Analisis keupayaan pelajar dalam pembinaan semula kurikulum Bahasa Melayu asas bagi pelajar antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris

Abstract

Kurikulum merupakan satu elemen terpenting dalam acuan pendidikan bagi sesebuah komuniti. Kurikulum menjadi prinsip dan prosedur bagi perencanaan, implementasi, evaluasi dan pengelolaan suatu rancang-bangun sesuatu program pendidikan. Namun demikian, dalam misi untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu melalui sektor pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, penyusunan kurikulum pengajaran dan pembelajaran Asas Bahasa Melayu masih memerlukan penambahbaikan. Antara permasalahan yang dikenal pasti ialah keupayaan pelajar yang berbeza terhadap penguasaan asas bahasa Melayu. Kajian ini dijalankan bagi mendapatkan pandangan tokoh, pakar atau pengamal kurikulum asas Bahasa Melayu untuk pelajar asing di universiti awam dan swasta bagi membina semula Kurikulum Asas Bahasa Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Model Taba dipilih kerana model ini sesuai dengan reka bentuk metod pengajaran berdasarkan autonomi guru berbanding dengan lima model kurikulum yang lain. Teknik Delphi digunakan dalam kajian bagi mendapatkan data. Teknik ini dijalankan melalui beberapa pusingan temu bual terhadap informan kajian bagi mendapatkan pandangan mereka terhadap (1) keperluan pengasingan kelas mengikut keupayaan pelajar dan (2) keperluan mengadakan ujian penempatan bagi mengenal pasti tahap keupayaan pelajar dalam Kurikulum Asas Bahasa Melayu. Dapatan kajian mendapati pendapat informan tidak senada tentang keperluan pengasingan kelas berdasarkan tahap keupayaan pelajar kerana faktor kemudahan yang tidak mencukupi. Dapatan kajian juga mendapati bahawa wujud keperluan mengadakan pentaksiran awal atau ujian penempatan pelajar bagi pelajar antarabangsa. Implikasi kajian menunjukkan bahawa aspek keupayaan pelajar perlu diberi perhatian dalam membentuk kurikulum pengajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa asing

    Similar works