44 research outputs found

    Analisis binaan kompleks bahasa Melayu berdasarkan Role and Reference Grammar (RRG)

    Get PDF
    Makalah ini meneliti binaan kompleks bahasa Melayu berdasarkan Teori Role and Reference Grammar (RRG). Dalam RRG, struktur klausa diteliti berdasarkan struktur berlapisan klausa (SBK) iaitu binaan klausa terdiri daripada lapisan paling kecil/dalam nucleus (NUK) yang terdiri daripada predikat, diikuti lapisan inti yang mengandungi predikat dan argument dan lapisan paling luar iaitu klausa yang mengandungi inti dan sipian. Berdasarkan struktur ini, maka ayat boleh mengandungi lebih daripada satu klausa, lebih daripada satu inti dan juga lebih daripada satu nukleus untuk membentuk binaan kompleks dalam bahasa. Binaan kompleks boleh berlaku pada tahap klausa, tahap inti dan tahap nucleus. tahap di mana perkaitan berlaku (klausa, inti, nucleus) dirujuk sebagai tahap bagi jungtur (juncture), maka berdasarkan perkaitan ini kita dapat memperoleh jungtur klausa apabila klausa bergabung, jungtur inti dan jungtur nucleus. Dalam kerangka RRG, binaan ayat kompleks dijelaskan berdasarkan unit-unit yang terlibat dan hubungan antara unit-unit tersebut. Sebagaimana dengan kes ayat mudah, nucleus (predikat), inti (predikat + argument) dan klausa (predikat+ argumen + bukan argumen) mengkonstitute binaan blok utama dalam binaan kompleks. Sehubungan dengan itu, dalam meneliti struktur ayat kompleks Bahasa Melayu, dua persoalan akan dijelaskan iaitu (i) Pada tahap manakah hubungan antara unit-unit (klausa, inti, nuclear) itu berlaku? dan (ii) Apakah jenis hubungan antara unit-unit ini. Dengan menggunakan data korpus Bahasa Melayu, kajian ini akan menjelaskan bentuk-bentuk hubungan binaan kompleks dan juga jenis-jenis hubungan antara unit-unit dalam membentuk binaan kompleks Bahasa Melayu

    Analisis lakuan tutur dalam ruangan status Facebook

    Get PDF
    Kajian ini meneliti fungsi komunikasi melalui lakuan tutur yang disampaikan oleh pengguna media sosial melalui ruangan/aktiviti kemas kini status (update status). Kajian ini memfokuskan kepada media sosial iaitu facebook dengan anggapan medium ini merupakan rangkaian sosial secara online yang paling popular dalam kalangan pengguna media sosial. Dalam media sosial, ruangan dan pengemaskinian status aktiviti harian dianggap sebagai rutin oleh individu untuk berkomunikasi dengan jaringan sosial mereka. Ruang status dianggap sebagai jurnal personal yang mana individu merakamkan apa sahaja aktiviti, peristiwa dan pengalaman yang berlaku kepada mereka dan persekitaran mereka pada setiap hari. Dengan berbuat demikian, individu akan menggunakan pelbagai jenis lakuan bahasa. Maka konteks bagi aktiviti pengemaskinian status adalah forum rangkaian sosial dan aktiviti menulis serta mengemas kini status merupakan satu lakuan sosial (social action) yang menggunakan bahasa bagi melaksanakan sesuatu lakuan. Bahasa yang digunakan untuk mengungkap pelbagai emosi dan perasaan, memulakan perbahasan atau menghina seseorang merupakan lakuan tutur iaitu ujaran digunakan untuk melakukan sesuatu. Justeru, kajian ini akan menggunakan kaedah analisis kandungan dengan mengambil sampel ā€˜posting statusā€™ dan analisis berdasarkan kerangka lakuan tutur Searle (1969). Kajian ini mendapati status yang dihantar bukan sahaja menunjukkan kategori khusus lakuan tutur namun kebanyakan status menunjukkan kategori gabungan beberapa lakuan tutur dalam satu status. Kategori lakuan tutur yang ditemui dalam ruangan status facebook ialah representatif, ekspresif dan direktif. Kajian ini menunjukkan bahawa apa sahaja status yang dihantar sama ada dalam bentuk penyataan, berita, petikan atau jenaka adalah juga memperlihatkan suatu lakuan tutur yang hendak disampaikan dan dikongsi bersama dalam rangkaian sosial mereka

