2 research outputs found
Wanita menurut taklif: satu analisis terhadap watak Fatimah dalam cerpen “Perempuan Gusti” dan “Fatimah Kahwin” karya Hamzah Hussin women according to taklif: an analysis on the role of Fatimah in Hamzah Hussin’s short stories “Perempuan Gusti” and “Fatimah Kahwin”
Artikel ini membangkitkan tentang kecenderungan cerpen-cerpen Hamzah Hussin terhadap persoalan wanita. Kecenderungan ini tidak pula disambut dengan kajian ilmiah yang meluas tentang wanita dalam cerpen-cerpen Hamzah Hussin. Kajian Membunga@Siti Meriam Yaacob (2005 & 2010) memberikan fokus terhadap wanita dalam karya-karya Hamzah Hussin, serta membandingkannya dengan karya-karya Keris Mas. Dengan menerapkan teori feminisme, kajian Membunga@Siti Meriam Yaacob antara lain memperakukan watak Fatimah dalam cerpen-cerpen Hamzah Hussin sebagai manifestasi kemodenan wanita Melayu. Dalam konteks penerapan teori feminisme dan hasilnya, Mohd Affandi Hassan (2012) antara lain membahaskan tentang kesesuaian teori Barat itu (feminisme) dalam pengkajian karya sastera Melayu. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dan Zulkarnain Mohamed (2013) merumuskan bahawa penerapan feminisme “tanpa berhati-hati dan penuh hemah” (istilah mereka sendiri) boleh menghasilkan kesimpulan yang mengelirukan tentang Islam dan budaya Melayu. Dengan kata lain, ketiga-tiga sarjana ini menuntut supaya pengkajian tentang wanita dalam karya-karya sastera Melayu mengguna pakai satu kerangka yang berteraskan Islam. Sejajar dengan tuntutan ini, artikel ini diusahakan bagi menganalisis dan seterusnya merumuskan tentang manifestasi watak Fatimah dalam dua cerpen Hamzah Hussin, iaitu “Perempuan Gusti” (1951) dan “Fatimah Kahwin” (1951) berdasarkan prinsip Taklif. Untuk tujuan itu, artikel ini menerapkan gagasan Persuratan Baru, iaitu satu kerangka analisis yang berteraskan Islam dan memanfaatkan Taklif (dalam ajaran Islam) sebagai prinsipnya. Dengan menerapkan gagasan Persuratan Baru, analisis ini merumuskan bahawa watak Fatimah dalam kedua-dua cerpen Hamzah Hussin yang dikaji, hadir sebagai manifestasi wanita Melayu yang menyanggah syariat Islam
Representasi watak wanita dalam karya sastera Melayu moden berdasarkan kerangka Taklif
Tesis ini bertitik tolak daripada sorotan literatur yang menyerlahkan kecenderungan kajian-kajian tentang wanita dalam kesusasteraan Melayu, dalam menerapkan feminisme sebagai kerangka analisis. Kecenderungan ini menimbulkan perbahasan dalam kalangan sarjana dan pengkritik sastera yang menganggap penerapan feminisme menghasilkan dapatan serta kesimpulan yang mengelirukan. Kekeliruan ini dikatakan terjadi kerana dapatan dan kesimpulan yang terhasil itu bertentangan dengan Islam yang menjadi teras tradisi kesusasteraan Melayu. Sehubungan itu, timbul seruan supaya pengkajian tentang wanita dalam kesusasteraan Melayu mengguna pakai kerangka analisis yang berteraskan Islam. Dalam konteks kecenderungan dan seruan di atas,kajian ini diusahakan bagi meneliti representasi watak wanita dalam kesusasteraan Melayu dengan mengguna pakai satu kerangka analisis yang berteraskan Islam. Tesis ini distrukturkan bagi mencapai dua objektif penting iaitu menganalisis, dan seterusnya
merumuskan representasi watak-watak wanita dalam karya sastera Melayu moden periode awal berdasarkan kerangka Taklif. Dalam usaha merealisasikan kedua-dua objektif ini, tesis ini memilih untuk menerapkan kerangka Taklif sebagai kerangka analisis. Taklif merupakan satu kerangka Islam yang menunjangi gagasan Persuratan Baru (seterusnya PB) cetusan Mohd. Affandi Hassan. Dengan menerapkan kerangka Taklif, kajian ini menganalisis enam buah cerpen dan dua buah novel Melayu. Pemilihan ini diasaskan kepada pertimbangan bahawa karya-karya sastera yang dikaji ini diterbitkan dalam lingkungan periode awal sejarah kesusasteraan Melayu moden. Selain itu, watak-watak wanita dalam karya-karya yang dikaji telah mendapat perhatian yang serius dalam kajian-kajian ilmiah sedia ada yang rata-rata menerapkan feminisme sebagai kerangka analisis. Pertimbangan ini membolehkan kajian ini menawarkan dapatan serta kesimpulan yang baharu, hasil daripada penerapan kerangka analisis yang berbeza. Dengan menerapkan kerangka Taklif, analisis ini merumuskan bahawa karyakarya sastera Melayu moden yang dikaji cenderung dalam merepresentasikan watakwatak wanita yang bertentangan dengan Islam. Dengan hasil analisis serta rumusan ini,kajian ini diharap memberikan sumbangan yang bererti dalam pengkajian tentang wanita dalam karya-karya sastera moden, khususnya yang mewakili periode
pertengahan dan selanjutnya dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden