23 research outputs found

    Si Tanggang moden dan perubahan makna dalam cerita bermotifkan anak derhaka

    Get PDF
    Artikel ini membicarakan motif anak derhaka dan kaitannya dengan masyarakat kontemporari. Motif yang berakar daripada cerita rakyat Melayu ini adalah motif tipikal Dunia Melayu. Hampir setiap suku bangsa Melayu di Nusantara ini mempunyai ceritanya sendiri seperti Si Tanggang, Malim Kundang dan Nakhoda Manis merupakan cerita yang paling popular. Populariti motif ini menyebabkan tertanamnya di sanubari orang Melayu bahawa tindakan seseorang anak yang menganiayai ibu bapanya adalah umpama Si Tanggang, Malim Kundang atau Nakhoda Manis, anak yang derhaka yang disumpah menjadi batu. Dalam konteks semasa, cerita warisan yang menjadi alat kawalan sosial ini sudah hilang fungsinya. Dalam kehidupan masyarakat kontemporari yang serba maju, canggih dan pantas, gejala sosial terus berlaku dengan jumlah yang meningkat. Peristiwa malang ibu bapa yang teraniaya sama ada dimarahi, diherdik, dikasari, dipukul, mahupun diganggu emosinya sering tersiar di media. Malah ada antara mereka yang turut ditinggalkan tanpa penjagaan, dihalau keluar dari rumah dan juga diserahkan ke rumah orang tua. Senario ini memperlihatkan berlakunya proses perubahan makna terhadap motif anak derhaka walaupun latar belakang generasi kontemporari berpendidikan agama, berpendidikan tinggi, maju dan moden. Cerita rakyat warisan bangsa kurang signifikan dalam mendidik manusia bagi menghormati dan menghargai jasa dan pengorbanan orang tua lebih-lebih lagi ibu bapa sendiri

    Kebitaraan peribahasa Melayu dalam komunikasi

    Get PDF
    Artikel ini membicarakan peribahasa Melayu dengan tumpuan khusus ke atas peribahasa tipu daya dan pura-pura dari segi binaannya bagi melihat kebijaksanaan orang Melayu dalam menciptanya. Kelakuan jahat melalui kepura-puraan ini hadir berselindung di sebalik rupa paras dan lemah lembut berbicara bagi memperdaya mangsa untuk kepentingan diri. Data peribahasa ini dikutip daripada Kitab Kiliran Budi susunan Munsyi Sulaiman yang pertama kalinya diterbitkan pada tahun 1906. Dari segi binaan, motif rupa fizikal sesuatu benda yang cantik menjadi kiasan perbandingan kepada kepura-puraan. Madu dan tebu yang manis dipertentangkan dengan hempedu yang pahit serta potongan pepat-rencong yang berlawanan sifatnya digunakan pula sebagai kiasan perbandingan bagi orang yang berpura-pura menerusi lemah lembut berbahasa. Paduan antara kesesuaian motif dan perilaku yang diungkap itu menyerlah perbezaan antara yang tersurat dan tersirat pada diri yang orang berpura-pura. Jumlah peribahasa ini yang besar dalam perbendaharaan warisan memberikan peringatan tentang betapa jahatnya sikap ini yang boleh membawa kemudaratan masyarakat. Dalam komunikasi, orang yang mahir berperibahasa akan dapat memanfaatkan pengetahuannya dalam menyedarkan masyarakat supaya berhati-hati ke atas orang yang bersifat demikian