    Komunikasi bahasa Melayu-Jawa dalam media sosial

    Get PDF
    Di Malaysia, masih terdapat masyarakat Jawa yang menggunakan bahasa Jawa dalam pertuturan seharian. Ragam bahasa yang lazim digunakan ialah ragam Jawa ngoko (bahasa kasar). Walaupun bahasa Jawa masih dituturkan, namun penggunaannya semakin berkurangan. Salah satu faktor penggunaan bahasa Jawa yang semakin berkurang ini adalah disebabkan oleh pengaruh bahasa Melayu. Bahasa Melayu yang berfungsi sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi telah mempengaruhi masyarakat Jawa untuk beralih menggunakan bahasa Melayu. Kebanyakan orang Jawa daripada generasi ketiga sudah tidak menggunakan bahasa Jawa dalam interaksi lisan mereka tetapi memilih menggunakan bahasa Melayu. Kemunculan media sosial telah mewujudkan wadah baru dalam berkomunikasi dalam kalangan masyarakat Jawa daripada generasi ketiga. Dengan wujudnya media baru ini, maka proses komunikasi mereka juga turut berubah. Penggunaan aplikasi sosial seperti WhatsApp telah mengubah lanskap komunikasi dengan memberi ruang yang luas kepada bahasa ibunda mereka (bahasa Jawa) untuk berkembang. Kajian ini mendapati penggunaan bahasa Jawa ini digunakan sepenuhnya dalam sesuatu perbualan dan kadang kala diselangselikan dengan penggunaan bahasa Melayu dalam media sosial. Penguasaan kedua-dua bahasa yang baik dalam penutur bahasa Jawa menjadikannya lebih mudah untuk kedua-dua bahasa ditukar kod, iaitu daripada bahasa Jawa kepada bahasa Melayu dan bahasa Melayu kepada bahasa Jawa. Di samping itu, terdapat juga penukaran kod daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dan juga Arab. Justeru dengan adanya penggunaan media social dan aplikasi sebagai medium berkomunikasi seperti whatsApp, maka penggunaan bahasa Jawa telah meningkat dan seterusnya akan membantu melestarikan bahasa Jawa

    Trend ganti nama diri bahasa Melayu dalam konteks media sosial

    Get PDF
    Kajian ini meneliti trend penggunaan kata ganti nama diri dalam kalangan pengguna media sosial. Kata ganti nama diri ialah kata yang digunakan dalam komunikasi untuk menggantikan nama orang yang melibatkan penutur, pendengar dan sasaran. Kata ganti nama diri terdiri daripada kata ganti nama diri orang pertama (saya, aku), kata ganti nama diri orang kedua (awak, engkau) dan kata ganti nama diri orang ketiga (mereka, ia). Dalam apa jua bentuk media komunikasi, kata ganti nama diri akan muncul dalam komunikasi. Ini kerana penutur memberi rujukan kepada pendengar dan pendengar memproses maklumat yang telah disampaikan mengenai sasaran untuk membentuk satu perbualan. Sehubungan dengan itu, kajian ini akan menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai mewakili medium komunikasi dalam media sosial untuk mendapatkan data kata ganti nama diri. Aplikasi WhatsApp yang digunakan dalam telefon pintar dipilih sebagai sumber data memandangkan medium ini semakin popular dalam masyarakat kini. Analisis kata ganti nama diri menggunakan Tatabahasa Dewan (2008) sebagai asas panduan pengkaji. Kajian ini mendapati empat bentuk kata ganti nama diri digunakan dalam perbualan pengguna WhatsApp iaitu kata ganti nama diri pertama (penutur), kata ganti nama diri kedua (pendengar), kata ganti nama diri ketiga (sasaran) dan kata ganti nama diri kosong. Kajian juga mendapati tiga bentuk kata ganti diri yang menjadi trend dalam aplikasi WhatsApp iaitu kata ganti nama diri singkatan, kata ganti nama diri dialek dan kata ganti nama diri kontemporari. Dalam konteks komunikasi yang melibatkan rakan sebaya dan berlaku dalam situasi tidak formal, penggunaan kata ganti nama diri dipengaruhi oleh faktor kemesraan dan kesesuaian

