Jaringan keselamatan sosial dan skim takaful banjir

Abstract

Terma Jaringan Keselamatan Sosial (JKS) adalah agak baru diterima dunia di mana ia banyak digunakan sejak tahun 1990an. Berbagai definisi yang digunakan dan di Malaysia, terma Jaringan Keselamatan Sosial membawa definisi perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan untuk kepentingan masyarakat meliputi kebajikan, perubatan dan kadang kala subsidi kepada pengangkutan awam. Semasa pembentangan Bajet 2009, kerajaan telah mengumumkan berbagai bantuan bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah, orang kurang upaya, ibu tunggal dan lain-lain golongan yang kurang bernasib baik. Selain daripada bantuan untuk meningkatkan taraf hidup golongan kurang bernasib baik, terdapat juga penubuhan satu tabung untuk membantu mereka yang dilanda bencana seperti banjir dan kebakaran dan bantuan kepada keluarga yang kehilangan punca pendapatan secara mengejut (seperti kemalangan) berjumlah RM25 juta. Pemberian bantuan ini berdasarkan kejadian, di mana sekiranya berlaku keadaan bencana, mangsa bencana akan diberikan bantuan mengikut panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara. Kajian ini lebih menumpu kepada bencana banjir dengan memberi cadangan memperkenalkan Skim Takaful/Insuran Banjir sebagai salah satu alternatif kepada sistem yang sedia ada. Antara kebaikan skim ini termasuklah dapat mengurangkan beban fiskal kerajaan; dan dapat mempraktikkan konsep perkongsian di antara orang yang tidak terlibat dengan banjir dengan mangsa banjir

    Similar works