5 research outputs found
Warisan Budaya Tidak Ketara Komuniti Cina Peranakan Kelantan: Kajian Kes Upacara Koi Hoi di Kampung Pasir Parit
Keunikan warisan kebudayaan tidak ketara masyarakat multietnik di Malaysia kian terancam oleh modenisasi dan globalisasi yang berlaku dengan lebih pesat berbanding dengan usaha-usaha yang dijalankan untuk melestari dan memperkasakan warisan kebudayaan itu sendiri. Hal ini lebih ketara bila melibatkan komuniti etnik minoriti yang kurang dikenali umum seperti komuniti Cina Peranakan Kelantan. Justeru itu, makalah ini cuba untuk mengupas dan meneliti satu upacara tradisi Cina Peranakan Kelantan yang semakin dilupakan iaitu upacara Koi Hoi. Perbincangan makalah ini adalah kepada sejarah asal-usul, kepercayaan dan amalan upacara tersebut berdasarkan kajian lapangan yang dilakukan di Kampung Pasir Parit di Jajahan Pasir Mas pada tahun 2019. Kajian mendapati upacara Koi Hoi adalah satu upacara tradisi Tao yang diwarisi secara turun-temurun daripada leluhur yang tiba di Tanah Melayu 300 tahun yang lalu. Ia bertitik-tolak daripada sistem kepercayaan tradisi Cina yang berkaitan dengan kewujudan dan pengaruh kuasa supernatural dalam kehidupan seharian seperti dewa-dewi dan keramat. Upacara Koi Hoi dijalankan sebagai satu usaha beramai-ramai oleh penduduk kampung untuk memohon kepada dewa penjaga kampung perlindungan daripada musibah duniawi mahupun gangguan kuasa ghaib, selain mendapatkan keberkatan demi kesejahteraan seluruh warga kampung. Daripada segi penganjurannya, persiapan dan proses kerja upacara Koi Hoi menerapkan juga elemen-elemen budaya tempatan dan melibatkan partisipasi warga kampung daripada latar etnik berlainan. Justeru itu, melihat kepada kerelevanannya dalam konteks pemupukan perpaduan dalam hubungan antara etnik di Malaysia, maka seharusnya warisan upacara Koi Hoi ini dipelihara dan diiktiraf dengan sewajarnya sebagai warisan kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005
Kesepaduan Nasional Penduduk Kawasan Rukun Tetangga di Malaysia
Malaysia adalah negara yang dibina berasaskan integrasi. Usaha untuk memupuk dan mengukuhkan hubungan antara etnik ke arah perpaduan yang diidamkan sentiasa ditekankan dalam agenda pembangunan negara bangsa Malaysia. Untuk itu, program Rukun Tetangga telah dilancarkan pada tahun 1975 sebagai satu usaha kerajaan untuk memupuk perpaduan di peringkat akar umbi masyarakat. Setelah lebih empat dekad dibentuk, sejauh mana terbinanya kesepaduan nasional dalam kalangan penduduk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara? Satu kajian kuantitatif yang diadaptasikan daripada model Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2018 telah dijalankan ke atas 585 orang penduduk KRT di seluruh negara melalui kaedah purposive sampling. Ujian ANOVA sehala digunakan untuk menentukan perbezaan di antara etnik bagi konstruk kesepaduan sosial dan etos bangsa yang berhubungan dalam membentuk kesepaduan nasional. Ujian regresi linear mudah diaplikasikan untuk menentukan hubungan di antara etos bangsa dan kesepaduan sosial. Dapatan kajian menunjukkan terdapat perbezaan antara etnik dalam beberapa dimensi kesepaduan sosial dan etos bangsa. Manakala etos bangsa dan kesepaduan sosial mempunyai hubungan yang signifikan dalam membentuk kesepaduan nasional dalam kalangan penduduk KRT. Dapat dirumuskan bahawa kedua-dua aspek kesepaduan sosial dan etos bangsa perlu digerakkan sederap dalam setiap langkah pihak kerajaan untuk memupuk perpaduan di peringkat akar umbi masyarakat, termasuklah menerusi program KRT yang meraikan kepelbagaian masyarakat multietnik Malaysia
Identiti etnik minoriti di Malaysia: antara realiti sosial tafsiran autoriti dan tafsiran harian
Soal etnisiti dan identiti etnik kekal hangat dalam kancah kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Walaupun mempunyai kesedaran etnik yang tinggi, tidak ramai yang mengenali atau mengetahui tentang kumpulan-kumpulan etnik lain, khususnya mengenai kumpulan-kumpulan etnik minoriti. Artikel ini mempunyai dua tujuan iaitu mengetengahkan dua kes identiti etnik minoriti di Malaysia dan mengkaji kesan stereotaip sosial kepada interaksi kumpulan etnik minoriti tersebut dengan masyarakat umum. Menggunakan pendekatan dua realiti sosial (Shamsul 1996), kajian dilakukan ke atas dua kumpulan etnik minoriti iaitu Cina Peranakan di Kelantan dan Punjabi Sikh di Kuala Lumpur. Kajian mendapati identiti etnik Cina Peranakan Kelantan dan Punjabi Sikh jauh berbeza daripada stereotaip yang dikaitkan dengan kecinaan dan keindiaan dalam arus perdana; identiti Cina Peranakan Kelantan misalnya, kuat dipengaruhi oleh elemen budaya tempatan manakala identiti Punjabi Sikh adalah bertunjangkan kepada elemen agama Sikh. Walaupun tinggal dalam dua kawasan yang mempunyai indeks kepelbagaian etnik yang berbeda, kedua-dua kumpulan etnik minoriti ini didapati menghadapi dua masalah sepunya iaitu salah identiti dan konotasi negatif dalam ethnonym. Masalah ini cenderung dihadapi dalam interaksi dengan golongan awam dalam arus perdana di luar lokaliti mereka. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa masyarakat di Malaysia mempunyai kesedaran dan pengetahuan yang cetek mengenai kumpulan etnik minoriti yang ada di negara ini. Ini dapat dikaitkan dengan penekanan kepada pendekatan ‘tafsiran autoriti’ yang disusul daripada ilmu dan cara kolonial dalam mengurus kepelbagaian etnik yang ada. Selepas suatu masa, pengetahuan ini menjadi fakta sosial yang diterima, berleluasa dan dominan dalam masyarakat tersebut
Kawasan Rukun Tetangga : pemangkin perpaduan peringkat akar umbi masyarakat Malaysia
Isu menguruskan perbedaan sosial mengikut garis etnik masih kekal menjadi satu isu yang sensitif dan kritikal dalam masyarakat multietnik di Malaysia hari ini walaupun setelah tercapainya kemerdekaan lebih daripada enam dekad yang lalu. Signifikasi faktor etnik dalam kehidupan seharian menyebabkan kerajaan giat melakukan usaha-usaha proaktif untuk memupuk perpaduan yang dikatakan masih belum tercapai. Melalui penubuhan dan pelaksanaan program Rukun Tetangga, para sarjana umumnya bersetuju bahawa program tersebut memberi kesan positif ke atas pemupukan perpaduan di peringkat akar-umbi masyarakat. Namun, adakah konsensus ini turut relevan di peringkat kebangsaan? Artikel ini bertujuan untuk mengupas pengukuran tahap kesepaduan sosial penduduk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dari setiap negeri dan Wilayah Persekutuan dengan menggunakan analisis deskriptif dan statistik inferensi ke atas data kuantitatif yang dikumpul menggunakan borang soal-selidik. Responden kajian adalah seramai 585 orang penduduk yang menetap di 60 buah KRT dari seluruh negara. Pendekatan purposive sampling digunakan untuk memastikan komposisi etnik responden kajian ini adalah selaras dengan komposisi etnik populasi Malaysia. Hasil dapatan kajian menunjukkan tahap kesepaduan sosial yang dicapai adalah tinggi di mana penduduk daripada pelbagai latar belakang etnik dan agama telahpun berkongsi nilai hidup dan pandangan hidup yang sama. Pengukuran kesepaduan sosial daripada enam dimensi iaitu kekitaan, keterangkuman, penyertaan, pengiktirafan, legitimasi dan kesamarataan mendapati walaupun mereka mempunyai bentuk perhubungan yang merentasi batas etnik, signifikasi faktor etnik belum terhapus sepenuhnya dalam masyarakat Malaysia. Oleh itu, walaupun kesepaduan sosial dalam masyarakat adalah kuat biarpun dalam keadaan politik dan sosioekonomi masa kini yang tidak stabil, usaha proaktif untuk memperkukuhkan perpaduan masih diperlukan
Kelantan Peranakan Chinese language and marker of group identity
Although the status of the national language of Malaysia has been consolidated in the
Constitution, the Malay language remains commonly associated with a specific segment of
Malaysian society, i.e., the Malays. The language is often seen as a distinct marker for
Malayness whereas the non-Malay ethnic groups, particularly in Peninsular Malaysia, are not
widely associated with the language. The Chinese as the largest minority ethnic group in the
Peninsular, are often stereotypically depicted as relatively less fluent or knowledgeable in
Malay language, at times not beyond the colloquial ‘bahasa pasar’. Such a scenario suggests
that language-wise, Malaysian society remains divided along ethnic lines. This paper seeks to
highlight Malay language use among Peranakan Chinese youth in Kelantan. While their
higher level of Malay language proficiency vis-Ã -vis mainstream Chinese is readily
acknowledged, findings from content analyses of qualitative data collected in a focus group
discussion also suggest that such proficiency in Malay language is achieved due to it being
pivotal to the continuity of their identity as both Kelantan Peranakan Chinese and
Kelantanese. In short, the Kelantan Peranakan Chinese community is a good example that
proficiency in Malay language as national language can exist in tandem with the group’s
mother tongue language, and thus should be celebrated and supported towards building a
common identity as part of nation-building in Malaysia