Persepsi terhadap pensyarah dan hubungannnya dengan tahap kawalan kepercayaan pembelajaran pelajar bahasa Arab

Abstract

Kursus bahasa Arab di Universiti Teknologi MARA (UiTM) merupakan satu subjek elektif kepada pelajar peringkat ijazah sarjana muda. Objektif kajian ini adalah untuk mengkaji (1) tahap persepsi pelajar terhadap pensyarah bahasa Arab, (2) hubungan korelasi antara persepsi pelajar terhadap pensyarah dengan tahap kawalan kepercayaan pembelajaran, dan (3) perbezaan antara pelajar yang berbeza tahap kawalan kepercayaan pembelajaran dalam konteks persepsi mereka terhadap pensyarah. Kajian ini merupakan satu kajian kuantitatif yang menggunakan instrumen soal selidik strategi pembelajaran kendiri (self-regulated learning strategy) yang diubah suai daripada skala The Motivated Strategies for Learning Questionnaire (MSLQ). Ia melibatkan seramai 455 orang sampel yang dipilih berdasarkan teknik persampelan rawak berstrata (stratified random sampling). Dapatan kajian menunjukkan bahawa (1) persepsi pelajar bahasa Arab terhadap pensyarah adalah tinggi, (2) terdapat hubungan yang signifikan antara tahap kawalan kepercayaan pembelajaran pelajar dengan tahap persepsi mereka terhadap pensyarah dan (3) terdapat perbezaan yang signifikan dalam kalangan pelajar yang berbeza tahap kawalan kepercayaan pembelajaran dalam konteks persepsi mereka terhadap pensyarah. Kajian ini mendapati bahawa persepsi pelajar terhadap pensyarah dipengaruhi oleh tahap kawalan kepercayaan pembelajaran. Oleh itu, kajian ini mempunyai implikasi terhadap penilaian pensyarah oleh pelajar, iaitu data yang diperolehi daripada persepsi pelajar sahaja tidak boleh dijadikan ukuran yang mutlak dalam menilai pensyarah kerana ia dipengaruhi oleh faktor sampingan yang lain seperti tahap kawalan kepercayaan pembelajaran mereka. Oleh itu, ia harus ditriangulasikan dengan sumber yang lain seperti penilaian rakan setugas ataupun penilaian pakar

    Similar works