Penulisan tesis ini memperlihatkan satu penyelidikan tentang strategi pengurusan warisan produk kraf tempatan yang dihasilkan oleh etnik Dusun Tindal di Kota Belud, Sabah. Warisan kraf tangan yang terdapat di Sabah mempunyai keunikan reka bentuk dan motif yang menampilkan nilai keindahan yang amat menarik untuk diselidik. Fokus penyelidikan kraf tangan terbahagi kepada tiga jenis, iaitu kraf sulaman pakaian tradisional, kraf anyaman bambu dan kraf tembikar tradisional. Kaedah penulisan merangkumi analisis strategi pengurusan mengenai warisan kraf tangan etnik Dusun Tindal. Analisis strategi pengurusan menggunakan pendekatan teori oleh Jofre, iaitu strategi perancangan yang bersesuaian dengan pengurusan dalam industri kraf. Strategi perancangan melibatkan perbincangan tentang analisis isu dan masalah kraf tangan, analisis matlamat kraf tangan, analisis objektif jangka pendek dan jangka panjang kraf tangan dan analisis strategi untuk menangani isu dan masalah kraf tangan. Terdapat empat strategi yang telah dibincangkan, iaitu pelan strategi, strategi penghasilan, strategi pemasaran dan strategi inovasi. Analisis strategi pengurusan kraf tangan diberikan tumpuan sebagai satu cadangan baharu khususnya bagaimana sistem pengurusan yang sistematik dapat diwujudkan dalam membantu perkembangan kraf tangan dan budaya etnik Dusun Tindal. Selain itu, kaedah pembuatan kraf tangan seperti bahan dan proses penghasilan, reka bentuk dan motif kraf tangan serta interpetasi konsep dan falsafah mendasari data penting dalam strategi pengurusan. Analisis ini penting sebagai ilmu pengetahuan baharu oleh generasi muda etnik Dusun Tindal agar mereka mengetahui kearifan dan nilai keindahan seni ciptaan yang diwarisi oleh nenek moyang mereka. Pengetahuan ini boleh ditanamkan dalam jati diri etnik Dusun Tindal untuk terus mewarisi penghasilan kraf tangan dan budaya hidup yang ditonjolkan melalui makna dan falsafah penghasilan kraf tersebut. Oleh itu, penyelidikan ini penting dalam perkongsian ilmu mengenai pengurusan, kearifan tempatan dan hala tuju produk kraf tempatan dalam industri perniagaan. Kaedah yang digunakan adalah eksploratori penyelidikan dan menggunakan kaedah kerja lapangan melalui pemerhatian, temu bual dan catatan untuk mengumpul data dan maklumat penyelidikan. Secara kesimpulannya, penyelidikan ini akan menghasilkan sistem pengurusan yang sistematik dalam membantu perkembangan teknik pemasaran produk kraf tangan etnik Dusun Tindal yang patut dikekalkan serta menjadi rujukan ilmiah yang berguna kepada masyarakat dan negara.
Kata kunci: Strategi pengurusan, kearifan tempatan, teknik pemasaran, Dusun Tindal, produk kraf tanga