28 research outputs found

    Gaya bahasa dalam ucapan Menteri Keselamatan Negara Malaysia semasa pandemik COVID-19

    Get PDF
    Negara Malaysia yang dilanda wabak pandemik Covid-19 telah menimbulkan keresahan rakyat. Jadi, dalam menangani wabak ini pihak kerajaan telah menggunakan platform media siaran langsung yang diwakili oleh Menteri Keselamatan Negara (MKN) untuk menyampaikan maklumat sahih kepada rakyat. Sehubungan dengan itu, penelitian kajian ini berfokus terhadap penggunaan gaya bahasa dalam ucapan Menteri Keselamatan Negara Malaysia semasa pandemik Covid-19. Objektif pertama kajian ini ialah mengklasifikasikan kekerapan penggunaan gaya bahasa dalam ucapan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Berikutnya, objektif kedua ialah untuk menghuraikan gaya bahasa yang digunakan dalam ucapan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengikut isu penting wabak pandemik Covid-19. Kaedah penelitian mendapatkan data menggunakan pendekatan deskriptif kualitatif yang kemudiannya dianalisis berdasarkan kerangka Gorys Keraf. Sumber data daripada Youtube telah ditranskripsi dalam bentuk teks. Hasil penelitian telah menemui dua jenis gaya bahasa yang digunakan termasuklah gaya bahasa yang kerap digunakan berdasarkan pilihan kata iaitu gaya rasmi dan gaya bahasa berdasarkan nada iaitu gaya sederhana serta mulia dan bertenaga. Ternyata penggunaan gaya bahasa tertentu Menteri Keselamatan Negara (MKN) sewaktu menyampaikan makluman Covid-19 dalam media siaran langsung telah mewujudkan ciri khas dalam dirinya. Selain itu, kajian ini dapat membuktikan bahawa gaya bahasa memainkan peranan tersendiri sebagai unsur penyerlahan menyampaikan maklumat berdasarkan konteks tertentu. Tambahan pula, pandemik Covid-19 merupakan satu wabak yang sangat berbahaya yang turut memberi kesan kepada rakyat Malaysia

    Keterserlahan ceramah Syamsul Debat menerusi penggunaan aspek bukan prosa: satu analisis morfologi

    Get PDF
    Aspek penggunaan bukan prosa telah menjadi medium hiburan, jenaka dan pengajaran dalam sesuatu ceramah kerana bahasa-bahasa yang indah di dalamnya membuatkan pendengar dapat menerima sesuatu mesej dengan baik. Kajian ini difokuskan kepada Keterserlahan Ceramah Syamsul Debat Menerusi Penggunaan Aspek Bukan Prosa : Satu Analisis Morfologi. Objektif kajian ini adalah untuk mengkategorikan aspek bukan prosa, menghuraikan aspek bukan prosa yang terdapat dalam ceramah oleh Syamsul Debat, dan menganalisis aspek bukan prosa dalam ceramah Syamsul Debat berdasarkan struktural. Sebanyak 17 video yang mempunyai 59 aspek bukan prosa melalui ceramah Syamsul Debat di Facebook, Tiktok dan Youtube digunakan bagi mendapatkan hasil kajian secara menyeluruh. Langkah-langkah yang dilakukan adalah mencari, meneliti dan mendengar ceramah Syamsul Debat yang ada di media sosial dengan mengambil jenis hantaran video berkaitan Syamsul Debat yang mengandungi aspek bukan prosa. Video-video tersebut terdiri daripada video suntingan yang memfokuskan kepada aspek bukan prosa beliau dan rakaman siaran langsung kuliah beliau. Berdasarkan hasil kajian, terdapat aspek bukan prosa seperti pantun, puisi, kiasan, dan lagu yang digunakan dalam ceramah Syamsul Debat menerusi media sosial. Kebanyakan aspek bukan prosa ini mempunyai tema tersendiri iaitu adab berguru, adab bekerja, keluarga, agama, rumahtangga, pembuka dan penutup bicara, dan kehidupan. Video-video ceramah yang digunakan berdurasi kurang daripada dua jam. Terdapat aspek bukan prosa yang sering digunakan oleh masyarakat sehingga kini tetapi diselitkan juga dalam ceramah beliau bagi memudahkan pendengar menghayati, mengingati dan mudah memahami aspek bukan prosa yang sering digunakan itu. Aspek bukan prosa ini mempunyai keistimewaannya dalam menyampaikan emosi, perasaan, hiburan dan nasihat dalam sesuatu ceramah bagi menarik perhatian pendengar dan menghilangkan rasa bosan

