2 research outputs found

    Implisit Judul Berita Pilihan Raya Umum Ke-14

    Get PDF
    Kemenangan parti pembangkang dalam pilihan raya umum (PRU) kali ke-14 telah memecahkan tampuk pimpinan kerajaan lama yang telah memerintah selama 60 tahun. Pelbagai isu mengenai pilihan raya umum disiarkan menerusi media massa terutamanya media cetak. Media cetak seperti surat khabar juga tidak terlepas daripada menyiarkan pelbagai judul berita yang menarik. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa judul berita yang ditulis menggunakan perkataan yang mempunyai makna implisit. Penggunaan perkataan yang mempunyai makna implisit ini akan menyukarkan pembaca untuk memahami judul yang dipaparkan. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan membincangkan perkataan implisit yang terdapat dalam judul berita PRU ke-14. Kaedah yang dipilih bagi melaksanakan kajian ini ialah kaedah kualitatif. Selain itu, bahan kajian yang digunakan ialah surat khabar Berita Harian keluaran bulan April dan Mei bagi tahun 2018. Namun, berita yang dipilih hanya berfokus kepada berita PRU ke-14 yang mempunyai perkataan implisit sahaja. Setiap data yang dikumpul akan dikateorikan mengikut bentuk kata iaitu kata tunggal, kata terbitan dan kata majmuk. Data yang telah dikategorikan akan dianalisis dengan menggunakan teori semiotik. Hasil dapatan menunjukkan bahawa terdapat 28 judul berita PRU ke-14 yang menggunakan perkataan implisit. Kebanyakan perkataan implisit ini terdiri daripada kata majmuk iaitu sebanyak 18 judul, diikuti kata tunggal sebanyak 8 judul dan kata terbitan sebanyak 2 judul. Penggunaan perkataan implisit ini adalah bertujuan untuk menarik perhatian pembaca supaya membaca berita yang disiarkan. Justeru, kajian ini secara tidak langsung dapat menunjukkan bahawa berita bergenre politik juga turut menggunakan perkataan implisit dalam penulisan judul berita

    Makna tersirat dalam tajuk berita akhbar tempatan

    Get PDF
    Penghasilan sesebuah tajuk berita yang menarik adalah disebabkan pemilihan perkataan yang tepat, ringkas, dan jelas maknanya. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian tajuk berita ditulis dengan menggunakan perkataan yang mempunyai makna tersirat. Keadaan ini secara tidak langsung akan menyukarkan pembaca untuk memahami tajuk berita yang dipaparkan. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti bentuk kata yang mempunyai makna tersirat, menganalisis makna tersirat dan merumuskan makna tersirat yang digunakan dalam tajuk berita akhbar. Di samping itu, kajian ini dilakukan dengan menggunakan pendekatan kualitatif yang dihuraikan secara deskriptif dan menggunakan kaedah analisis kandungan sebagai kaedah kajian. Selain itu, kajian ini telah memilih akhbar Utusan Malaysia sebagai data kajian. Data ini dikumpul bermula dari 2 April 2018 sehingga 31 Mei 2018. Berita yang dipilih dalam kajian ini ialah berita yang berkaitan dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang mempunyai makna tersirat. Setiap data yang dikumpul akan dikategorikan mengikut tiga jenis bentuk kata, iaitu kata tunggal, kata terbitan dan kata majmuk. Seterusnya, data-data ini akan dianalisis dengan menggunakan Teori Semiotik yang diperkenalkan oleh Charles Williams Morris (1971). Teori ini mempunyai tiga bahagian iaitu sintagtik, semantik dan pragmatik. Hasil dapatan telah menunjukkan bahawa terdapat 48 tajuk berita yang mempunyai makna tersirat. 15 tajuk berita terdiri daripada kata tunggal, 5 tajuk berita ialah kata terbitan dan 28 tajuk berita ialah kata majmuk. Tambahan pula, hasil analisis data juga menunjukkan bahawa tajuk berita pilihan raya ini banyak menggunakan kata majmuk berbanding dengan kata tunggal dan kata terbitan. Selain itu, perkataan yang mempunyai makna tersirat bukan sahaja dapat menarik perhatian pembaca tetapi juga sebagai cara untuk menyampaikan maklumat secara sopan atau sebagai sindiran. Penggunaan perkataan yang mempunyai makna tersirat akan menyebabkan maklumat yang ingin disampaikan kepada pembaca tidak dapat disampaikan dengan tepat dan jelas. Justeru, kajian ini akan dapat merungkaikan makna tersirat yang terdapat dalam tajuk berita Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)
    corecore