2 research outputs found

    Ujian ricih terus permukaan satah ketakselanjaran granit (Direct shear test of granite discontinuity plane surfaces)

    Get PDF
    Parameter kekuatan ricih seperti sudut geseran permukaan ketakselanjaran batuan merupakan antara data penting bagi reka bentuk struktur kejuruteraan batuan seperti pengorekan bawah tanah dan cerun potongan. Ujian ricih terus beban normal tetap telah dilakukan pada permukaan buatan potongan gergaji batuan granit segar dan terluluhawa sedikit untuk menentukan sudut geseran asas permukaan satah ketakselanjaran. Sampel granit diperoleh dari Kuari Kajang Rock, Semenyih, Ulu Langat, Selangor, Lebuhraya Silk Kajang (km 14.6), Selangor, Jalan Pos Selim-Kampung Raja (km 30-29), Cameron Highland, Pahang/Perak dan Kuari JKR Bukit Penggorak, Kuantan, Pahang. Sebanyak 84 ujian ricih terus telah dijalankan pada batuan granit iaitu 65 ujian pada batuan segar dan 19 ujian pada batuan terluluhawa sedikit. Untuk batuan granit segar, sudut geseran asas ialah 42° ± 0.6° dengan sisihan piawai sebanyak 2.26 dan pekali penentuan, R2 sebanyak 0.98. Untuk granit terluluhawa sedikit, sudut geseran asas ialah 38° ± 1.9° dengan sisihan piawai sebanyak 3.99 dan pekali penentuan, R2 sebanyak 0.97. Nilai-nilai ini adalah lebih tinggi daripada nilai yang selalu dianggap untuk batuan granit segar iaitu 30°-35°

    Pencirian geomekanik jasad batuan dengan menggunakan kaedah seismos: nisbah poisson

    Get PDF
    Parameter mekanik seperti nisbah Poisson merupakan parameter input kejuruteraan batuan terutamanya dalam perisian komputer model berangka. Kaedah seismos digunakan untuk menentukan nisbah Poisson jasad batuan segar (gred I), terluluhawa sedikit (gred II), terluluhawa sederhana (gred III) dan tinggi (gred IV). Nisbah Poisson setiap lapisan jasad batuan dikira berdasarkan nilai purata halaju gelombang mampatan (Vp) dan gelombang ricih (Vs) pada kedalaman tertentu. Halaju gelombang mampatan (Vp) diperoleh daripada survei seismos biasan dan halaju gelombang ricih (Vs) diperoleh daripada survei analisis spektral gelombang permukaan (SASW) atau analisis gelombang permukaan berbilang saluran (MASW). Sebanyak 66 ujian seismos telah dijalankan pada 9 cerun jasad batuan iaitu 6 ujian di atas 1 cerun jasad batuan granit di JKR kuari Bukit Penggorak, Kuantan, Pahang; 26 ujian di atas 4 cerun jasad batuan granit di Kuari Kajang Rock, Semenyih, Ulu Langat, Selangor; 12 ujian di atas 1 cerun jasad batuan granit di Lebuhraya Silk Kajang (km 14.6) Selangor; 14 ujian di atas 2 cerun jasad batuan syis di Jalan Kuala Kubu Baru-Bukit Fraser (km 15), Selangor dan 8 ujian di atas 1 cerun jasad batuan kuarzit di Section U10, Bukit Cherakah, Shah Alam, Selangor. Daripada ujian seismos, nilai maksimum nisbah Poisson jasad batuan yang bergred I, II, III dan IV ialah 0.295, 0.335, 0.355 dan 0.364. Nilai minimum nisbah Poisson jasad batuan yang mempunyai gred I, II, III dan IV ialah 0.215, 0.299, 0.334 dan 0.337. Nilai purata nisbah Poisson untuk jasad batuan bergred I, II, III dan IV ialah 0.274, 0.320, 0.345 dan 0.345. Nilai nisbah Poisson jasad batuan menjadi semakin besar apabila gred terluluhawa menjadi semakin besar. Nilai purata nisbah Poisson jasad batuan gred II, III dan IV bertambah sebanyak 16.8%, 25.9% dan 25.9% jika dibandingkan dengan jasad batuan gred I. Keadaan ini berlaku kerana perubahan retakan pada jasad batuan gred I adalah lebih besar apabila mengalami proses terluluhawa. Perubahan retakan menjadi semakin kecil apabila mengalami proses terluluhawa seterusnya. Tiada perubahan retakan berlaku pada jasad batuan gred III apabila menjadi jasad batuan gred I
    corecore