    Aspek kala dalam nahu Melayu abad ke-17: perspektif orang Belanda

    Get PDF
    Bahasa Melayu tidak mempunyai sistem kala seperti bahasa Latin, Inggeris, dan Belanda. Dalam bahasa Melayu, kala atau waktu sesuatu pekerjaan dilakukan sering kali tidak dinyatakan, kerana pendengar boleh menentukan waktunya berdasarkan hubungan dan konteks sesuatu ujaran. Namun, dalam pemerhatian awal oleh orang Belanda, bahasa Melayu dilihat dari perspektif yang sama dengan bahasa Belanda. Bahasa Melayu juga dianggap mempunyai penanda kata kerja seperti bahasa Belanda. Berdasarkan jadual-jadual yang dipaparkan dalam bukunya Spareck ende woord-boeck, Fredrick Houtman cuba menunjukkan bahawa kata kerja dalam bahasa Melayu juga boleh dijadikan penanda kala. Makalah ini membincangkan jadual konjugasi Frederick Houtman dengan memberi tumpuan terhadap aspek kala dari perspektif sejarah linguistik. Model Climate of Opinion Koerner akan digunakan untuk menghuraikan aspek kala tersebut. Dapatan memperlihatkan bahawa pemaparan jadual konjugasi tersebut adalah sejajar dengan suasana keintelektualan pada abad ketujuh belas. Pada abad ini penulis nahu memberi penekanan kepada aspek konjugasi disebabkan oleh pengaruh daripada bahasa Latin. Penulisan ini juga sejajar dengan perkembangan penulisan nahu di dunia, atau dengan lain perkataan penulisan ini adalah sejajar dengan suasana keintelektualan pada masa itu. Oleh sebab bahasa Latin adalah lingua academica pada waktu itu, maka pengaruhnya tidak dapat dielakkan. Justeru ini menjadikan bahasa Melayu sejajar dengan bahasa lain di dunia, terutama bahasa Latin sebab Latin bermakna nahu

    Strategi berkomunikasi generasi muda Melayu: analisis lakuan bahasa penolakan

    Get PDF
    Lakuan bahasa menolak bermaksud tuturan yang dihasilkan oleh tindak ilokusi yang tidak menerima atau mengkabulkan permintaan, undangan, cadangan, perintah, larangan atau tawaran. Hetti Waluati Triana dan Idris Aman (2011) berpendapat bahawa generasi muda pada hari ini cenderung memilih strategi yang lebih langsung dan kurang mengamalkan nilai-nilai kesantunan dalam budaya mereka. Namun demikian, Nasariah et al. (2010) menjelaskan bahawa masyarakat timur amat mementingkan kesopanan ketika menuturkan sesuatu perkara, misalnya membuat penolakan terhadap permintaan. Justeru, kajian ini bertujuan mengenal pasti pola dan strategi lakuan bahasa penolakan dalam kalangan generasi muda Melayu dan seterusnya menghuraikan kaitan antara strategi lakuan bahasa penolakan dengan aspek kesantunan. Dalam kajian ini, Taksonomi Penolakan yang dikemukakan oleh Beebe et al. (1990) telah diaplikasi sebagai kerangka analisis. Data kajian diperolehi melalui respon penolakan dalam Tugas Penyempurnaan Wacana (TPW) bertulis oleh 50 orang pelajar berbangsa Melayu dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berumur 20 hingga 30 tahun. Soalan-soalan TPW yang dikemukakan merangkumi empat kategori penolakan iaitu penolakan ajakan, tawaran, permintaan dan cadangan. Kajian mendapati bahawa responden cenderung untuk menggunakan strategi tidak langsung berbanding strategi langsung dalam membuat penolakan bagi semua kategori. Selain itu, terdapat penambahan yang boleh dilakukan dalam sipian penolakan yang dikemukakan oleh Beebe et al. (1990) bahawa terdapat penggunaan ungkapan bersifat ketuhanan dalam respon penolakan yang berfungsi untuk memulihkan keadaan. Hasil kajian juga mendapati bahawa strategi penolakan yang digunakan mempunyai perkaitan dengan aspek kesantunan. Hal ini juga menunjukkan bahawa generasi muda Melayu masih mengamalkan nilai-nilai kesantunan dalam membuat penolakan

    Analisis lakuan bahasa direktif guru pelatih dalam komunikasi di bilik darjah

    Get PDF
    Sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung, pelbagai lakuan bahasa digunakan oleh guru pelatih untuk menyampaikan isi pelajaran. Antara lakuan bahasa yang kerap digunakan dalam kalangan guru pelatih sewaktu mengajar ialah lakuan bahasa direktif. Lakuan bahasa direktif ialah ujaran yang digunakan membuat si pendengar melakukan sesuatu. Sehubungan itu, kajian ini meneliti bentuk lakuan bahasa direktif guru pelatih Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dalam komunikasi di bilik darjah sewaktu mengajar matapelajaran Bahasa Melayu. Kajian secara kualitatif ini menggunakan teknik rakaman melibatkan tiga orang guru pelatih tahun akhir IPGM sebagai responden kajian. Ujaran lakuan bahasa direktif telah ditranskripsikan secara verbatim dan dianalisis menggunakan teori lakuan pertuturan dan komunikasi oleh Bach dan Harnish (1979). Kajian menunjukkan ujaran direktif responden terdiri daripada subkategori lakuan bahasa direktif permintaan, pertanyaan, keperluan, larangan, permisif dan nasihat. Kajian ini juga mendapati, dalam subkategori lakuan bahasa direktif, ujaran direktif berbentuk keperluan yang terdiri daripada ayat suruhan paling kerap diujarkan oleh guru pelatih. Hal ini kerana direktif keperluan dapat menyerlahkan kewibawaan dan ketegasan si penutur kepada pihak pendengar. Kesimpulannya, kajian menunjukkan bahawa guru pelatih IPGM mempunyai kecekapan pragmatik dalam komunikasi di bilik darjah terutama sewaktu memberikan arahan kepada murid

    Dieksis sosial dalam interaksi masyarakat Melayu Kedah

    Get PDF
    Penggunaan kata aku, saya, kamu, engkau, dia, mereka dan awak adalah salah satu aspek deiksis sosial yang secara umumnya bermaksud pemilihan dan penggunaan kata nama yang bersesuaian bagi merujuk seseorang atau diri sendiri. Deiksis sosial sebahagiannya dibina melalui elemen deiksis orang. Justeru makalah ini bertujuan untuk menjelaskan dieksis sosial dalam interaksi yang berlaku dalam masyarakat Melayu Kedah khususnya di Kampung Kubang Lintah, mukim Lepai, daerah Kota Setar (DKKS). Pengumpulan data kajian ini adalah secara rakaman perbualan yang berlaku spontan. Informan merupakan penutur dialek Kedah. Kajian ini telah mengaplikasikan pendekatan kualitatif mengikut kerangka analisis deiksis seperti yang dikemukakan oleh Huang (2014). Kajian ini menunjukkan dieksis social berkait rapat dengan dieksis perorangan yang diungkapkan melalui kata ganti nama diri. Keperihalan keadaan seperti intonasi, keadaan peserta deiksis, matlamat pengucapan dan sebagainya merupakan rujukan yang terpenting yang dilihat antara sumbangan pembentukkan struktur dan makna kepada sesebuah elemen diektik yang diinterpretasikan. Implikasinya, DKKS yang merupakan subdialek Kedah dilihat mempamerkan elemen pemakaian deiksis yang tersendiri yang bukan sahaja cenderung dibina melalui bahasanya tetapi juga melibatkan konseptual yang lebih meluas. Hasil analisis membuktikan setiap penutur deiksis memainkan peranan sebagai penyumbang seperti mana yang diilustrasikan melalui pengujaran yang terhasil

