22 research outputs found
Program Latihan dan Pembangunan: Satu Tinjauan di Fakulti Sains Kemanusiaan dan Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Penyelidikan yang berbentuk deskriptif ini bertujuan untuk mengkaji pandangan
kakitangan kumpulan sokongan kategori B, C dan D Fakulti Sains Kemanusiaan Dan
Kemasyarakatan (FSKK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),terhadap
keberkesanan program latihan dan pembangunan yang telah direkabentuk dan
dilaksanakan oleh pihak universiti dalam memantapkan pembangunan sumber manusia
secara keseluruhan. Dalam konteks ini, pengkaji cuba menilai dan menganalisa
keberkesanan program latihan dan pembangunan yang diamalkan di UKM dari tiga aspek utama iaitu aspek Perancangan, aspek Pengendalian dan terakhirnya aspek Penilaian
program berdasarkan pandangan dan pendapat kakitangan kumpulan sokongan kategori
B,C dan D sepertimana yang dinyatakan sebelumnya.
Bagi mencapai objektif penyelidikan, kaedah soalselidik telah dijalankan ke atas
64 orang responden. Oleh kerana bilangan responden yang sedikit, maka persampelan
tidak dilakukan dalam kajian ini, statistik deskriptif seperti frekuensi, peratusan dan min
digunakan untuk membuat interpretasi pandangan responden terhadap aspek-aspek yang
dikaji mengenai keberkesanan program latihan dan pembangunan yang telah diikuti
Kepentingan kecerdasan emosi dalam komunikasi keorganisasian dan pengaruhnya terhadap kepuasan kerja
Kecerdasan emosi adalah sebahagian daripada aspek penting dalam komunikasi keorganisasian. Kecerdasan emosi merupakan aset penting kepada pekerja dan organisasi. Dengan adanya kecerdasan emosi, akan melahirkan pekerja yang seimbang dari segi fizikal, mental dan psikologikal. Kertas ini mengupas kepentingan kecerdasan emosi terhadap kepuasan kerja kakitangan pelaksana sukan sekitar Lembah Kelang. Kakitangan pelaksana sukan merupakan antara individu yang paling banyak berinteraksi dengan pelbagai golongan masyarakat baik dari peringkat Menteri hinggalah kepada atlet dan peminat sukan yang datangnya daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi. Justeru kebolehan dan kemahiran mereka dari segi menguruskan emosi ketika berhadapan dengan stakeholder adalah sangat penting. Lima dimensi kecerdasan emosi dikaji untuk melihat tahap kecerdasan emosi kakitangan pelaksana sukan serta hubungan dan pengaruh kecerdasan emosi tersebut terhadap kepuasan kerja. Lima dimensi tersebut ialah kesedaran diri, kawalan diri, kemahiran sosial, motivasi diri dan empati. Berdasarkan analisis min, kelima-lima dimensi kecerdasan emosi kakitangan pelaksana sukan berada pada tahap tinggi. Melalui ujian korelasi pula, terdapat hubungan positif yang tinggi dan signifikan antara kecerdasan emosi dengan kepuasan kerja (p<.01, r=0.83). Sementara analisis regresi pelbagai pula menunjukkan pengaruh yang signifikan bagi dimensi kemahiran sosial dan kesedaran diri ke atas kepuasan kerja(p<.01, R2 = 0.76). Ini menunjukkan bahawa kemahiran sosial dan kesedaran diri memberi pengaruh ke atas kepuasan kerja sebanyak 76 peratus. Tiga lagi dimensi yang dikaji
iaitu kawalan diri, motivasi diri dan empati adalah tidak signifikan
Penerimaan warga akademik UKM terhadap sasaran penetapan indeks prestasi utama (KPI) dan pengaruhnya terhadap komitmen kerja
