research

Kesantunan bahasa dalam kalangan pelajar IPT: Satu kajian perbandingan etnik

Abstract

Dalam usaha untuk berinteraksi, setiap masyarakat mempunyai beberapa norma atau peraturan sosial untuk memastikan aspek kesantunan dan kesusilaan terpelihara. Ini kerana bahasa merupakan alat penting dalam perlakuan sosial untuk menyampaikan kehendak, meminta sesuatu, atau hanya sekadar bertegur sapa dalam kalangan anggota masyarakat. Penggunaan bahasa yang baik dan bersopan santun dalam berkomunikasi secara tidak langsung dapat mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik. Kerajaan Malaysia sendiri menunjukkan keperihatinan yang tinggi terhadap amalan ini dengan melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni pada Januari 2005, dan sehingga tahun 2010, pelbagai program disusun atur pada peringkat kebangsaan, negeri, mahupun pada peringkat sekolah dan institusi pendidikan tinggi (IPT). Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menegaskan bahawa usaha memperkukuh amalan berbudi bahasa dan nilai-nilai murni dalam kalangan rakyat adalah satu agenda penting negara. Walau bagaimanapun, dalam mengharungi era globalisasi ini nilai murni yang telah dipusakai sejak turun-temurun semakin luntur. Penggunaan kata yang dikaitkan dengan kesopanan berbahasa semakin tidak dititikberatkan. Penutur-penutur bahasa Melayu, khususnya dalam kalangan remaja sudah mula menampakkan sikap tidak mengendahkan penggunaan kata-kata yang dapat menggambarkan kesopanan berbahasa. Justeru, kajian ini adalah untuk membandingkan strategi kesantunan berbahasa dalam kalangan siswa siswi IPT, dengan tumpuan khusus pada lakuan tutur penolakan terhadap permintaan (refusal). Responden terdiri daripada siswa dan siswi Melayu dan bukan Melayu pengajian sarjana muda Universiti Utara Malaysia

    Similar works