Faktor risiko dan pengurusan kesihatan warga emas yang mengalami malpemakanan di hospital

Abstract

Bilangan warga emas di Malaysia akan meningkat daripada 7% pada tahun 2007 kepada 15% pada tahun 2035. Pertambahan dua kali ganda ini menyebabkan aspek pengurusan kesihatan perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan masyarakat. Malpemakanan dalam kalangan warga emas semakin bertambah ekoran daripada peningkatan pelbagai penyakit kronik yang muncul. Objektif kertas kerja ini akan membincangkan faktor penyebab kepada kewujudan malpemakanan dan pengurusan kesihatan yang boleh diaplikasi oleh ahli profesional kesihatan. Faktor penyebab risiko malpemakanan terdiri daripada faktor individu dan organisasi. Faktor individu boleh dipengaruhi oleh fisiologi, patologi, sosiologi dan psikologi. Manakala antara faktor organisasi yang boleh dikaitkan adalah kekurangan staf di hospital,kurang kesedaran tentang keperluan merawat malpemakanan dan tiada ilmu untuk mendiagnos malpemakanan. Pembentukan Alat Penyaringan Risiko Malpemakanan di Hospital (MRST-H) dapat membantu ahli profesional kesihatan dalam menguruskan malpemakanan warga emas di hospital. MRST-H ini boleh mengenalpasti individu yang berisiko terhadap malpemakanan dan layak untuk mendapat intervensi pemakanan dengan segera. Sebagai kesimpulannya, ahli profesional kesihatan, kerajaan dan masyarakat perlu sedar akan kepentingan kesihatan warga emas untuk kesejahteraan mereka.Hal ini dapat membantu ekonomi negara dalam mengurangkan kos perubatan dan menjamin kualiti hidup masyarakat yang sempurna

    Similar works