Abstract

Penunjuk pH sebagai suatu pendekatan untuk memantau kualiti atau kesegaran makanan semasa telah mendapat perhatian industri pembungkusan makanan. Penggunaan sumber semula jadi pigmen tumbuhan terutamanya daripada buah-buahan dan sayur-sayuran menjadi pilihan para pengguna untuk menggantikan pewarna sintetik dalam memastikan keselamatan makanan yang diambil setiap hari. Dalam kajian ini, ekstrak daripada bilberi telah digunakan sebagai pewarna sensitif pH. Perubahan warna sampel dikaji secara terperinci melalui kaedah kromametri dan juga kaedah spektrofotometri ultra-lembayung nampak. Warna merah terang terhasil dalam pH berasid, merah pudar pada neutral dan magenta ke kuning dalam pH beralkali. Keputusan kajian kromametri menunjukkan bahawa ekstrak bilberi berupaya mempamerkan perubahan warna yang jelas terhadap perubahan pH, iaitu terdapat perubahan nilai warna a* yang menyumbang kepada perubahan yang bererti dalam perbezaan warna keseluruhan (ΔE*). Nilai ΔE* juga ditentukan wujud hubungan linear dan kuantitatif terhadap julat pH tertentu. Oleh yang demikian, ekstrak bilberi didapati berpotensi sebagai bahan sensor untuk pH dalam membangunkan satu sensor pH bagi memantau kesegaran makanan terutamanya hasilan laut berbungkus memandangkan tahap kerosakan produk tersebut berkait rapat dengan perubahan pH ke arah alkali

    Similar works