31 research outputs found

    Makanan ‘berangin’ dan ‘berbisa’ dalam peribahasa Melayu: analisis semantik inkusitif

    Get PDF
    Gastronomi ialah pengkajian berkaitan dengan makanan dan amalan pemakanan yang baik (good eating). Makanan bukan sahaja penting untuk hidup, tetapi turut mempunyai pengaruh dalam menyampaikan mesej yang jelas. Dalam konteks budaya Melayu, elemen yang terdapat dalam gastronomi jelas dapat dilihat dalam peribahasa Melayu. Tumpuan analisis ini adalah peribahasa yang menunjukkan pengaruh makanan yang berunsur sejuk dan bisa. Contohnya, labu mewakili makanan berunsur angin dan keli mewakili makanan berunsur bisa. Data peribahasa Melayu dikumpulkan daripada pangkalan data www.malaycivilization.com UKM dan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu. Kajian ini menerapkan pendekatan rangka rujuk silang (RRS) dan semantik inkuisitif dalam penganalisisan data. Data yang diperoleh diperkukuh dengan hasil janaan data korpus yang menunjukkan persamaan antara konsep dan ciri-ciri yang dibawa oleh makanan yang berunsur ‘angin-bisa’ khususnya yang berkaitan tingkah laku penuturnya. Hasil kajian mendapati peribahasa berkaitan makanan berunsur angin seperti labu mempunyai tingkah laku ‘sombong’ dan’ bermegah’. Sementara makanan berunsur bisa seperti ikan keli menunjukkan tingkah laku ‘merungut-rungut’ dan ‘curang’. Kajian berlandaskan korpus dan semantik inkuisitif ini telah berjaya membuktikan bahawa wujudnya hubungan antara makanan dan rupa objek dengan unsur-unsur makanan, khususnya unsur angin dan bisa. Gabungan data, teori, falsafah dan budaya telah dapat menghasilkan huraian makna dalam peribahasa Melayu, yang akhirnya mencerminkan akal budi penuturnya, khususnya berkaitan gastronomi Melayu

    UNSUR EUFEMISME DALAM PERIBAHASA MELAYU: ANALISIS SEMANTIK INKUISITIF

    Get PDF
    Eufemisme merupakan suatu ungkapan atau kata yang lebih lembut, sopan, dan manis didengar sebagai usaha untuk menggantikan ungkapan atau kata yang lebih kasar. Pengamatan orang Melayu terhadap keadaan sekeliling membolehkan mereka mencipta perlambangan berdasarkan objek yang wujud dengan tujuan berkias dan menyampaikan nasihat. Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti dan menganalisis pengkonsepsian unsur eufemisme melalui objek manusia, haiwan, dan tumbuhan, serta merungkaikan makna tersirat di sebalik ungkapan peribahasa. Sejumlah 15 data peribahasa berjaya dikumpulkan daripada Kamus Istimewa Peribahasa Melayu yang disusun oleh Abdullah Hussain dan laman sesawang Pusat Rujukan Sehenti Penyelidikan Alam Melayu oleh Institut Alam Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pendekatan semantik inkuisitif dan subkonsep rangka rujuk silang (RRS), serta imej binaan diterapkan ke dalam kajian bagi menganalisis data yang diperoleh. Hasil kajian memperlihatkan bahawa peribahasa berunsurkan eufemisme yang digunakan sejak dahulu sangat berkait rapat dengan kelakuan dan budaya masyarakat Melayu. Kiasan yang digunakan semasa berkomunikasi ini jelas mencerminkan ketajaman fikiran dan kekayaan bahasa orang Melayu. Analisis semantik yang diolah dengan tatakaedah yang tepat mampu menghuraikan makna yang tersirat yang menjadi sebahagian daripada akal budi Melayu