    Indah lagi mengasyikkan: gaya bahasa pertautan Usman Awang dalam puisinya

    Get PDF
    Kajian ini membicarakan kepenyairan Usman Awang, Sasterawan Negara yang ketiga. Pembicaraan ini berkisar terhadap keindahan gaya bahasa pertautan dalam puisi yang disampai dengan begitu berkesan sekali sehingga berjaya menjadikannya sebagai seorang tokoh penyair besar dalam dunia kepenyairan tanah air. Data kajian ini melibatkan cabutan sajak-sajak ciptaan Usman Awang yang antara lain termasuk Gelombang (1960); Duri dan Api (1967); Kaki Langit (1971); Salam Benua (1987) dan Puisi-Puisi Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang (1987). Bagi menganalisis keindahan puisi Usman Awang maka Model Gaya Bahasa Hendry Guntur Tarigan khususnya gaya Bahasa pertautan diaplikasikan bagi mengenal pasti gaya bahasa ini digunakannya dalam puisi. Keindahan puisi ini terbukti kerana kebijaksanaannya dalam menjalin penggunaan gaya bahasa pertautan seperti metonimia, sinekdoke, alusi, eufemisme, epitet, antonomasia, paralelisme, dan asidenton dalam ciptaan puisi sehingga menjadikannya sebegitu indah sehingga menyentuh kalbu. Kekuatan ini membolehkan Usman Awang menyampaikan tema kemanusiaan secara berkesan ketika merakamkan peristiwa sejarah penting tanah air serta yang menyentuh isu-isu antarabangsa dan sejagat

    Kesusasteraan Melayu tradisional sebagai wadah komunikasi massa: suatu analisis

    Get PDF
    Makalah ini membincangkan kedudukan dan peranan kesusasteraan Melayu tradisional dalam konteks komunikasi massa. Selain itu, makalah ini juga bertujuan melihat bagaimana karya kesusasteraan Melayu tradisional menjadi medium penyampaian ilmu, pengajaran dan hiburan yang efektif kepada khalayaknya. Kajian ini menggunakan pendekatan konseptual iaitu cuba menganalisis bagaimana karya-karya kesusasteraan Melayu tradisional berperanan sebagai alat komunikasi yang berkesan untuk menyampaikan sesuatu maklumat atau mesej kepada khalayaknya. Model Source-Message-Channel-Receiver (SMCR) yang diperkenalkan oleh Wilbur Schramm (1982) dijadikan sandaran untuk melihat fungsi kesusasteraan Melayu tradisional sebagai wahana komunikasi massa

    The emergence of autobiography in Malay literature

    Get PDF
    This study aims to compare and analyse the arguments of several scholars with regard to the classification and significance of autobiographies and biographies in Malay historiography. Western colonialism, especially by the English and Dutch who came to the Malay world in the 17th and 18th centuries, introduced a new trend that expanded rapidly in line with the Industrial Revolution in Europe, namely a trend of realism in literature. This trend obviously emphasized the manifestation of “reality” without mixing it up with “supernatural” elements to form a new genre known as autobiographies and biographies in conventional Malay literature. Abdullah Munshi’s crowning work titled Kisah Pelayaran Abdullah which was considered as the earliest autobiography to be written in the Malay language, invited debate from several scholars that extended to a number of other autobiographical and biographical texts that emerged in the late 19th century and early 20th century. Local and Western scholars such as Syed Naquib al-Attas, Liaw Yock Fang, C.W. Watson and A. Sweeney tried to explain their own scale and classification of the terminology and interpretation of this genre to suit the values and thinking in conventional Malay literature. Hence, through the use of qualitative methods this study will discuss the opinions of the above scholars and at the end of this study will present a scale of the autobiographies and biographies genre that coincides with the Malay perspective

    Konflik migran Cina dengan masyarakat peribumi Kalimantan Barat: suatu analisis Syair Perang Cina di Monterado

    Get PDF
    Kalimantan tanah terasing yang bernilai. Realitinya pulau yang turut dijoloki dengan nama Borneo ini bukanlah sekadar hamparan tanah purba yang kosong seperti didakwa. Suatu masa dahulu, yakni diperkirakan sekitar abad ke-18 hingga 19 Masihi, kilauan emas khususnya di Kalimantan Barat pernah begitu menyilaukan pulau ini lantas menjadikannya sebagai administratif Kalimantan yang berharga. Keberadaan emas dalam jumlah yang banyak di Kalimantan Barat pada waktu itu mulai menjelmakan keterujaan dalam diri penguasa tempatan terutamanya Panembahan Mempawah dan Sultan Sambas, Sultan Umar Akkamuddin II sehingga memungkinkan mereka mengundang sejumlah migran Cina bagi mengusahakan lombong emas milik mereka yang akhirnya memberikan pulangan yang lumayan kepada kedua-dua kerajaan terbabit. Sungguhpun riwayat dagang emas di Kalimantan Barat pada waktu itu tidak semasyhur seperti di Singapura mahupun juga di Batavia, namun kehadirannya bawah kelolaan migran Cina menjanjikan tiga perkara iaitu kejayaan, kekuasaan dan konflik yang merupakan sebuah harga yang perlu dibayar oleh masyarakat peribumi di sana akibat emas yang berkilauan. Dengan menggunakan pendekatan sejarah dalam menekuni naskhah Syair Perang Cina di Monterado yang khusus merakamkan perisitwa konflik seperti yang diperkatakan, hasil kajian mendapati bahawa terdapat beberapa sikap onar migran Cina yang mengeruhkan keadaan di Kalimantan Barat sehingga menjadi pencucuh kepada sumbu penentangan masyarakat peribumi di Kalimantan Barat