    Slanga sebagai wahana komunikasi dalam kalangan remaja di Bengkalis

    Get PDF
    Slanga bukanlah satu bentuk fenomena baru dalam dunia bahasa, tetapi fenomena ini mula popular dan perkembangannya sangat pesat dalam kalangan remaja untuk masa sekarang ini. Pengkaji melihat hal yang demikian berlaku di Riau, Indonesia, khususnya di kawasan Bengkalis. Menerusi kajian ini, pengkaji berharap fenomena slanga tersebut dapat dibuktikan dan diterangkan dengan jelas. Dengan menggunakan teori domain penggunaan bahasa oleh Fishman (1972a) pengkaji akan membincangkan slanga remaja ini berdasarkan konteks. Hasil kajian menunjukkan bahawa slanga kalangan remaja di Bengkalis terbahagi kepada dua, iaitu slanga lelaki dan perempuan. Sebanyak 85 leksikal slanga diperolehi menerusi kajian lapangan kepada 60 responden remaja lelaki dan perempuan. Di samping itu, terdapat leksikal slanga yang merupakan bentuk peminjaman slanga bahasa Gaul (Indonesia) dan slanga daripada bahasa Inggeris. Kajian ini telah menyumbang kepada bidang ilmu bahasa, di samping dapat menambahkan lagi pengetahuan kepada slanga-slanga yang wujud dalam kalangan remaja berkenaan. Selain itu, kajian ini mendedahkan serba sedikit mengenai remaja di Bengkalis dan cara pergaulan mereka menerusi slanga-slanga yang dihasilkan

    Penggunaan singkatan dalam Sistem Pesanan Ringkas (SMS) Majlis Keselamatan Negara (MKN)

    Get PDF
    Disiplin linguistik kini telah mengalami anjakan baharu dengan kemunculan istilah-istilah baharu ekoran daripada penularan pandemik Covid-19. Dengan tercetusnya wabak ini, pengkaji dapat membuat pelbagai kajian yang berkaitan termasuklah kajian terhadap pembentukan kata yang memfokuskan kepada singkatan. Kajian ini adalah berkaitan penggunaan singkatan dalam sistem pesanan ringkas (SMS) Majlis Keselamatan Negara (MKN). Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengenal pasti jenis-jenis singkatan yang berlaku dalam teks mesej yang disebarkan kepada orang ramai. Kaedah kajian yang digunakan adalah dengan menganalisis data-data daripada teks mesej yang dihantar oleh pihak MKN dari Mac 2020 sehingga Disember 2020. Hasilnya, sebanyak 20 data berbeza telah dikumpulkan dan kumpulan data kata kependekan tersebut akan dipecahkan mengikut kategori masing-masing yang selanjutnya akan dibincangkan menerusi konteks ayat penuh berdasarkan penggunaannya yang berkait dengan Covid-19. Kajian ini menggunakan pendekatan Ismail Dahaman (2017) menerusi buku beliau yang berjudul Canggihnya Bahasa Melayu: Sistem Pembentukan Kata – Unsur Bergabung Tutur Bersambung. Penemuan yang pelbagai terhadap jenis-jenis singkatan yang menarik membawa kepada perbincangan analisis yang menjurus kepada pecahan kata kependekan yakni dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Kajian ini membolehkan pengkaji-pengkaji akan datang merujuk jenis-jenis singkatan yang berlaku dalam SMS dan mengetahui penggunaan singkatan ini dalam konteks ayat yang lengkap