Kertas ini membincangkan penerimaan inovasi penilaian prestasi kakitangan awam melalui pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP). Melalui GTP, kakitangan awam diminta meletakkan matlamat lebih tinggi daripada biasa dan mencabar diri untuk mencapainya. Oleh sebab penetapan matlamat yang tinggi memerlukan usaha yang lebih untuk mencapainya, maka kajian ini ingin mengenal pasti sejauh mana kakitangan awam khususnya warga akademik UKM boleh menerima pembaharuan ini dan sejauh mana mereka bersetuju dengan pemberat yang ditetapkan untuk setiap komponen yang dinilai. Kajian ini menggunakan survey ke atas warga akademik yang bermula daripada jawatan guru hinggalah kepada profesor. Hasil kajian mendapati, tahap penerimaan KPI oleh warga akademik UKM berada pada tahap tinggi untuk semua kategori komponen yang dinilai. Bagaimanapun dari segi persetujuan terhadap pemberat komponen KPI, secara keseluruhannya berada pada tahap sederhana. Dari segi pengaruh penerimaan KPI ke atas komitmen kerja, daripada tiga komponen yang dijadikan pemboleh ubah peramal, hanya komponen pendidikan memberi pengaruh yang signifikan (R2=.274; p<.05) ke atas komitmen kerja. Dua lagi komponen iaitu penyelidikan dan khidmat adalah tidak signifikan
Kesignifikanan model kepuasan komunikasi dalam konteks pengurusan maklumat sektor awam
Sektor awam penting dalam merancang, membentuk dan melaksanakan pelbagai program pembangunan demi memperkukuhkan sistem pentadbiran dan pengurusan negara. Justeru, kerajaan sentiasa melakukan pemantauan yang serius dengan pelbagai kaedah pengurusan maklumat terhadap bidang tugas kakitangan awam, hubungan komuniti dan dasar-dasar yang diperkenalkan supaya perancangan dan pelaksanaan dasar dapat dilaksanakan dengan sempurna seterusnya membantu kerajaan mencapai matlamat yang diingini (Adler dan Elmhorst 2009, Blundel 2010). Objektif kajian adalah mengkaji hubungan di antara dimensi pengurusan maklumat dengan kepuasan komunikasi seterusnya membina model komunikasi keorganisasian sektor awam. Kaedah kajian yang digunakan ialah Kaedah Survei yang melibatkan 420 kakitangan awam kumpulan sokongan sebagai responden kajian. Persampelan rawak mudah diaplikasikan dan soal selidik dijalankan dengan kaedah bersemuka dan mengandungi 4 bahagian iaitu Bahagian A merangkumi soalan berdasarkan profil responden, Bahagian B memfokuskan kepada aspek-aspek utama Pengurusan Maklumat (Persekitaran Maklumat, Ketidakjelasan Maklumat dan Kitaran Komunikasi) dan Bahagian C memfokuskan kepada Kepuasan Komunikasi. Analisis korelasi Pearson digunakan untuk melihat hubungan antara ketiga-tiga faktor pembolehubah bebas dalam dimensi pengurusan maklumat iaitu persekitaran maklumat, ketidakjelasan maklumat dan kitaran komunikasi dengan tahap kepuasan komunikasi. Manakala, Analisis Faktor dan Analisis Regresi Linear Berbilang akan diaplikasikan untuk membina Model Komunikasi Keorganisasian. Kajian ini dijangkakan dapat membina satu model yang dikonsepsualisasikan semula daripada Teori Organisasi Weick (1979) dan juga diharapkan dapat memberikan sumbangan idea dan implikasi yang berguna kepada semua agensi dan kementerian dalam konteks latihan dan pembangunan kakitangan, pembentukan polisi dan perubahan budaya kerja dalam sektor awam di Malaysia
Pengkomunikasian Pengurusan Maklumat dengan budaya kerja di stesen Radio Malaysia Kedah FM
