Sistem perbankan Islam di Malaysia telah menunjukkan kemajuan yang sangat ketara
dan mampu berdaya saing untuk memasuki lanskap kewangan Islam global. Di sebalik
perkembangan dan kemajuan ini, terdapat beberapa permasalahan yang perlu diberi
perhatian khususnya yang berkaitan dengan segmen pengguna. Antaranya, setelah lebih
tiga dekad perkembangan industri perbankan Islam di negara ini, tahap penguasaannya
hanya 30 peratus daripada jumlah keseluruhan aset perbankan di Malaysia. Ini berikutan
sebahagian daripada pengguna Muslim tidak menjadikan faktor kepatuhan syariah
sebagai asas utama dalam tindakan mereka. Dengan memberi tumpuan kepada Negeri
Sembilan sebagai lokasi kajian di mana kedudukannya yang berhampiran dengan ibu
kota sebagai pusat ilmu, kajian ini menjelaskan realiti tahap kepatuhan syariah
pengguna Muslim dalam pemilihan institusi perbankan Islam. Justeru, kajian ini
merangkumi dua fasa iaitu pengenalpastian dan penilaian. Bagi fasa pengenalpastian,
kaedah dokumentasi dan temu bual separa struktur digunakan. Hasilnya, kerangka
konseptual yang berkaitan dengan faktor ideal pemilihan bank terhasil meliputi
pertimbangan halal dan haram, kualiti penggunaan, maslahah penggunaan, keutamaan
penggunaan, saiz, imej dan reputasi, pengesyoran dan daya tarikan, kualiti produk dan
perkhidmatan, keselesaan lokasi serta pemasaran dan pengiklanan. Bagi fasa penilaian
pula, seramai 455 orang responden telah ditemui di 13 buah institusi perbankan terpilih
di Negeri Sembilan melalui kaedah persampelan mudah. Hasil kajian mendapati bahawa
kepatuhan syariah pengguna Muslim di Negeri Sembilan berada pada tahap yang
sederhana. Kajian ini juga menemukan bahawa tiga faktor paling utama yang mempengaruhi pengguna ialah kualiti penggunaan, keselesaan lokasi, dan maslahah
penggunaan. Manakala faktor paling kurang dominan pula ialah pengesyoran dan daya
tarikan