2 research outputs found

    Unsur Jenaka Sebagai Perangsang dalam Situasi Pembelajaran Bahasa Melayu dalam Kalangan Pelajar Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris

    Get PDF
    Unsur jenaka ialah perbuatan atau kata-kata yang menggelikan hati dan mampu membuatkan seseorang itu tersenyum atau ketawa. Aksi yang berseloroh dan bersahaja turut menambahkan suasana yang ceria dan dapat menghiburkan para pendengar atau aundien yang menonton. Dari aspek pembelajaran pula, unsur jenaka mampu memberikan input kepada pelajar dan membantu menimbulkan keseronokan di dalam kelas khususnya dalam pembelajaran bahasa Melayu. Kajian tinjauan secara intensif ke atas pelajar Bacelor Pendidikan bahasa Melayu semester 5 di Universiti Pendidikan Sultan Idris didapati tidak berminat untuk belajar bahasa Melayu kerana pelajar beranggapan yang bahasa Melayu adalah bahasa ibunda dan pelajar tahu akan segala-galanya mengenai bahasa itu, dan mereka belajar bahasa Melayu sambil lewa serta dalam keadaan terpaksa. Pelajar akan kelihatan bosan dan menganggap bahawa pengajaran bahasa terlalu mudah untuk dipelajari. Justeru, kajian ini adalah untuk meneliti aspek unsur jenaka sebagai perangsang dalam situasi pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan pelajar Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim. Kajian ini menggunakan Teori Pembelajaran Gagne dan Teori Jenaka Teori Kelegaan (Relief Theory) yang didasarkan atas penyelidikan tentang faktor-faktor yang kompleks pada proses pembelajaran manusia. Penyelidikan adalah untuk menemukan teori pembelajaran yang efektif. Penerapan unsur jenaka sebagai perangsang dalam situasi pembelajaran bahasa Melayu dapat menimbulkan keseronokan dan minat pelajar semasa proses pembelajaran dalam kelas. Objektif pertama, kajian ini adalah untuk mengenal pasti kaedah unsur jenaka dalam pembelajaran bahasa Melayu yang berkesan. Objektif kedua, adalah untuk menganalisis jenis-jenis unsur jenaka dalam pembelajaran bahasa Melayu. Objektif ketiga, adalah membincangkan unsur jenaka sebagai perangsang dalam situasi pembelajaran bahasa Melayu. Seramai 150 orang sampel daripada kumpulan kawalan dan 20 orang sampel daripada kumpulan eksperimen diambil bagi tujuan kajian ini. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungan antara gaya pengajaran pelajar dengan penerapan unsur jenaka sebagai perangsang dalam situasi pembelajaran bahasa Melayu. Hal ini jelas dibuktikan dengan kebenaran data kualitatif melalui teknik pemerhatian dengan mengambil kira emosi dan perasaan jenaka pelajar tersebut semasa menjalankan aktiviti lakonan mini drama dan menonton tayangan filem jenaka serta data kuantitatif gaya pembelajaran bagi membezakan min dan sisihan piawai. Penyelidikan ini menunjukkan bahawa terdapat kekuatan hubungan antara gaya pengajaran dengan penerapan unsur jenaka sebagai perangsang dalam situasi pembelajaran bahasa Melayu

    Judul dan blurb buku ilmiah

    No full text
    Penerbitan buku ilmiah mempunyai tanggungjawab untuk menyebarluaskan pengetahuan kepada masyarakat dan mempertingkat kesarjanaan seseorang ahli akademik, bukannya untuk mengutamakan keuntungan wang ringgit. Justeru, pembinaan judul atau tajuk buku ilmiah dan fakta utama yang menjadi ‘buah fikiran’ utama seseorang pengarang menjurus kepada tajuk, hendaklah yang jitu serta mantap untuk diterima oleh masyarakat atau pembaca. Dalam aspek penerbitan buku, blurb turut diberikan penekanan kerana penulisan ringkas dan padat tentang buku yang terletak di bahagian kulit belakang ini membantu proses pemahaman oleh pembaca terhadap buku ilmiah yang dibaca oleh mereka. Dalam kajian ini, sebanyak 10 buku ilmiah iaitu lima buku ilmiah pada tahun 2016 dan 2015 dipilih secara rawak dan analisis teks dilakukan untuk meneliti dan menganalisis pembinaan judul dan ilustrasi dalam buku tersebut. Buku terbitan Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM) dipilih kerana Penerbit UPM antara penerbit di bawah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) yang mempunyai sistem pengurusan kualiti (ISO) yang khusus iaitu Prosedur Pengurusan Penerbitan Buku Ilmiah. Dapatan kajian menunjukkan bahawa judul setiap buku ilmiah yang diterbitkan hendaklah jelas, mudah dan jitu untuk menarik perhatian pembaca dan menterjemahkan setiap bab yang terkandung sebagai sumber ilmu kepada pembacanya. Diikuti, penulisan blurb yang baik dan berkesan dapat menyampaikan inti pati kandungan buku ilmiah kepada pembaca dengan jelas. Judul dan blurb hendaklah dikuasai oleh seseorang pengarang untuk memastikan buku ilmiah boleh diterima dalam pasaran
    corecore