Efikasi kendiri dan kecenderungan tingkah laku prososial dalam kalangan mahasiswa di Selangor

Abstract

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap efikasi kendiri dan kecenderungan tingkah laku prososial dalam kalangan mahasiswa di Selangor. Objektif khusus kajian ini adalah untuk i) memperihalkan sosio demografi responden; ii) mengenal pasti tahap efikasi kendiri dan kecenderungan tingkah laku prososial responden dan iii) menentukan perbezaan efikasi kendiri dan kecenderungan tingkah laku prososial berdasarkan gender. Seramai 464 responden yang terdiri daripada mahasiswa universiti awam di Selangor terlibat dalam kajian ini. Responden dipilih melalui kaedah persampelan rawak berkelompok. Data diperolehi dengan menggunakan borang soal selidik yang ditadbir sendiri oleh responden. General Self-Efficacy Scale telah digunakan untuk mengukur tahap efikasi kendiri, manakala Prosocial Tendencies Measure digunakan bagi mengukur tahap kecenderungan tingkah laku prososial. Kedua-dua alat ukuran ini mempunyai nilai pekali kebolehpercayaan Cronbach’s alpha 0.855 dan 0.871. Analisis statistik yang digunakan adalah analisis deskriptif dan Ujian-t. Hasil kajian menunjukkan tahap efikasi kendiri responden berada pada tahap yang tinggi manakala tahap kecenderungan tingkah laku prososial responden berada pada tahap yang sederhana. Kajian mendapati dimensi utama kecenderungan tingkah laku prososial responden adalah anonymous dan diikuti dimensi mematuhi, mengerikan, emosi, altruistik dan orang ramai. Kajian menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan efikasi kendiri antara lelaki dan perempuan. Manakala, kecenderungan tingkah laku prososial bagi dimensi altruistik mempunyai perbezaan yang signifikan antara lelaki dan perempuan (t = 3.20 p<0.05). Mahasiswa lelaki mempunyai tahap kecenderungan tingkah laku prososial altruistik yang lebih tinggi berbanding perempuan. Kesimpulannya, tingkah laku prososial perlu dipupuk dalam kalangan mahasiswa agar dapat membangunkan sebuah masyarakat yang sentiasa berani dan mempunyai sifat sukarela dalam membantu individu-individu yang berada dalam kesusahan

    Similar works