laman web dipilih secara rawak untuk dianalisa oleh jurukod yang mahir mengenai WWW. Daripada sampel domain .com mencatatkan jumlah kunjungan paling tinggi (8l.1%) berbanding laman lain. Walau bagaimanapun laman web dalam domain.com ini dicatatkan mempunyai "kesesuaian pembelajaran akademik" yang rendah (min=1.42). Sungguhpun pelajar menyatakan bahawa tujuan utama mereka menggunakan WWW pada masa tersebut (kajian fasa kedua) adalah untuk "penyelidikan dan pembelajaran" (52.4:%), analisis oleh jurukod ke atas laman web yang dikunjungi mendapati bahawa kategori berkenaan hanya dikunjungi sebanyak 30.8% sahaja. Sebaliknya kategori penggunaan lain iaitu mengakses hiburan dengan mudah, "mendapatkan bantuan tcknikal dan maklumat produk", "mengisi masa lapang ketika bosan", "mengakses bahan yang sukar diperolehi" dan "mengakses laman permainan dan seks" pula mencatatkan peningkatan penggunaan yang tinggi. Kajian ini menunjukkan bahawa selain daripada penggunaan WVVW untuk tujuan akademik, pelajar-pelajar Universiti Utara Malaysia juga didapati menggunakan kemudahan tersebut untuk memenuhi keinginan personal mereka

    Gerai atau premis: Pengaruh medium untuk mengurangkan ketidakpastian dalam keputusan pembelian

    Get PDF
    Berpandukan kepada Teori Kekayaan Media, kajian ini bertujuan untuk melihat pengaruh jalinan antara medium sebagai elemen yang dapat mengukuhkan pengetahuan dan kefahaman pengguna mengenai produk perkomputeran yang akhirnya mempengaruhi keputusan pembelian mereka di gerai jualan dan premis perniagaan.Fokus diberikan kepada elemen risalah, media sosial, rakan-rakan, perniagaan alternatif dan perniagaan sasaran sebagai medium maklumat yang akan menjelaskan ketidakpastian pengguna tentang harga, jenama, kualiti, jaminan, fungsi dan reka bentuk produk. Kajian tinjauan keratan rentas dijalankan melalui edaran borang soal selidik terhadap 75 orang pengguna yang membeli produk perkomputeran di gerai jualan dan premis perniagaan.Analisis deskriptif menunjukkan jalinan antara risalah, perniagaan sasaran dan perniagaan alternatif adalah medium utama yang dapat mengurangkan ketidakpastian pengguna mengenai produk di gerai jualan.Manakala jalinan antara rakan-rakan, media sosial dan perniagaan sasaran menjadi keutamaan pengguna yang membeli di premis perniagaan. Kesimpulannya, wujud pengaruh antara jalinan pelbagai media dengan keputusan pembelian pengguna sama ada di gerai jualan atau premis perniagaan iaitu melalui maklumat-maklumat yang dapat mengukuhkan pengetahuan dan kefahaman pengguna mengenai produk

    Kesedaran Rakyat Malaysia Mengenai Rukun Negara Hanya Bermusim?: Kajian Infodemiologi Berasaskan Google Trends

    Get PDF
    Rukun Negara yang diisytiharkan pada tahun 1970 merupakan asas pembentukan negara bangsa Malaysia. Sepanjang setengah abad ini, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan masyarakat memahami, menghayati dan mengamalkan Rukun Negara. Selari dengan perkembangan dunia digital pada hari ini, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti kesedaran rakyat Malaysia berkaitan Rukun Negara dalam tempoh 5 tahun (2016-2020) yang diukur berdasarkan trend carian maklumat di aplikasi Google. Kajian ini juga bertujuan untuk mengenal pasti topik-topik berkaitan Rukun Negara yang menjadi fokus carian maklumat di Malaysia. Data kajian ini diperolehi daripada Google Trends, iaitu satu aplikasi yang menyediakan data raya tentang carian maklumat di Google. Graf trend kajian dan Jumlah Carian Relatif (JCR) dalam tempoh kajian dianalisis dengan menggunakan SPSS 22.0 secara deskriptif dan inferensi ANOVA dua-hala. Dapatan menunjukkan terdapat trend peningkatan carian maklumat Rukun Negara dalam tempoh kajian. Carian ini adalah berlaku sepanjang tahun namun meningkat ketara sepanjang tempoh bulan kemerdekaan dan senario yang berlaku dalam tahun-tahun tertentu. Carian tertinggi adalah pada bulan November 2020 yang selari dengan pemakluman Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2025 di media massa dan pelaksanaan sesi maklum balas rakyat.. Kajian ini juga mengenal pasti topik yang menunjukkan keprihatinan masyarakat terhadap Rukun Negara, yang berkaitan dengan kesan, matlamat, kepentingan dan kaedah penghayatan. Dapatan kajian ini diharap mampu memberi input kepada pihak berkepentingan untuk merangka pelbagai inisiatif bagi menyuburkan perpaduan di Malaysia

