Kepuasan komunikasi dan bimbingan pengajaran pegawai pembimbing pakar pembangunan sekolah (SISC+) sebagai peramal kualiti guru sekolah rendah di Malaysia
Profesion keguruan menuntut setiap guru sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti
profesionalisme agar berkompeten dan berkualiti dalam pembentukan modal insan yang
berketerampilan demi kemajuan masyarakat dan negara. Ini adalah sesuai dengan
peranan dan fungsi jawatan “Pegawai Pembimbing Pakar Pembangunan Sekolah”
(SISC+) iaitu inisiatif sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah
Program Transformasi Kerajaan (GTP) 1.0 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(PPPM) (2013-2025). Pegawai SISC+ berperanan membimbing pengajaran dan
pembelajaran guru terpilih di sekolah kurang pencapaian. Kajian ini dilaksanakan
bertujuan mengenal pasti tahap kualiti guru, bimbingan pengajaran dan kepuasan
komunikasi di sekolah rendah. Selain itu, kajian ini juga menentukan hubungan antara
bimbingan pengajaran dan kepuasan komunikasi dengan kualiti guru. Kajian ini juga
menentukan pemboleh ubah kepuasan komunikasi sebagai mediator dalam hubungan
antara bimbingan pengajaran dengan kualiti guru. Akhirnya kajian ini membangunkan
model peramal kualiti guru yang dibimbing oleh pegawai SISC+ sekolah rendah di
Malaysia.
Analisis data kajian ini melibatkan 400 guru sekolah rendah dalam band 5, 6 dan 7 yang
dibimbing oleh pegawai SISC+ di Malaysia. Kualiti guru yang dibimbing oleh SISC+
diukur dengan menggunakan instrumen Model Standard Guru Malaysia, Kementerian
Pendidikan Malaysia (2010). Bimbingan pengajaran pegawai SISC+ pula diukur dengan
Instrumen Bimbingan Pengurusan oleh Sohee et al. (2008) yang diadaptasi. Manakala
pemboleh ubah kepuasan komunikasi diukur menggunakan Instrumen Kepuasan
Komunikasi yang dihasilkan oleh Downs dan Hazen (1977). Data dianalisis
menggunakan SPSS versi 21 dan dihuraikan secara deskriptif serta dimodelkan melalui
perisian AMOS versi 24. Analisis statistik Model Persamaan Struktur (SEM) digunakan
dalam kajian ini untuk huraian inferensi. Tahap keseluruhan tiga pemboleh ubah yang dikaji iaitu kepuasan komunikasi,
bimbingan pengajaran dan kualiti guru di sekolah rendah Malaysia berada pada tahap
tinggi. Bimbingan pengajaran mempunyai kesan langsung yang signifikan dengan
kualiti guru. Begitu juga bimbingan pengajaran mempunyai kesan langsung yang
signifikan dengan kepuasan komunikasi. Manakala kepuasan komunikasi tidak
mempunyai kesan langsung dengan kualiti guru. Bimbingan pengajaran didapati
berperanan sebagai faktor peramal kualiti guru manakala kepuasan komunikasi tidak
berperanan sebagai faktor peramal kualiti guru dalam kajian ini. Secara keseluruhannya
model ini memberi sumbangan sebanyak 70.6 peratus perubahan varian kualiti guru.
Pemboleh ubah kepuasan komunikasi tidak berperanan sebagai mediator dalam
hubungan antara bimbingan pengajaran dengan kualiti guru. Model bimbingan
pengajaran ini memberi sumbangan dan pengaruh yang besar terhadap pembangunan
kualiti guru di sekolah rendah Malaysia. Ini menunjukkan peranan pegawai SISC+
dalam membimbing guru secara berterusan adalah penting dalam meningkatkan kualiti
guru sekolah rendah di Malaysia