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji hubungan pengkomunikasian pengurusan maklumat dengan budaya kerja di stesen radio Malaysia Kedah FM. Terdapat tiga item dalam aspek pengurusan maklumat yang dikaji iaitu persekitaran maklumat, ketidakjelasan maklumat dan interpretasi maklumat. Manakala bagi aspek budaya kerja juga terdapat tiga item yang dikaji iaitu kebiasaan, perilaku dan pemikiran. Kajian ini dilakukan ke atas keseluruhan kakitangan yang bekerja di stesen radio Malaysia Kedah FM yang melibatkan seramai 61 orang responden. Kaedah kuantitatif dalam reka bentuk tinjauan iaitu borang soal selidik secara tertutup telah dijalankan dan ia mengandungi 3 bahagian iaitu Bahagian A merangkumi soalan berdasarkan demografi responden, Bahagian B memfokuskan kepada aspek-aspek utama Pengurusan Maklumat (Persekitaran Maklumat, Ketidakjelasan Maklumat dan Interpretasi Maklumat) dan Bahagian C memfokuskan kepada Budaya Kerja. Kajian ini telah menganalisis 52 borang soal selidik atas sebab terdapat 9 borang soal selidik yang rosak. Kajian ini dianalisis dengan menggunakan sistem perisian Statistical Package for Social Sciences (SPSS) versi ke-23. Pengkaji telah menggunakan dua kaedah untuk menganalisis dapatan kajian iaitu kaedah statistik deskriptif dan kaedah statistik inferensi. Kaedah statistik deskriptif telah digunakan bagi menerangkan dan menjelaskan kekerapan dan peratusan bagi setiap pemboleh ubah yang terlibat. Manakala kaedah statistik inferensi digunakan bagi melihat hubungan antara pemboleh ubah pengurusan maklumat dengan pemboleh ubah budaya kerja melalui ujian Korelasi Pearson. Hasil kajian telah menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang lemah antara aspek pengurusan maklumat dengan aspek budaya kerja
Hubungan komunikasi keorganisasian dengan perancangan strategik modal insan Universiti Kebangsaan Malaysia
Komunikasi keorganisasian adalah antara pemangkin utama dalam merancang dan membentuk perancangan strategik pembangunan modal insan sesebuah organisasi. Kegagalan pihak atasan dalam membentuk satu sistem perancangan strategik yang mantap akan membawa kepada kegagalan dalam melahirkan kakitangan yang bersifat proaktif, berfikiran prolifik, berdaya saing, kreatif dan berinovatif. Kajian yang memfokuskan kepada komunikasi keorganisasian ini diharap dapat memacu proses perancangan strategik pembangunan modal insan organisasi. Justeru, kajian yang melibatkan seramai 318 orang responden dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini memberikan tumpuan kepada beberapa elemen penting dalam komunikasi keorganisasian seperti budaya organisasi, nilai dan etika, sifat dan sikap pekerja dalam membantu menjayakan proses perancangan strategik modal insan UKM. Objektif utama kajian ialah untuk menganalisis hubungan komunikasi keorganisasian dengan perancangan strategik modal insan dan kajian ini juga akan melibatkan kaedah survei dalam kalangan kakitangan UKM. Semua pengedaran soal selidik dijalankan dengan kaedah bersemuka bagi mandapatkan maklumat yang lebih tepat dan telus. Pengukuran pembolehubah berdasarkan skala likert dan dianalisis dengan menggunakan pakej SPSS (Statistical Package for Social Sciences). Kajian membuktikan bahawa aspek komunikasi keorganisasian memberikan impak dan pengaruh yang kuat terhadap perancangan strategik modal insan.Kajian ini juga diharapkan dapat memberikan hasil kajian yang positif yang melibatkan impak hubungan komunikasi
keorganisasian dengan perancangan strategik pembangunan modal
insan di UKM terutamanya dalam konteks persekitaran organisasi
secara holistik
Hubungan tingkahlaku kepemimpinan dengan budaya kerja 5S dalam sektor awam
