Selain Perpustakaan Negara Malaysia, kebanyakan perpustakaan di Malaysia sudah membangunkan laman web masing-masing. Perpustakaan ini termasuklah pelbagai perpustakaan awam negeri, perpustakaan penyelidikan di pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan kolej swasta, serta perpustakaan khusus di pelbagai pusat penyelidikan dan agensi. Kebanyakan laman ini menawarkan pelbagai perkhidmatan dalam talian kepada pengguna. Kajian ini dilakukan dengan dua tujuan melihat pola serta trend capaian pengguna ke laman-laman perpustakaan di negara ini. Kajian ditumpukan kepada laman-laman web perpustakaan yang mempunyai penghitung pelawat (visitors counter). Pertumbuhan angka pengunjung direkodkan bagi tempoh sebulan antara awal Mac dan April 2004. Kajian ini turut mendapatkan pandangan beberapa pustakawan dan webmasters yang mengendalikan laman-laman web beberapa buah perpustakaan. Suatu soal selidik juga dilakukan ke atas 112 responden bagi melihat corak capaian mereka di laman-laman web perpustakaan ini. Kajian ini mendapati beberapa buah laman web perpustakaan di negara ini menerima capaian tinggi dan terdapat pula yang kurang dicapai. Laman-laman yang lebih banyak dicapai oleh pengguna adalah yang menawarkan pelbagai perkhidmatan yang diperlukan oleh pengguna serta dapat dicapai dengan pantas. Selain itu, beberapa laman web perpustakaan di negara ini didapati sukar dicapai, atau tidak dapat dicapai pada waktu tertentu