Journal of Management and Muamalah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
Abstract
Bahasa figuratif didefinisikan sebagai gaya bahasa tersirat yang digunakan oleh pengarang dalam hasil karya sastera mereka. Dalam novel, salah satu fungsi penggunaan bahasa figuratif adalah untuk melahirkan pelbagai unsur emotif seperti gembira, sedih, marah, simpati dan sebagainya. Kajian ini adalah untuk membincangkan tentang bahasa kiasan yang digunakan dalam novel sebagai wahana untuk penjelasan unsur-unsur emotif. Kaedah kualitatif digunakan dengan menganalisis kandungan teks yang mengandungi data bahasa figuratif yang terdiri daripada alusi dan hiperbola dalam novel Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman karya Anwar Ridhwan. Data yang diperolehi dianalisis menggunakan Teori Relevans yang diasaskan oleh Sperber dan Wilson pada tahun 1986. Dapatan kajian menunjukkan bahawa penggunaan bahasa figuratif alusi dan hiperbola sebagai wahana untuk penjelasan unsur-unsur emotif dalam novel ini sangat memberikan kesan kepada emosi pembaca untuk turut merasai apa-apa yang berlaku dalam novel ini. Selain itu, penggunaan bahasa figuratif dilihat dapat mencetus emosi dan merangsang minda pembaca. Kesimpulannya, dalam kajian ini bahasa figuratif mempunyai fungsi penting untuk mempengaruhi minat pembaca di samping dapat meningkatkan tahap pemahaman pembaca mengenai sesuatu perkara yang abstrak
Is data on this page outdated, violates copyrights or anything else? Report the problem now and we will take corresponding actions after reviewing your request.