    THE PHENOMENON OF GOOGLE EFFECT, DIGITAL AMNESIA AND NOMOPHOBIA IN ACADEMIC PERSPECTIVE

    Get PDF
    This study aims to determine the behavior and perceptions of students about Google Effect, Digital Amnesia, and Nomophobia syndromes, among students. For this purpose, a quantitative approach is used through an online survey method using Google Form. The number of samples is 110 out of a total population of 636 students of Library and Information Science of UIN Ar-Raniry Banda Aceh. Samples were taken randomly for 5 days. The results are as follows; 84.5 % of students have used smartphones as a reminder, 70.9 % used as their external memory. Meanwhile, 73.6 % feel confused by information overload,78.9 % feel annoyed by hyperlinks, 51 % feel more motivated to answer questions,59 % feel more confident in discussing new things when a smartphone in hand, 78,2 % said that a smartphone can help in understanding the material being taught. In terms of perception, students stated that nomophobia, digital amnesia, and the Google effect are common phenomena in the digital age, 59.1 %, 88.1 %, and 69.1 % respectively. Based on the findings, it is recommended that longitudinal research is needed to examine the long-term effects of this phenomenon to find out whether the high dependence on smart technology will strengthen or weaken the human brain's ability to think and take action independently since it is rarely activated?

    Analisis psikometrik skala pengukuran pengurusan privasi komunikasi Facebook

    Get PDF
    Facebook merupakan platform komunikasi maya yang paling popular dalam kalangan pengguna media sosial di seluruh dunia. Kajian ini bertujuan mengenalpasti analisis psikometrik Skala Pengukuran Pengurusan Privasi Komunikasi Facebook versi terjemahan Bahasa Melayu. Kajian pertama melibatkan 145 pemilik akaun Facebook dalam kalangan penjawat awam di negeri Kedah yang ditentukan melalui kaedah persampelan rawak mudah. Borang soal selidik mengandungi maklumat demografi dan 18 item Skala Pengukuran Pengurusan Privasi Komunikasi Facebook yang diadaptasi daripada Skala Pengurusan Privasi Blog. Item asal skala dinilai menggunakan Analisis Faktor Penerokaan (EFA). Empat model hipotesis diuji bagi menilai susunan struktur skala terbaik berdasarkan Analisis Faktor Pengesahan (CFA). Dapatan EFA menunjukkan komponen Sempadan Pemilikan, Sempadan Hubungan dan Sempadan Kebolehtelapan dalam skala ini terbentuk berdasarkan 12 item yang masih menepati konsep asal Teori Pengurusan Privasi Komunikasi. Analisis CFA menunjukkan model multidimensi yang dibentuk mencapai keesahan konvergen dan ketepatan padanan yang baik. Kajian kedua melibatkan 138 orang pelajar Universiti Awam untuk menentukan kekukuhan skala kajian. Borang soal selidik secara dalam talian telah disebarkan yang mengandungi maklumat demografi, Skala Pengukuran Pengurusan Privasi Komunikasi Facebook dan Kesedaran Kendiri. Analisis Faktor Pengesahan (CFA) dalam kajian kedua menunjukkan model multidimensi tiga faktor Skala Pengukuran Pengurusan Privasi Komunikasi Facebook mencapai kebolehpercayaan, kesahan konvergen, kesahan diskriminan, kesahan nomologikal, dan kesahan prediktif yang baik. Kesimpulannya, Skala Pengukuran Pengurusan Privasi Komunikasi Facebook yang diterjemah ke Bahasa Melayu ini sesuai digunakan dalam konteks kajian di Malaysia

    Pemodelan penerimagunaan maklumat berkaitan Islam di Internet: Pengaplikasian Model Penerimaan Teknologi (TAM)