    VARIANTS OF EMOTION LEXICONS, ‘MARAH’ (ANGRY) AND ‘MALAS’ (LAZY) IN LANGKAWI ISLAND: A GEO-LINGUISTIC ANALYSIS

    Get PDF
    In general, research in geographical dialects in Malaysia has uncovered dialect distribution based on lexical and phonological differences, which has been the basis of today’s geo-linguistic studies. This study investigated the emotion lexicon, ‘marah’ (angry) and ‘malas’ (lazy), in the dialect of Malay, Langkawi Island. Data were collected through fieldwork with 447 respondents of youth, adult, and senior citizens across social status or educational levels. The collected data were transcribed using phonetic symbols and coded with ArcGIS software for producing choropleth maps. The research aimed to identify the variants of emotion lexicons in their daily conversation. The study found 12 variants of ‘angry’ and 12 variants of ‘lazy.' By comparing the difference and distribution of each lexicon variant, mapping was successfully conducted using the choropleth technique. The study has also successfully applied Geographic Information System (GIS) to describe geographical factors that influence the formation and distribution of emotion lexicon variants in Langkawi island, which proves their close relation with geographical aspects in Langkawi

    Laras bahasa dalam ‘aplikasi Facebook Polis daerah Penampang’

    Get PDF
    Laras bahasa merupakan salah satu topik yang meluas difokus sebagai tajuk kajian dalam bidang linguistik kerana pelbagai aspek boleh disentuh yang melibatkan pelbagai data. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk memaparkan laras bahasa yang digunakan dalam laman Facebook Polis Daerah Penampang, Sabah, negeri di bawah Bayu. Kajian ini menggunakan pendekatan Ure & Ellis sebagai panduan untuk memastikan data yang dikumpul dapat dianalisis secara tepat dan sahih. Objektif kajian ini ialah i) mengenal pasti laras bahasa yang digunakan dalam laman Facebook Polis Daerah Penampang berdasarkan teori Ure & Ellis; ii) mengklasifikasikan ciri keperihal berdasarkan teori Ure &Ellis. Kaedah kajian melibatkan kajian teks iaitu mendapat data melalui posting-posting yang dimuat naik di laman Facebook Polis Daerah Penampang sebagai sumber data utama terutamanya berkaitan fenomena pandemik Covid-19. Hasil kajian mendapati bahawa laman Facebook Polis Daerah Penampang ini menggunakan laras biasa dan laras berita dalam menyampaikan maklumat-maklumat di setiap posting yang dilakukan. Kajian ini membuktikan wujudnya latar budaya masyarakat negeri Sabah kerana Penampang merupakan salah sebuah daerah di negeri Sabah

    Peralihan bahasa dalam kalangan dua generasi Cham Malaysia

    Get PDF
    Peralihan bahasa merupakan situasi yang memperlihatkan masyarakat secara keseluruhannya memilih untuk menggunakan bahasa asing dengan lebih kerap dan berterusan sehingga menjejaskan bahasa ibunda. Isu peralihan bahasa sering berlaku dalam kalangan minoriti terutamanya mereka yang berhijrah ke dalam masyarakat multilingual. Oleh itu, kajian ini bertujuan mengkaji peralihan bahasa dalam domain kekeluargaan masyarakat Cham yang telah berhijrah ke Malaysia berdasarkan analisis domain penggunaan bahasa dan teori mobiliti sosial. Kajian ini dilakukan di dua kampung Cham di Ulu Tiram Johor. Sebanyak enam belas informan yang berusia dalam lingkungan 12-64 tahun terlibat dalam kajian ini yang terdiri daripada lapan orang generasi pertama dan lapan orang generasi kedua. Data kajian diperoleh melalui kerja lapangan dengan melakukan temu bual bersemuka separa berstruktur. Semua temu bual dirakam dengan izin informan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa domain kekeluargaan tidak mampu mengekalkan bahasa Cham apabila sebahagian besar informan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa yang dominan sesama ahli keluarga. Empat informan generasi kedua pula telah beralih sepenuhnya daripada bahasa Cham kepada bahasa Melayu. Faktor mobiliti sosial, iaitu keetnikan, perubahan etnik dan nasionalisme wilayah telah menyumbang kepada peralihan bahasa Cham. Kajian ini menyimpulkan bahawa peralihan bahasa Cham telah bermula seawal generasi kedua tetapi belum lagi mencapai skala yang menyeluruh. Oleh itu, usaha pelestarian bahasa Cham wajar dilakukan agar bahasa Cham terus kekal di Malaysia

