2 research outputs found

    Pemikiran Politik: Pemimpin dan Kepemimpinan dalam Novel Shahnon Ahmad

    Get PDF
    Makalah ini adalah untuk melihat pemikiran politik: pemimpin dan kepimpinan dalam novel Shahnon Ahmad iaitu novel Shit, dan Patriarch. Makalah ini didasarkan kepada sikap pemimpin politik yang sering ditimbulkan oleh pengarang dalam karyanya yang dikaitkan dengan pengalaman beliau sendiri dalam dunia politik tanah air. Selain itu makalah ini juga ingin melihat sejauh mana kepincangan dalam dunia politik akibat daripada sikap pemimpin kerana karya yang dihasilkan oleh beliau kebanyakannya melihat permasalahan dalam dunia politik yang dikaitkan dengan pengalaman beliau sendiri yang pernah terlibat dalam politik di tanah air dengan mengemukakannya dalam bentuk karya kreatif. Fokus kajian ini adalah untuk mengenal pasti dan menganalisis pemikiran politik pemimpin dan kepimpinan yang terdapat dalam novel-novel Shahnon Ahmad. Kaedah yang digunakan adalah kaedah kepustakaan, menganalisis kandungan teks dan pengaplikasian teori Konseptual Kata Kunci bagi menguatkan lagi hujah yang ingin disampaikan. Hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat pemikiran politik dalam novel Shahnon Ahmad iaitu pemikiran politik tentang pemimpin dan kepimpinan yang melihat kepada sikap pemimpin yang berperwatakan negatif dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan. Rumusan daripada kajian ini menunjukkan bahawa keduadua buah novel Shahnon Ahmad mempunyai pemikiran politik pemimpin dan kepimpinan berdasarkan analisis teori Konseptual Kata Kunci

    Pelaksanaan undang-undang adat mengikut Undang-Undang Melaka dalam Sulalatus Salatin

    Get PDF
    Penyelidikan ini bertujuan mengkaji pelaksanaan undang-undang adat mengikut Undang-Undang Melaka dalam Sulalatus Salatin. Kajian ini bertitik tolak dari pandangan sarjana yang memperakukan bahawa undang-undang adat yang diperuntukkan dalam kerajaan Melayu Melaka dilaksanakan. Namun, wujud percanggahan pandangan apabila terdapat beberapa sarjana menganggap bahawa undang-undang tersebut hanyalah sebuah risalah apabila peraturannya dikesampingkan. Selain itu, fasal dalam Undang-Undang Melaka yang melibatkan aspek adat, hukum adat dan hukum Islam saling bercampur dan tidak dibuat pembahagian. Oleh itu, kajian ini didasarkan pada tiga objektif utama, iaitu mengkategorikan pelaksanaan undang-undang adat mengikut Undang-Undang Melaka dalam Sulalatus Salatin, menganalisis pelaksanaan undang-undang adat berdasarkan adat yang sebenarnya adat, adat yang diadatkan dan adat yang teradat serta menilai pelaksanaan undang-undang adat mengikut Undang-Undang Melaka dalam Sulalatus Salatin. Bagi mencapai objektif tersebut, fasal dalam Undang-Undang Melaka dirujuk untuk meneliti pelaksanaan undang-undang adat dalam Sulalatus Salatin. Terdapat dua kaedah yang digunakan, iaitu Kategori Adat (2015) yang dirumuskan dari konsep undang-undang adat untuk mengkategorikan dan menganalisis data serta Teori Politik al-Farabi dan Masyarakat Melayu (1991) bertujuan menguatkan hujah dan data kajian. Berdasarkan kajian yang dijalankan, pelaksanaan undang-undang adat dalam kategori adat yang sebenarnya adat adalah melibatkan peruntukan hukuman yang seiring dengan hukum Islam berlandaskan ketetapan al-Quran mahupun Hadis. Pelaksanaan undang-undang adat dalam kategori adat yang diadatkan pula merupakan peraturan mahupun pra syarat yang perlu dipatuhi oleh setiap kelompok masyarakat Melayu tradisi. Manakala, pelaksanaan undang-undang adat dalam kategori adat yang teradat melibatkan peruntukan hukuman yang ditetapkan oleh pemerintah dengan mengikut ketetapan hukum adat. Hasil penilaian terhadap pelaksanaan undang-undang adat tersebut menunjukkan bahawa bukan semua undang-undang adat dilaksanakan, terutamanya dalam kategori adat yang sebenarnya adat dan adat yang teradat dengan mengemukakan beberapa faktor penghalang. Justeru, dengan analisis dan penilaian tersebut, kajian ini diharap dapat menyumbang hasil dapatan yang baharu terutama dalam pengkajian berhubung dengan sastera undang-undang dan historiografi Melayu tradisional sebagai rujukan terhadap pelaksanaan undang-undang Melayu moden
    corecore