    In search of happiness in a Malay hero's life

    Get PDF
    This paper discusses the value of the happiness enjoyed by a Malay hero, Hang Tuah, the famous 15th century warrior of the Melaka Empire. As a Malay hero, Hang Tuah was admired for his wisdom, prowess and strength. He was the epitome of the ideal Malay to his people, especially in his undivided devotion to the King of Melaka. His heroism and greatness as the Admiral of Melaka was evident when he was able to promote the reputation of Melaka, making it famous throughout the world. However, towards the end of his life, he was willing to forgo his fame as the Admiral of Melaka and abandon the king, to whom he owed his loyalty, in pursuit of his dream of genuine happiness in knowing and loving his Creator. Hang Tuah’s action had a very great impact on the king of Melaka, until he also stepped down from the throne to follow after the action of Hang Tuah. It can be said that the absence of Hang Tuah to lead the attack against the Portuguese invasion in 1511 was the cause of the immense destruction of this Malay empire. One hypothesis that can be advanced is that the loss of Hang Tuah was most likely caused by an unbalanced happiness that led to his dissatisfaction with his life as the Admiral of Melaka. Based on this hypothesis, it can be suggested that Hang Tuah only possessed psychological rather than spiritual happiness during his time of service to the king of Melaka. Thus, a textual analysis of Hikayat Hang Tuah, as maintained by the renowned Malay scholar, Kassim Ahmad, will be conducted to identify the value of Hang Tuah’s happiness based on the perspective of Syed Muhammad Naquib al-Attas. The findings of this study indicate that Hang Tuah did not find a balance between the temporal and the hereafter in his search for happiness (sa'adah)

    Ketokohan Saidina Umar dalam dunia kesusasteraan Melayu : tiga prinsip keadilan Islam menerusi Hikayat Abu Syahmah

    Get PDF
    Makalah ini membincangkan tentang prinsip keadilan yang dipertontonkan oleh watak Saidina Umar dalam dunia kesusasteraan Melayu tradisional. Umum mengetahui bahawa Saidina Umar merupakan tokoh penting dalam sejarah peradaban Islam, yang terkenal dengan sifat tegas dan adil dalam menjatuhkan sesuatu hukum. Keadilan merupakan salah satu tunjang utama dalam membentuk keharmonian dalam sesebuah masyarakat. Menerusi perlaksanaan keadilan yang menyeluruh, setiap individu akan memperoleh jaminan keselamatan dan hak dalam menyampaikan sesuatu aduan, sekaligus mengelakkan daripada berlakunya kezaliman. Dengan memfokuskan kepada naskhah Hikayat Abu Syahmah, objektif kajian ini adalah untuk meneliti konsep keadilan yang dipamerkan menerusi watak Saidina Umar, dalam melaksanakan hukuman menurut syariat Islam. Metodologi kajian ini adalah menggunakan kaedah kepustakaan dan analisis kandungan terhadap naskhah hikayat. Hasil kajian memperlihatkan bahawa keadilan Islam yang terpancar menerusi watak Saidina Umar dalam Hikayat Abu Syahmah, telah melalui tiga prinsip utama dalam Islam iaitu mendengar sesuatu aduan, melakukan tabayyun (siasatan), serta menjatuhkan hukuman. Pemaparan terhadap konsep keadilan Islam yang menyeluruh menerusi hikayat, telah membuktikan bahawa watak Saidina Umar merupakan seorang khalifah yang adil dalam melaksanakan pemerintahannya terhadap umat Islam. Justeru, sifat tersebut berupaya menjadi teladan buat para pembaca hikayat masa kini, dalam usaha mereka meningkatkan akhlak dan keperibadian diri

