2 research outputs found

    Kepuasan komunikasi dan bimbingan pengajaran pegawai pembimbing pakar pembangunan sekolah (SISC+) sebagai peramal kualiti guru sekolah rendah di Malaysia

    Get PDF
    Profesion keguruan menuntut setiap guru sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti profesionalisme agar berkompeten dan berkualiti dalam pembentukan modal insan yang berketerampilan demi kemajuan masyarakat dan negara. Ini adalah sesuai dengan peranan dan fungsi jawatan “Pegawai Pembimbing Pakar Pembangunan Sekolah” (SISC+) iaitu inisiatif sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) 1.0 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) (2013-2025). Pegawai SISC+ berperanan membimbing pengajaran dan pembelajaran guru terpilih di sekolah kurang pencapaian. Kajian ini dilaksanakan bertujuan mengenal pasti tahap kualiti guru, bimbingan pengajaran dan kepuasan komunikasi di sekolah rendah. Selain itu, kajian ini juga menentukan hubungan antara bimbingan pengajaran dan kepuasan komunikasi dengan kualiti guru. Kajian ini juga menentukan pemboleh ubah kepuasan komunikasi sebagai mediator dalam hubungan antara bimbingan pengajaran dengan kualiti guru. Akhirnya kajian ini membangunkan model peramal kualiti guru yang dibimbing oleh pegawai SISC+ sekolah rendah di Malaysia. Analisis data kajian ini melibatkan 400 guru sekolah rendah dalam band 5, 6 dan 7 yang dibimbing oleh pegawai SISC+ di Malaysia. Kualiti guru yang dibimbing oleh SISC+ diukur dengan menggunakan instrumen Model Standard Guru Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (2010). Bimbingan pengajaran pegawai SISC+ pula diukur dengan Instrumen Bimbingan Pengurusan oleh Sohee et al. (2008) yang diadaptasi. Manakala pemboleh ubah kepuasan komunikasi diukur menggunakan Instrumen Kepuasan Komunikasi yang dihasilkan oleh Downs dan Hazen (1977). Data dianalisis menggunakan SPSS versi 21 dan dihuraikan secara deskriptif serta dimodelkan melalui perisian AMOS versi 24. Analisis statistik Model Persamaan Struktur (SEM) digunakan dalam kajian ini untuk huraian inferensi. Tahap keseluruhan tiga pemboleh ubah yang dikaji iaitu kepuasan komunikasi, bimbingan pengajaran dan kualiti guru di sekolah rendah Malaysia berada pada tahap tinggi. Bimbingan pengajaran mempunyai kesan langsung yang signifikan dengan kualiti guru. Begitu juga bimbingan pengajaran mempunyai kesan langsung yang signifikan dengan kepuasan komunikasi. Manakala kepuasan komunikasi tidak mempunyai kesan langsung dengan kualiti guru. Bimbingan pengajaran didapati berperanan sebagai faktor peramal kualiti guru manakala kepuasan komunikasi tidak berperanan sebagai faktor peramal kualiti guru dalam kajian ini. Secara keseluruhannya model ini memberi sumbangan sebanyak 70.6 peratus perubahan varian kualiti guru. Pemboleh ubah kepuasan komunikasi tidak berperanan sebagai mediator dalam hubungan antara bimbingan pengajaran dengan kualiti guru. Model bimbingan pengajaran ini memberi sumbangan dan pengaruh yang besar terhadap pembangunan kualiti guru di sekolah rendah Malaysia. Ini menunjukkan peranan pegawai SISC+ dalam membimbing guru secara berterusan adalah penting dalam meningkatkan kualiti guru sekolah rendah di Malaysia

    Kualiti guru sekolah rendah yang dibimbing oleh "pegawai pembimbing pakar pembangunan sekolah" (school improvement specialist coaches - SISC+): perbezaan antara tiga jenis sekolah

    No full text
    Guru merupakan penggerak utama sistem pendidikan di seluruh dunia ekoran daripada arus globalisasi dan ledakan teknologi maklumat yang banyak mengubah cara manusia belajar. Sehubungan itu, kajian tinjauan deskriptif ini dijalankan untuk mengenal pasti tahap kualiti guru yang dibimbing oleh “Pegawai Pembimbing Pakar Pembangunan Sekolah” (SISC+) terhadap skop pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran di tiga jenis sekolah rendah. Hal ini bertepatan dengan peranan dan fungsi jawatan SISC+ di bawah inisiatif sub NKRA GTP 1.0 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Para pegawai ini ditugaskan untuk membimbing guru-guru di sekolah yang berada dalam Band 5, 6 dan 7. Kajian ini menggunakan 70 item soal selidik dengan tujuh aspek sebagai instrumen yang disesuaikan daripada Model Standard Guru Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (2010). Responden kajian ini adalah 100 guru yang dibimbing oleh pegawai SISC+ di zon tengah (Selangor, Perak, WP Kuala Lumpur). Analisis data statistik dilaksanakan dengan menggunakan perisian SPSS 21 untuk menjelaskan frekuansi berdasarkan peratus, sisihan piawai dan min tahap kualiti guru dari segi kualiti mengajar . Dapatan kajian secara keseluruhan menunjukkan tahap kualiti guru berada pada tahap tinggi iaitu min skor ialah 4.14 dan sisihan piawai 0.30. Tahap semua tujuh aspek kualiti guru adalah tinggi iaitu antara min skor 3.96 hingga 4.26. Aspek pengetahuan dan kefahaman berada pada tahap tinggi (M-4.20, SP-0.42). Seterusnya tahap kualiti guru berdasarkan tiga jenis sekolah, SJKT mencatatkan tahap paling tinggi (M-4.28, SP-0.28) berbanding SK (M-4.09, SP-0.25) dan SJKC (M-4,09, SP-0.33). Secara umumnya semua aspek tahap kualiti guru di SJKT mencatatkan min skor minimum 4.17 berbanding SJKC min skor 3.91 dan SK min skor 3.88. Manakala ujian Anova menunjukkan terdapat perbezaan secara signifikan dalam kualiti guru mengikut jenis sekolah iaitu F(2, 97) = 4.30, p <0.05. Ujian POS HOC, Turkey HSD antara sekolah tersebut menunjukkan terdapat perbezaan signifikan diantara skor min SJKT (M = 4.28, SP = 0.28) dan skor min SK (M = 4.09, SP = 0.25) serta skor min SJKC (M = 4.09, SP = 0.33). Walau bagaimanapun tidak terdapat perbezaan signifikan di antara skor min SK (M = 4.09, SP = 0.25) dan SJKC (M = 4.09, SP = 0.33). Ini menunjukkan Pegawai SISC+ yang ditempatkan di PPD membimbing guru dengan berkesan dalam pembentukan kualiti PdP
    corecore