    Get PDF
    Model Penerimaan Teknologi (TAM) sering digunakan dalam kajian berkaitan pengaplikasian teknologi dalam masyarakat.Dalam konteks kajian berkaitan Internet, persepsi terhadap medium Internet, tahap keinginan menggunakan Internet dan tahap penggunaan Internet untuk berkaitan maklumat agama memerlukan penelitian secara empirikal.Artikel ini memfokuskan kepada tahap penerimagunaan maklumat dalam perspektif agama Islam di Internet berasaskan Model Penerimaan Teknologi (TAM). Seramai 1180 orang responden terdiri daripada pengguna Internet dari latar pendidikan agama Islam terlibat dalam kajian tinjauan cross sectional berasaskan borang soal selidik.Analisis Pemodelan Persamaan Struktur (SEM) digunakan untuk menentukan model hipotesis kajian yang dibentuk. Dapatan kajian menunjukkan bahawa golongan berpendidikan agama menerimaguna maklumat berkaitan Islam di Internet berdasarkan tanggapan bahawa Internet mudah diguna dan tanggapan Internet adalah berguna.Kesimpulannya, pengguna Internet daripada latar pendidikan agama telah dapat menerima penggunaan medium Internet sebagai medium komunikasi maklumat berkaitan Islam. Penerimaan ini menjadi petanda signifikan dalam menjelaskan kepentingan Internet sebagai medium komunikasi maklumat merentasi bidang ilmu

    Ketagihan internet di tempat kerja

    Get PDF
    Internet merupakan medium Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang paling pesat berkembang sejak ia diperkenalkan pada tahun 1974.Dalam tempoh 22 tahun sahaja Internet telah menjangkau sempadan geografi dan mewujudkan dunia maya yang kaya dengan pelbagai maklumat.Penggunaan Internet yang bebas tanpa kawalan dalam semua sektor pekerjaan bukan sahaja telah memberikan impak yang positif tetapi turut membawa bersama gejala negatif yang akhirnya menjadi beban kepada masyarakat di seluruh dunia.Ketagihan Internet merupakan masalah baru yang mula menular daripada masalah inidividu kepada masalah organisasi.Fenomena ini telah menyebabkan kemerosotan produktiviti dan keuntungan kepada organisasi di seluruh dunia.Kajian ini meneroka permasalahan ketagihan Internet di tempat kerja dengan objektif untuk mengenalpasti simptom-simptom yang wujud dalam kalangan pekerja di sektor awam.Sejumlah 300 responden yang berkhidmat dalam bidang akademik dan pentadbiran di Universiti Utara Malaysia telah dikemukakan borang soalselidik mengenai tahap ketagihan Internet mereka di tempat kerja.Sampel kajian ini diperolehi menggunakan kaedah persampelan rawak bersistematik.Ujian statistik deskriptif digunakan untuk memerihalkan bilangan dan peratusan ciri-ciri demografi dan penggunaan Internet yang berkaitan dengan tahap ketagihan Internet.Ujian Khi-Kuasa Dua dan Ujian-t juga digunakan untuk mengenalpasti perkaitan dan perbezaan di antara tahap ketagihan Internet dengan ciri-ciri demografi dan penggunaan Internet responden.Hasil kajian mendapati bahawa tahap ketagihan Internet dalam kalangan kakitangan Universiti Utara Malaysia kini berada pada tahap rendah.Walaupun begitu terdapat tanda-tanda tahap ketagihan ini semakin meningkat. Majoriti golongan yang menunjukkan peningkatan ketagihan Internet adalah lelaki yang belum berkahwin dengan purata umur 33 tahun dan berpengalaman menggunakan Internet kurang dari 6 tahun.Kakitangan yang terlibat dengan ketagihan Internet kebanyakannya adalah kakitangan akademik dan kumpulan sokongan pentadbiran yang mempunyai rutin kerja yang melibatkan penggunaan komputer serta menjadikan World Wide Web sebagai aplikasi utama mereka.Kebanyakan kakitangan ini menggunakan Internet untuk berkomunikasi, mengisi masa bosan, melepaskan tekanan kerja dan mendengar muzik.Beberapa masalah yang sering dihadapi akibat penggunaan Internet yang terlalu lama ialah keletihan, kesakitan pada anggota badan, hilang minat untuk melakukan aktiviti luar, hilang tumpuan kerja dan mempunyai masalah dengan pihak atasan mereka.Kajian ini jelas menunjukkan bahawa gejala ketagihan Internet akan menjadi masalah besar dalam organisasi yang memerlukan perhatian serius semua pihak.Gejala ini jika tidak dibendung akan meningkatkan jumlah kakitangan yang menghidapi masalah psikologi yang akhirnya akan menyebabkan kerosakan kepada organisasi sendiri