    Refleksi gastronomi dalam komunikasi: analisis semantik inkuisitif

    Get PDF
    Gastronomi ialah pengkajian berkaitan dengan makanan dan amalan pemakanan yang baik (good eating). Makanan bukan sahaja penting untuk hidup, tetapi turut mempunyai pengaruh dalam menyampaikan mesej melalui komunikasi. Dalam konteks budaya Melayu, elemen yang terdapat dalam gastronomi mempunyai pengaruh secara tidak langsung dalam komunikasi, khususnya komunikasi secara tersirat. Hal ini jelas dapat dilihat dalam peribahasa Melayu. Tumpuan analisis ini adalah peribahasa yang menunjukkan pengaruh makanan yang berunsur sejuk dan panas. Contohnya, pisang mewakili makanan berunsur sejuk, dan daging yang mewakili makanan berunsur panas. Data peribahasa Melayu dikumpulkan daripada pangkalan data (www.malaycivilization.com) UKM dan ‘Kamus Istimewa Peribahasa Melayu’. Kajian ini menerapkan pendekatan rangka rujuk silang (RRS) dan semantik inkuisitif dalam penganalisisan data. Data yang diperoleh diperkukuh dengan hasil janaan data korpus yang menunjukkan persamaan antara konsep dan ciri-ciri yang dibawa oleh makanan yang berunsur sejuk-panas dengan emosi penuturnya. Hasil kajian mendapati peribahasa berkaitan makanan berunsur sejuk menunjukkan ciri-ciri ‘sejuk’ melalui emosi gembira, bahagia dan senang hati. Manakala makanan berunsur panas pula didapati memaparkan ciri-ciri ‘panas’ yang ditunjukkan melalui sifat negatif, seperti ‘zalim’, ‘berpura-pura’ dan ‘kesakitan’ yang menjadi makna implisitnya. Secara tidak langsung, konsep dan ciri-ciri yang terdapat dalam makanan telah diserap dan diadaptasi dalam bentuk komunikasi implisit. Gabungan data, teori, falsafah dan budaya telah dapat menghasilkan huraian makna dalam peribahasa Melayu, yang akhirnya mencerminkan akal budi penuturnya, khususnya berkaitan gastronomi Melayu

    Estetika rasa dalam peribahasa Melayu: analisis semantik inkuisitif

    Get PDF
    Kajian ini bertujuan mencungkil falsafah dan juga akal budi Melayu yang tersirat dalam peribahasa berunsurkan rasa. Dalam kajian ini, sebanyak tiga unsur rasa yang telah dipilih, iaitu rasa kasih, rasa gembira dan rasa duka. Data peribahasa Melayu dikumpulkan daripada pangkalan data www.malaycivilization.com.my dan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu. Kajian ini mengaplikasikan pendekatan Rangka Rujuk Silang (RRS) dan semantik inkuisitif dalam penganalisisan data. Data yang diperoleh telah diperkukuh dengan hasil janaan data korpus dan imej binaan yang menunjukkan persamaan antara konsep yang dibawa dengan elemen pemaknaan dalam peribahasa yang dipilih. Dapatan kajian menunjukkan perlambangan objek, flora dan fauna dalam peribahasa Melayu yang berunsurkan rasa berfungsi sebagai kekuatan dalam meluahkan rasa di samping mempunyai hubungan erat antara alam dan kehidupan masyarakat Melayu. Setiap objek perlambangan yang bersifat konkrit dalam peribahasa telah diterjemahkan melalui imej pemaknaan yang bersifat abstrak melalui emosi dan perasaan. Bukan itu sahaja, hasil kajian juga membuktikan bahawa kewujudan peribahasa Melayu bukan hanya mengambil sifat abstrak, analogi dan konsepsi daripada objek sekeliling, malah merupakan satu falsafah ilmu atau akal budi yang dijadikan amalan dalam masyarakat Melayu yang dipindahkan dalam ungkapan yang berbentuk peribahasa. Secara keseluruhannya, kajian ini dapat menunjukkan bahawa pendekatan semantik inkuisitif yang digunakan sudah begitu ampuh bagi meneliti falsafah dan akal budi Melayu