    Penyayang dan berwawasan ciri kepimpinan pemerintahan dalam Syair Diraja Melayu Perak-Johor era kontemporari

    Get PDF
    Pada era abad ke-16 hingga penghujung abad ke-19, syair adalah satu daripada wadah pengkaryaan penulis-penulis istana. Corak kepengarangan pada era ini ialah pujian dan penceritaan berhubung sultan dalam zamannya. Setelah kehadiran kuasa Barat yang membawa bersama-sama corak kepengarangan yang pelbagai bentuk dan genre, golongan raja tidak lagi menjadi idea dalam penulisan. Syair tidak lagi menjadi pilihan sebagai wadah pengkaryaan. Corak kepengarangan sedemikian mula melemah apabila berkembangnya sastera moden. Syair Riwayat Yang Amat Mulia Tengku Ampuan Besar Pahang (1953) rakaman terakhir sejarah golongan Diraja. Walau bagaimanapun, pada era kontemporari ini muncul dua karya sedemikian, Syair Sultan Azlan Shah Berjiwa Rakyat (2009) karya Mohd Ibrahim bin Said dan Syair DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar (2018) oleh Maskiah binti Masrom. Kedua-dua teks syair DiRaja ini dijadikan sampel kajian. Hasil penekunan menemukan kedua-dua penulis menjadikan raja sebagai subjek penulisan. Kaedah kaji banding diapliksi dalam usaha untuk meneliti kepengarangan kedua-dua penulis dalam mempersembah idea rakaman sejarah DiRaja pada era kontemporari. Kaedah kajian secara intrinsik terhadap sampel kajian juga turut digunakan. Dapatan kajian menemukan terdapat persamaan kepengarangan dengan memaparkan ciri kepimpinan pemerintahan yang penyayang dan berwawasan dimiliki oleh sultan bagi negeri masing-masing. Hasil kajian ini membuktikan bahawa syair diraja masih kekal relevan dalam mengangkat dan mengagungkan seseorang raja walaupun dalam era moden. Kedudukan pengarang moden yang berada di luar lingkungan istana tidak menghalang mereka menghasilkan syair diraja ini

    Pantun suku kaum Mah Meri

    Get PDF
    Makalah ini membicarakan pantun yang terdapat di kalangan suku kaum Orang Asli Mah Meri Pulau Carey dari segi asal usul, tema, motif, dan fungsi. Suku kaum Mah Meri ini adalah subgolongan Senoi yang mendiami bahagian pesisir pantai negeri Selangor, terutama di Pulau Carey. Pantun sejumlah 124 rangkap sama ada yang diujarkan dalam bahasa Bersisi dan bahasa Melayu telah diperolehi hasil penyelidikan di Kampung Sungai Judah, Kampung Sungai Rambai, dan Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, Kuala Langat, Selangor. Umumnya, pantun Mah Meri menyerupai pantun Melayu kerana amalan berpantun adalah peminjaman daripada budaya Melayu hasil hubungan sosial golongan ini dengan orang Melayu tempatan, khususnya di kawasan Kelanang dan Jugra, di Kuala Langat. Pantun Mah Meri berkecenderungan bertemakan kasih sayang dan bermotifkan tempatan. Motif ini pula terdiri daripada objek-objek tempatan di Pulau Carey dan sekitarnya seperti topografi kawasan, nama tempat, sungai, serta bukit. Motif-motif itu dijalin dan diadunkan dengan sebaik mungkin untuk disesuaikan dengan tuntutan ciri-ciri pantun yang sungguh ketat. Walau bagaimana ketat sekalipun tuntutan ciri-ciri itu, pantun golongan Orang Asli Mah Meri ini seperti juga pantun orang Melayu lain berkeupayaan menonjolkan unsur keindahan dan seterusnya menyerlahkan jati diri golongan yang memilikinya. Kebiasaannya pantun ini disampaikan secara berlagu sama seperti orang Melayu melagukan dondang sayang, yang dinyanyikan bagi mengiringi tarian Jo’oh, iaitu satu tarian tradisi mereka
    corecore