    Kata ā€œkesangatanā€ dalam frasa adjektif dialek Terengganu

    Get PDF
    Dialek Terengganu (DT) ialah salah satu dialek yang terdapat di Semenanjung. Dialek ini dituturkan oleh masyarakat yang tinggal di Terengganu dan juga masyarakat Terengganu yang telah berhijrah ke tempat lain apabila berkomunikasi sesama mereka. Frasa adjektif pula ialah salah satu frasa daripada empat golongan frasa yang terdapat dalam bahasa Melayu. Dalam frasa adjektif itulah terdapat frasa adjektif ā€œkesangatanā€ seperti sangat baik, amat jahat dan bagus sekali. Golongan frasa itu juga terdapat dalam dialek Terengganu. Walau bagaimanapun, dalam dialek Terengganu, pasangan kata yang membentuk frasa adjektif tingkat ā€œkesangatanā€ agak unik dan berlainan dengan bahasa Melayu standard (BMS) seperti [busuɁ kɔhoŋ], [mɛɣɔh ɲaler] dan [udoh səpaŋ]. Pasangan seperti itu tiada dalam bahasa Melayu standard. Namun begitu, dari segi makna pasangan kata tersebut juga mendukung makna kesangatan seperti kata penguat dalam bahasa Melayu standard. Oleh itu, dalam kajian ini akan mengupas tentang frasa adjektif ā€œkesangatanā€ dalam DT. Kajian dibataskan kepada dialek Kuala Terengganu di Kampung Bharu Serada. Kajian dilakukan dengan menggunakan kaedah pengumpulan data melalui temu bual dan kaedah ke perpustakaan. Hasil kajian mendapati kata kesangatan yang hadir dalam DT hanya muncul di belakang kata adjektif. Selain itu, kata kesangatan dalam DT juga bersifat tidak produktif kerana hanya hadir pada satu kata adjektif sahaja atau kata adjektif tertentu sahaja. Secara keseluruhan, kajian ini mendapati kata kesangatan yang membentuk frasa adkjetif ā€œkesangatanā€ DT sangat unik dan berbeza dengan bahasa Melayu standard

    Preposisi gerak dalam konsep ruang berdasarkan teori struktur konseptual

    Get PDF
    Gerak merupakan perubahan dari satu lokasi ke lokasi yang lain.Tipologi gerak ini pastinya memerlukan peranan preposisi sebagai indikator dan kompenan utama bagi mengekspresikan arah gerak tersebut. Sehubungan dengan itu, kajian ini akan memfokuskan kepada gerak ruang dan preposisi yang hadir bersamanya seperti ā€˜dariā€™, ā€˜daripadaā€™, ā€˜keā€™, ā€˜kepadaā€™,ā€™ diā€™,ā€™ di seberangā€™, ā€˜di sekitarā€™, ā€˜di sekelilingā€™ dan ā€˜di sepanjangā€™ dengan memberi fokus kepada sudut pandangan struktur konseptual (abstrak). Kajian ini menggunakan data yang diambil daripada Pangkalan Data Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia sebagai bahan dan contoh kajian untuk dianalisis menggunakan teori Struktur Konseptual (TSK) - Ray Jackendoff (1997 & 2011). Pemetaan argumen ini merangkumi 3 tatatingkat utama iaitu pemetaan kepada representasi Peraturan Argumen-Adjung, representasi struktur konseptual dan representasi ruang. Hasil dapatan menunjukkan kehadiran gerak ruang bersifat arah, tambah, menjadi dan orientasi hadir dalam fungsi [PERISTIWA] dan [KEADAAN] yang boleh diramalkan kehadiran preposisinya seperti dari, daripada, ke, kepada, di, di seberang, di sekitar, di sekeliling dan di sepanjang dalam hala bersifat terikat, arah dan laluan. Representasi ruang juga menunjukkan adanya konseptualan dimensi yang terlibat seperti DIMENSI 0D, DIMENSI 2 (0+E) ARAH dan DIMENSI 2 (0 + E) ARAH. Secara keseluruhan, kajian ini telah menunjukkan hubungan gerak dan preposisi dalam representasi struktur konseptual bersama representasi ruang
    corecore