    Padi dalam peribahasa Melayu: analisis semantik inkuisitif

    Get PDF
    Peribahasa dihasilkan melalui ilham yang tercetus akibat pengamatan dan tafsiran masyarakat silam terhadap alam persekitaran yang memperlihatkan ciri-ciri yang bertepatan dengan sifat manusia. Alam persekitaran dan keadaan sekeliling merupakan sumber inspirasi dan dijadikan simbol dalam sesuatu peribahasa. Penggunaan peribahasa berkaitan resam padi yang lazimnya menjadi ikutan masyarakat Melayu melalui sifatnya yang menunduk, memberikan ilham kepada pengkaji untuk menerokai akal budi yang tersembunyi di sebalik penciptaan peribahasa ini. Sehubungan itu, tulisan ini bukan sahaja ingin melihat hubungan antara bahasa dan pemikiran, tetapi sebaliknya cuba mencungkil akal budi Melayu menerusi resam padi yang ditonjolkan dalam peribahasa Melayu dengan menggunakan pendekatan Semantik Inkuisitif. Justeru itu, data peribahasa yang berkaitan diambil daripada pangkalan data www.malaycivilization.com dan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu (1989). Analisis rangka rujuk silang dilakukan terhadap deria rasa yang terdapat dalam kiasan Melayu berdasarkan data korpus yang wujud. Gabungan RRS dengan maklumat budaya mendalam mampu menghasilkan penghuraian makna kiasan Melayu sehingga ke akal budi penuturnya. Hasil kajian mendapati resam padi yang menunduk telah dikonsepsikan sebagai sifat rendah diri. Tingkah laku positif dan negatif ditonjolkan menerusi perbandingan padi dan lalang dalam peribahasa. Kesimpulannya, peribahasa yang dicipta oleh masyarakat Melayu dahulu bukanlah sekadar ungkapan kosong yang menarik, tetapi sebaliknya tersembunyi pelbagai ilmu dan falsafah yang tinggi seandainya kita amatinya dengan teliti

    VARIANTS OF EMOTION LEXICONS, ‘MARAH’ (ANGRY) AND ‘MALAS’ (LAZY) IN LANGKAWI ISLAND: A GEO-LINGUISTIC ANALYSIS

    Get PDF
    In general, research in geographical dialects in Malaysia has uncovered dialect distribution based on lexical and phonological differences, which has been the basis of today’s geo-linguistic studies. This study investigated the emotion lexicon, ‘marah’ (angry) and ‘malas’ (lazy), in the dialect of Malay, Langkawi Island. Data were collected through fieldwork with 447 respondents of youth, adult, and senior citizens across social status or educational levels. The collected data were transcribed using phonetic symbols and coded with ArcGIS software for producing choropleth maps. The research aimed to identify the variants of emotion lexicons in their daily conversation. The study found 12 variants of ‘angry’ and 12 variants of ‘lazy.' By comparing the difference and distribution of each lexicon variant, mapping was successfully conducted using the choropleth technique. The study has also successfully applied Geographic Information System (GIS) to describe geographical factors that influence the formation and distribution of emotion lexicon variants in Langkawi island, which proves their close relation with geographical aspects in Langkawi

    'Ikan di laut asam di darat, di dalam kuali bertemu jua': analisis semantik inkuisitif

    Get PDF
    Masyarakat Melayu menggunakan peribahasa untuk mendidik, memberi teguran, menyatakan hasrat hati dan melahirkan perasaan. Melalui rangkap kata yang disusun indah, mereka mendidik, memuji, menyindir atau menegur dengan cara yang paling halus, tanpa menjatuhkan air muka individu lain tetapi memberi kesan yang amat dalam

    Cerminan kuasa melalui peribahasa Melayu yang berobjekkan ‘Gajah’ dan ‘Harimau’: analisis semantik inkuisitif

    Get PDF
    Peribahasa berobjekkan haiwan digunakan sebagai simbol bagi menggambarkan realiti kehidupan masyarakat Melayu dan mempunyai nilainya yang tersendiri untuk dijadikan panduan hidup. Cara hidup orang Melayu lama yang selalu meneliti unsur alam dan mengenali sifat haiwan menyebabkan mereka menggunakan haiwan sebagai simbol untuk berkias dan memberikan teguran. Makalah ini bertujuan untuk mengenal pasti peribahasa yang menonjolkan konsep kuasa melalui objek ‘gajah’ dan ‘harimau’ Merungkai perkaitan antara objek dan aspek pemaknaan peribahasa yang berobjekkan ‘gajah’ dan ‘harimau’ melalui pendekatan semantik inkuisitif. Data peribahasa Melayu telah dikumpulkan daripada pangkalan data www. malaycivilization.com dan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu. Daripada sejumlah 275 peribahasa yang berobjekkan haiwan, lapan peribahasa yang berobjekkan ‘gajah’ dan ‘harimau’ telah dikenal pasti mengandungi kuasa sebagai aspek pemaknaannya. Kajian ini mengaplikasikan pendekatan Rangka Rujuk Silang (RRS) dan pendekatan semantik inkuisitif dalam penganalisisan data. Data yang diperoleh telah diperkukuh dengan hasil janaan data korpus yang menunjukkan persamaan antara ciri-ciri fizikal yang dipunyai oleh haiwan tersebut dengan konsep kekuasaan yang terdapat dalam elemen pemaknaannya. Kekuatan gajah yang terletak kepada ‘saiznya’, manakala kekuatan harimau pula terletak kepada ‘belangnya’. Kekuatan bagi kedua-dua haiwan ini, telah menyebabkan masyarakat Melayu menganalogikannya sebagai cerminan kekuasaan dalam peribahasa. Gabungan data, teori, falsafah dan budaya yang terdapat dalam semantik inkuisitif menjadi medan dalam dapat menghasilkan huraian makna yang merungkai perkaitan antara objek peribahasa yang digunakan dengan elemen pemaknaannya