    Penyebaran dialek Melayu di Langkawi: analisis geolinguistik

    Get PDF
    Kajian dialek geografi di Malaysia sebelum ini telah memberikan maklumat taburan dialek secara umum berdasarkan perbezaan fonologi dan leksikal. Kajian tersebut telah menjadi asas kepada kajian geolinguistik pada hari ini. Dalam kajian kali ini, varian leksikal „daun kari‟ dan „daun kesum‟ dalam dialek Melayu Kedah di Pulau Langkawi telah diteliti. Berasaskan analisis geolinguistik, elemen linguistik telah digabungkan bersama dengan faktor bukan bahasa seperti bentuk muka bumi, persempadanan, migrasi dan sejarah. Seramai 90 orang responden telah dipilih yang terdiri daripada golongan remaja, dewasa dan warga tua. Penganalisisan data dilakukan dengan berbantukan perisian Geographic Information System (GIS). Kajian ini telah mencapai matlamat yang telah ditetapkan iaitu mengenal pasti penggunaan varian bagi kedua-dua leksikal yang dikaji. Selain itu, perbandingan dan penyebaran setiap varian leksikal tersebut telah berjaya dipetakan dengan bantuan teknik chloropleth. Seterusnya, penerapan perisian GIS ini telah berjaya membantu menghuraikan faktor geografi yang mempengaruhi pembentukan dan penyebaran varian leksikal di Langkawi. Hasil kajian ini telah dapat membuktikan secara saintifik bahawa kawasan mukim Padang MatSirat, Bohor dan Kuah adalah kawasan asal penutur dialek Melayu Langkawi, manakala Ayer Hangat dan Ulu Melaka mempunyai paling ramai penutur dialek Melayu Satun. Seterusnya, di mukim Kedawang pula terdapat penduduk yang menuturkan dialek Melayu Patani. Penyebaran ini berlaku adalah disebabkan oleh faktor sejarah, geografi dan sosiobudaya. Kajian ini menjadi lebih menarik, sistematik dan meyakinkan kerana disokong dengan kehadiran teknologi GIS dan pendekatan multidisiplin

    Variasi kata ganti nama dialek di pesisir Sungai Perak: analisis Geographical Information System (GIS)

    Get PDF
    Kajian ini meneliti variasi leksikal kata ganti nama (KGN) diri pertama ‘saya’, kedua ‘kamu’ dan ketiga ‘mereka’ dalam dialek Melayu di pesisir Sungai Perak. Kajian geo-dialek ini telah menggabungkan penelitian kebahasaan iaitu dialek dengan maklumat bukan bahasa iaitu bentuk muka bumi, persempadanan, migrasi dan sejarah. Sejumlah 200 orang responden daripada 20 buah kampung telah dipilih. Mereka adalah 100 warga tua dan 100 dewasa. Mereka ditemubual dan seterusnya diminta mengisi soal selidik yang berkaitan. Penganalisisan data dilakukan dengan berbantukan teknologi daripada bidang kajian geografi iaitu Geographic Information System (GIS). Kajian ini telah mencapai objektif yang telah ditetapkan iaitu mengenal pasti penggunaan variasi leksikal bagi ketiga-tiga KGN dialek yang dituturkan di pesisir Sungai Perak. Selain itu, perbandingan dan pemetaan bagi setiap varian leksikal KGN di pesisir Sungai Perak tersebut telah berjaya dikemukakan dengan bantuan teknologi GIS. Seterusnya, penerapan aplikasi GIS ini telah berjaya menghuraikan faktor geografi yang mempengaruhi pembentukan dan penyebaran variasi leksikal bagi ketiga-tiga KGN dialek di pesisir Sungai Perak tersebut. Ternyata, perisian GIS ini telah berjaya membantu pengkaji dalam mengemukakan paparan peta setiap variasi dan varian tertinggi leksikal KGN dialek di pesisir Sungai Perak. Dapatan kajian telah dapat membuktikan bahawa Perak Tengah adalah kawasan asli dialek Perak dengan memberikan sempadan geografi yang tepat berbanding kajian terdahulu. Buktinya, beberapa kampung di Perak Tengah menggunakan varian Kuala Kangsar kerana faktor topografi dan migrasi. Pada masa yang sama, wujudnya tiga varian untuk mereka, iaitu /dem/ untuk Kuala Kangsar, /dem/ untuk Perak Tengah dan /depa/ untuk dialek Kedah. Diandaikan sukukata /de/ menjadi asas sukukata bagi tiga varian ganti nama yang tersebut. Sesungguhnya GIS mampu memberikan huraian penyebaran dialek Melayu pesisir Sungai Perak dengan lebih sistematik dan meyakinkan. Faktor muka bumi berserta faktor persempadanan, migrasi dan sejarah sememangnya memainkan peranan penting dalam penyebaran sesuatu dialek itu

