Pembelajaran koperatif merupakan satu teknik pembelajaran yang melibatkan
pelajar bekerjasama dalam satu kumpulan untuk mencapai matlamat tertentu.
Dalam topik Pendidikan Alam Sekitar, pelajar didapati agak lemah dalam
memahami sesuatu istilah dan tidak dapat mengaitkan topik dengan pengalaman
serta persekitaran mereka. Sebelum ini, pengajaran dan pembelajaran lebih
berpusatkan guru. Pembelajaran koperatif pula hanya melibatkan mata pelajaran
yang menggunakan makmal atau bengkel. Kajian ini bertujuan untuk meninjau
kesan pembelajaran berkumpulan terhadap pencapaian pelajar dalam Pendidikan
Alam Sekitar melalui mata pelajaran Geografi. Bentuk kajian yang digunakan ialah
kuasi-eksperimen yang dijalankan dengan menggunakan ujian pra dan ujian pasca
ke atas kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan. Sampel kajian adalah dua
kumpulan pelajar tingkatan 1 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Luar Bandar di
negeri Johor. Sampel kajian terdiri daripada 37 orang pelajar kumpulan eksperimen
dan 35 orang pelajar kumpulan kawalan. Kumpulan eksperimen merupakan
kumpulan yang menggunakan kaedah pembelajaran koperatif manakala kumpulan
kawalan diajar tanpa pembelajaran koperatif. Instrumen kajian ialah ujian
pencapaian, borang soal selidik, jadual pemerhatian dan temubual. Hasil kajian
mendapati min pencapaian kumpulan eksperimen adalah tinggi iaitu 18.16
berbanding dengan min kumpulan kawalan, iaitu 13.91. Dapatan kajian
menunjukkan terdapat peningkatan pencapaian bagi pelajar yang menjalani
pembelajaran koperatif berbanding dengan pelajar yang tidak mengamalkan kaedah
pembelajaran tersebut. Pelajar juga dapat menerima penggunaan pembelajaran
koperatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kesimpulannya,
pembelajaran koperatif bukan sahaja dapat meningkatkan hasil malah dapat
meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran
Is data on this page outdated, violates copyrights or anything else? Report the problem now and we will take corresponding actions after reviewing your request.