    Pengurusan privasi Facebook penjawat awam: pengaruh intensiti penggunaan, kemahiran swaawas dan orientasi privasi organisasi

    Get PDF
    Facebook adalah medium kegemaran majoriti pengguna media sosial termasuklah penjawat awam di Malaysia. Namun, penjawat awam kini berhadapan dengan isu pengurusan privasi maklumat dalam Facebook yang semakin bercampur aduk antara maklumat organisasi dengan maklumat peribadi. Kajian ini bertujuan mengenal pasti pengaruh intensiti penggunaan Facebook, kemahiran swaawas, dan orientasi privasi organisasi terhadap pengurusan privasi Facebook penjawat awam. Kajian tinjauan keratan rentas dijalankan terhadap penjawat awam yang berkhidmat di agensi kerajaan negeri, persekutuan dan badan berkanun di negeri Kedah. Seramai 138 responden dipilih melalui kaedah persampelan rawak sistematik. Borang soal selidik mengandungi empat instrumen iaitu Skala Intensiti Facebook, Skala Swaawas, Orientasi Privasi Organisasi dan Skala Pengurusan Privasi Facebook. Data dianalisis secara deskriptif dalam bentuk min dan sisihan piawai berbantukan perisian SPSS. Manakala analisis inferensi melibatkan analisis Partial Least Square-Structural Equation Modelling (PLS-SEM) berbantukan perisian SmartPLS 3.0. Hasil kajian menunjukkan orientasi privasi organisasi dan kemahiran swaawas memberi pengaruh yang signifikan terhadap intensiti penggunaan Facebook. Selain itu, intensiti penggunaan Facebook, orientasi privasi organisasi dan kemahiran swaawas turut memberi pengaruh yang siginifikan terhadap pengurusan privasi Facebook. Kajian ini menjelaskan peranan faktor individu dan persekitaran sosial organisasi dalam menentukan pengurusan privasi Facebook. Dapatan kajian ini boleh digunakan bagi merangka program untuk meningkatkan pengurusan privasi maklumat dalam talian bagi penjawat awam

    Keputusan pembelian: jalinan antara media cetak, media atas talian dan media bersemuka

    Get PDF
    Keputusan pembelian pengguna terhadap suatu produk boleh dipengaruhi oleh pelbagai perkara seperti iklan, media dan faktor persekitaran. Dari perspektif media, keputusan pembelian pengguna tidak hanya bergantung kepada maklumat yang bersumberkan satu media sahaja. Sebaliknya, kecenderungan untuk mengurangkan risiko dalam pembelian akan mendorong pengguna untuk membina kefahaman yang lebih baik mengenai produk. Justeru, berteraskan kepada Teori Kekayaan Media, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti pengaruh jalinan antara media cetak, media atas talian dan media bersemuka terhadap pengukuhan kefahaman pengguna mengenai produk yang akhirnya mempengaruhi keputusan pembelian mereka. Kajian ini memfokuskan kepada risalah, media sosial, rakan-rakan, kedai lain dan kedai pilihan sebagai media yang dijalinkan pengguna untuk menjelaskan ketidakpastiannya mengenai harga, fungsi, kualiti, jenama, jaminan dan reka bentuk produk pengkomputeran. Kajian tinjauan keratan rentas dijalankan terhadap komuniti institusi pendidikan di sekitar negeri Kedah dan Perlis. Sebanyak 150 borang soal selidik telah diedarkan dalam kajian lapangan. Sebanyak 115 data dapat dikumpul dan dianalisis berbantukan perisian SPSS versi 19. Hasil kajian menunjukkan media atas talian merupakan sumber maklumat pertama pengguna mengenai produk tetapi tidak dalam hal pembuatan keputusan. Manakala, rakan-rakan dan kedai pilihan merupakan sumber maklumat pelengkap kepada pengguna untuk mengukuhkan kefahaman mengenai produk sebelum membuat keputusan pembelian. Kesimpulannya, kombinasi antara rakan-rakan dan kedai pilihan merupakan media yang mempengaruhi proses pembuatan keputusan pembelian oleh pengguna terhadap produk pengkomputeran
    corecore