    Penanda pengemukaan topik dalam wacana pedagogi: satu analisis wacana kritis

    Get PDF
    Kebanyakan kajian lepas wacana pedagogi mengenai kemahiran mengajar guru tidak membincangkan praktis sosial wacana berdasarkan pendekatan Analisis Wacana Kritis (AWK). Kajian ini bertujuan menjelaskan praktis sosial wacana pedagogi melalui huraian penanda pengemukaan topik dalam interaksi guru-murid semasa aktiviti pengajaran mikro dan interpretasi amalan wacananya. Penanda pengemukaan topik merangkumi perkataan penanda paraton sebagai penanda wacana dan ayat tanya guru sebagai bahagian kawalan topik dalam dimensi tekstual wacana pedagogi. Kajian ini menggunakan kaedah rakaman dan transkripsi data. Data diambil melalui video rakaman selama 30 minit setiap sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) semasa aktiviti pengajaran mikro melibatkan 5 pelajar bakal guru di sebuah universiti awam di Jakarta dan murid sebenar dari 5 sekolah menengah di Jakarta. Kajian ini mengaplikasi AWK Fairclough (2013). Fokus analisis pada perkataan penanda paraton dan jenis ayat tanya guru. Hasil kajian ini mendapati guru menggunakan 146 perkataan penanda paraton ‘nah’, ‘ya’, ‘baik/baiklah’, ‘silakan’, ‘sekarang’, ‘lalu’, ‘anak-anak/anak-anakku’, ‘Assalamualaikum/selamat pagi/sore’, ‘selanjutnya’, ‘coba’, ‘yang pertama/kedua/ketiga’, ‘Alhamdulillah’, ‘bagaimana’, ‘wah’, ‘jadi’, ‘ayo’, ‘kalian’, ‘ohya nak’, dan ‘tolong’ pada awal gerakan sebagai cara pengemukaan topik baharu. Manakala terdapat 125 soalan guru menjadi gerakan sebagai penanda topik dan selepas perkataan penanda paraton diujarkan. Jenis ayat tanya guru berupa ayat tanya terbuka-tertutup; ayat tanya informatif-konfirmatif. Disimpulkan, kajian ini mengandungi praktis sosial kesetaraan dominasi guru-murid di bilik darjah. Guru menganggap murid sebagai subjek yang mempunyai hak untuk dihormati melalui pemilihan perkataan penanda paraton yang menunjukkan kesantunan, seperti ‘silakan’, ‘tolong’, ‘coba’, partikel ‘–kah’, serta perakuan positif terhadap respons murid. Perkara ini bertentangan dengan praktis sosiobudaya pedagogi di Indonesia bahawa kuasa sering dimiliki oleh guru. Selain itu, guru dalam kajian ini masih merupakan bakal guru sehingga murid menganggap mempunyai hubungan rapat dengan gurunya. Kajian ini menyumbang kepada kualiti PdP apabila pelajar menjadi guru serta memberi input linguistik dalam kajian wacana pedagogi dengan pendekatan AWK
    corecore