Kepimpinan yang efektif melambangkan kejayaan sesebuah jabatan kerajaan. Tingkah laku kepemimpinan yang sesuai dalam sesebuah organisasi dilihat sebagai suatu yang amat penting untuk menentukan kejayaan atau kegagalan organisasi tersebut. Pembentukan budaya kerja 5S yang cemerlang bergantung pada tingkah laku kepimpinan dalam sesebuah organisasi. Penggunaan tingkah laku kepimpinan yang sesuai akan membantu organisasi untuk membentuk budaya kerja 5S dengan lebih berkesan. Kajian ini memfokuskan kepada hubungan tingkah laku kepimpinan dengan budaya kerja 5S dalam sektor awam di Putrajaya. Dalam konteks ini, kajian tertumpu kepada organisasi sektor awam yang memfokuskan kepada empat tingkah laku kepimpinan iaitu kepimpinan berorientasikan arahan, kepimpinan berorientasikan sokongan, kepimpinan berorientasikan penyertaan dan kepimpinan beorientasikan pencapaian yang berasaskan kepada Teori Laluan Matlamat yang diasaskan oleh Robert House pada tahun 1971. Kajian rintis dijalankan dan nilai Cronbach’s Alpha ialah 0.96. Pengedaran borang soal selidik melibatkan 156 responden yang terdiri daripada kakitangan kumpulan sokongan sektor awam di Putrajaya. Data kajian dianalisis dengan menggunakan Statistical Package for the Social Science (SPSS) versi 22. Ujian Korelasi Pearson digunakan untuk menganalisis data dan hasil kajian mendapati bahawa semua hipotesis diterima dan ini bermakna bahawa pembolehubah tingkah laku kepemimpinan dalam kajian ini mempunyai hubungan yang positif dengan budaya kerja 5S Diharapkan dengan maklumat yang diperolehi daripada hasil kajian, pendekatan tingkah laku kepemimpinan yang telah dikenalpasti dapat meningkatkan keberkesanan dalam melaksanakan budaya kerja 5S
Pengaruh pola komunikasi ke atas komunikasi strategik
Komunikasi strategik merupakan suatu bentuk tindakan berstrategi dan sangat penting untuk pembangunan organisasi kerana komunikasi dianggap sebagai penyumbang utama kepada kecekapan organisasi. Tujuan utama kajian ini adalah bagi mengenal pasti pola komunikasi yang digunakan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), menganalisis sejauh mana pola komunikasi mempunyai hubungan dengan amalan komunikasi strategik dan sejauh mana pola tersebut mempengaruhi komunikasi strategik. Pola yang dianalisis ialah pola komunikasi atas ke bawah, pola komunikasi bawah ke atas, pola mendatar, pola berpenjuru dan pola komunikasi luar organisasi. Elemen komunikasi strategik yang dikaji pula ialah perancangan komunikasi, sokongan pengurusan atasan, mesej bersasaran, pemilihan dan penggunaan alat komunikasi, penilaian berterusan dan budaya kerja. Penetapan elemen tersebut adalah bersandarkan kepada Model Komunikasi Strategik Barret (2002). Model Barret ini telah diubah suai oleh pengkaji dengan menambahkan dua lagi elemen iaitu perancangan komunikasi dan budaya kerja. Kajian ini menggunakan kaedah analisis kandungan dan survei. Sebanyak 28 aduan yang dihantar oleh pengguna KTMB dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan. Kemudian, survei pula dijalankan ke atas 200 responden yang terdiri daripada kakitangan komuter di Lembah Klang. Hasil kajian mendapati pengguna kerap menghantar aduan dan kebanyakan aduan berkait dengan pengurusan perkhidmatan dan budaya kerja. Pada masa yang sama, KTMB banyak mengamalkan pola komunikasi mendatar dan komunikasi luar organisasi berbanding pola komunikasi atas ke bawah, bawah ke atas dan berpenjuru. Melalui analisis korelasi, hasil kajian mendapati terdapat hubungan sederhana kuat antara pola komunikasi dengan komunikasi strategik. Manakala, bagi analisis regresi pula menunjukkan pola komunikasi mempengaruhi sebanyak 52.4 peratus varians terhadap komunikasi strategik
