Penyakit buah pinggang kronik boleh dicegah

Abstract

Buah pinggang merupakan salah satu organ dalam tubuh manusia yang sangat penting. Antara fungsi buah pinggang ialah untuk menapis darah serta bahan kumuh (urea, asid urik, ammonia, air) berlebihan dari tubuh badan, mengawal keseimbangan elektrolit (garam sodium, potassium, klorid, fosfat) dan hormon (renin, angiotensin, aldosteron) dalam mengawalatur keseimbangan isipadu cecair dan tekanan darah dalam tubuh manusia. Secara prinsipnya, buah pinggang sukar untuk mengalami masalah dan seterusnya kegagalan dalam menjalankan fungsi yang disebutkan di atas. Namun begitu, terdapat beberapa faktor risiko memandangkan kebelakangan ini rakyat Malaysia berdepan dengan pelbagai penyakit medikal seperti diabetes mellitus, hipertensi, masalah jantung serta obesiti yang berkait rapat dengan gaya hidup yang kurang sihat. Penyakit buah pinggang kronik (CKD) sekiranya tidak dikawal mampu membawa kepada kegagalan akhir buah pinggang (ESRD) yang menelan kos rawatan yang tinggi seperti terapi penggantian buah pinggang (renal transplant) dan hemodialisis. Oleh itu, pencegahan awal lebih bermakna melalui modifikasi gaya hidup ke arah yang lebih sihat. Kawalan pemakanan serta senaman merupakan aspek penting dalam kalangan pesakit dengan masalah buah pinggang kronik di peringkat awal seperti CKD Peringkat 1 dan 2. Di samping itu, amatlah penting bagi pesakit untuk sentiasa mematuhi rawatan susulan yang ditetapkan oleh doktor, mengambil ubatan yang telah perskripsikan oleh pegawai farmasi mengikut aturan pengambilan yang dicadangkan oleh jururawat serta mengubahsuai pengambilan pemakanan yang telah dicadangkan oleh pegawai pemakanan / nutrisi

    Similar works