    Makna ujaran implisit dalam vlog Mat Luthfi: analisis teori relevans

    Get PDF
    Kajian ini memfokuskan penelitian terhadap makna ujaran implisit yang terdapat dalam Vlog Mat Luthfi. Kajian kualitatif ini menggunakan analisis dokumen berpandukan teori relevans yang diasaskan oleh Sperber dan Wilson dalam bidang linguistik disiplin pragmatik. Teori ini menekankan tiga gagasan utama, iaitu konteks, kesan kognitif dan usaha memproses. Teori ini menegaskan bahawa tiga konsep ini penting dalam penginterpretasian makna. Data kajian merupakan dialog yang berbaur unsur implisit yang diujarkan oleh watak dalam beberapa video Mat Luthfi. Data yang telah dikenal pasti melalui proses transkripsi dan seterusnya dianalisis berdasarkan TR. Kajian ini turut menggunakan kaedah kepustakaan untuk menerokai dengan lebih lanjut tentang ujaran implisit dan TR. Dapatan kajian mendapati bahawa terdapat sepuluh ujaran dalam vlog mengandungi unsur implisit. Ujaran yang mengandungi unsur implisit menunjukkan bahawa penutur mempunyai mesej tertentu yang ingin disampaikan kepada pendengar. Kajian ini menjelaskan bahawa ujaran yang diperkatakan oleh masyarakat Melayu boleh membawa pelbagai maksud dan bukan sekadar makna literal untuk difahami dan ditafsirkan dengan betul akan ujaran tersebut. Maka, pentafsiran makna sesebuah ujaran itu menjadi lebih mudah diinterpretasi dengan kehadiran TR

    Makanan ‘berangin’ dan ‘berbisa’ dalam peribahasa Melayu: analisis semantik inkusitif

    Get PDF
    Gastronomi ialah pengkajian berkaitan dengan makanan dan amalan pemakanan yang baik (good eating). Makanan bukan sahaja penting untuk hidup, tetapi turut mempunyai pengaruh dalam menyampaikan mesej yang jelas. Dalam konteks budaya Melayu, elemen yang terdapat dalam gastronomi jelas dapat dilihat dalam peribahasa Melayu. Tumpuan analisis ini adalah peribahasa yang menunjukkan pengaruh makanan yang berunsur sejuk dan bisa. Contohnya, labu mewakili makanan berunsur angin dan keli mewakili makanan berunsur bisa. Data peribahasa Melayu dikumpulkan daripada pangkalan data www.malaycivilization.com UKM dan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu. Kajian ini menerapkan pendekatan rangka rujuk silang (RRS) dan semantik inkuisitif dalam penganalisisan data. Data yang diperoleh diperkukuh dengan hasil janaan data korpus yang menunjukkan persamaan antara konsep dan ciri-ciri yang dibawa oleh makanan yang berunsur ‘angin-bisa’ khususnya yang berkaitan tingkah laku penuturnya. Hasil kajian mendapati peribahasa berkaitan makanan berunsur angin seperti labu mempunyai tingkah laku ‘sombong’ dan’ bermegah’. Sementara makanan berunsur bisa seperti ikan keli menunjukkan tingkah laku ‘merungut-rungut’ dan ‘curang’. Kajian berlandaskan korpus dan semantik inkuisitif ini telah berjaya membuktikan bahawa wujudnya hubungan antara makanan dan rupa objek dengan unsur-unsur makanan, khususnya unsur angin dan bisa. Gabungan data, teori, falsafah dan budaya telah dapat menghasilkan huraian makna dalam peribahasa Melayu, yang akhirnya mencerminkan akal budi penuturnya, khususnya berkaitan gastronomi Melayu
    corecore