Pengaruh komunikasi strategik ke atas keberkesanan penyampaian mesej
Komunikasi strategik merupakan suatu bentuk tindakan berstrategi dan sangat penting untuk pembangunan organisasi kerana komunikasi dianggap sebagai penyumbang utama kepada kecekapan organisasi. Tujuan utama kajian ini adalah bagi mengenal pasti pola komunikasi yang digunakan, menganalisis sejauh mana pola komunikasi mempunyai hubungan dengan amalan komunikasi strategik serta menganalisis sejauh mana elemen komunikasi strategik iaitu perancangan komunikasi, sokongan pengurusan atasan, mesej bersasaran, pemilihan dan penggunaan alat komunikasi, penilaian berterusan dan budaya kerja mempengaruhi keberkesanan mesej yang disampaikan dalam kalangan kakitangan KTMB. Penetapan elemen tersebut adalah bersandarkan kepada Model Komunikasi Strategik Barret (2002). Model Barret ini telah diubah suai oleh pengkaji dengan menambah dua lagi elemen iaitu perancangan komunikasi dan budaya kerja. Untuk tujuan kajian ini, sebanyak 28 aduan yang dihantar oleh pengguna KTMB dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan. Kemudian, survei pula dijalankan ke atas 200 responden yang terdiri daripada kakitangan komuter di Lembah Klang. Hasil kajian mendapati pengguna kerap menghantar aduan dan kebanyakan aduan berkait dengan pengurusan perkhidmatan dan budaya kerja. Pada masa yang sama, KTMB banyak mengamalkan pola komunikasi mendatar dan komunikasi luar organisasi berbanding pola komunikasi menegak dan berpenjuru. Melalui analisis korelasi, hasil kajian mendapati terdapat hubungan sederhana kuat antara pola komunikasi dengan komunikasi strategik. Manakala, bagi analisis regresi pula menunjukkan elemen komunikasi strategik mempengaruhi sebanyak 56 peratus varians terhadap keberkesanan penyampaian mesej
Komunikasi strategik dan peranannya untuk mewujudkan komunikasi berkesan dalam organisasi
Kertas konsep ini membincangkan kepentingan komunikasi strategik dalam organisasi. Komunikasi strategik merupakan komunikasi berencana, terancang dan digunakan untuk mencapai matlamat organisasi. Komunikasi perlu dilihat sebagai suatu yang konstitutif, berlandaskan perancangan yang teliti, pelaksanaan yang berhati-hati serta penilaian yang berterusan. Dalam konteks kertas ini, sorotan literatur telah dibuat dan disintesiskan mengikut tema tertentu. Antaranya ialah perbincangan tentang skop komunikasi strategik yang boleh dilihat dalam konteks pendekatan, model dan konsep. Skop yang dibincangkan adalah pelbagai iaitu daripada suatu yang bersifat umum hinggalah kepada suatu yang bersifat khusus. Tema seterusnya yang disoroti ialah peranan komunikasi strategik dalam organisasi. Peranannya yang paling banyak dibincangkan ialah untuk mencari solusi dalam isu komunikasi keorganisasian, diikuti meningkatkan morale pekerja dan mengurangkan konflik emosi, menguruskan reputasi sektor awam dengan berkesan dan mendorong kepada proses perubahan keorganisasian. Komunikasi strategik turut dilihat dari perspektif keberkesanan komunikasi dan impaknya kepada organisasi. Dalam konteks ini, kajian lepas banyak membincangkan tentang elemen yang terkandung dalam komunikasi strategik yang mendorong kepada pencapaian komunikasi berkesan. Antaranya ialah pola komunikasi yang digunakan iaitu baik berupa arah komunikasi, saluran komunikasi, kandungan komunikasi dan gaya komunikasi. Aspek lain yang dilihat ialah peranan kepimpinan, hubungan interpersonal, perancangan, pelaksanaan dan penilaian komunikasi