Gejala histeria dalam kalangan remaja di Malaysia merupakan epidemik sosial yang
telah lama berlaku dalam masyarakat. Kejadian tersebut mengganggu proses
pengajaran dan pembelajaran, psikologi, jasmani dan spiritual remaja. Pelbagai
pendekatan pencegahan dilakukan oleh remaja dan pihak sekolah dalam menangani
gejala yang berlaku, namun tidak menunjukkan pengurangannya. Oleh itu kajian ini
bertujuan mengenal pasti konsep histeria, menganalisis faktor dan simptom histeria
remaja, mengenal pasti pendekatan psikologi dakwah untuk menangani histeria,
mengkaji kaedah pencegahan yang dilakukan remaja terhadap gejala histeria serta
menganalisis hubungan antara faktor, simptom dan langkah pencegahan. Reka bentuk
kajian adalah kajian tinjauan dengan menggunakan instrumen soal selidik dan temu
bual. Seramai 122 orang responden yang mengalami histeria dari 10 buah sekolah di
Selangor dipilih secara persampelan kelompok dan seramai 9 orang pelajar yang
mengalami histeria ditemu bual. Temu bual turut dijalankan terhadap kaunselor, pakar
psikiatri dan perawat perubatan Islam bagi menyokong dapatan kajian. Hasil kajian
mendapati terdapat lima faktor histeria dalam kalangan remaja Muslim iaitu faktor
psikologi, tekanan keluarga dan persekitaran, kepercayaan dan kebudayaan dan
amalan keagamaan. Manakala dari aspek simptom, terdapat tiga bentuk simptom iaitu
simptom gangguan emosi, psikiatri dan gangguan makhluk halus. Dari sudut
pencegahan, remaja yang mengalami histeria kerap menggunakan pencegahan secara
tazkiyah al-nafs, perawatan Islam dan psikiatri. Hasil analisis hubungan antara faktor
dan simptom histeria mendapati faktor yang berhubung secara signifikan dengan
ketiga-tiga simptom histeria adalah faktor psikologi, tekanan persekitaran dan
kepercayaan dan kebudayaan. Manakala dari aspek pencegahan terdapat hubungan
yang signifikan antara pencegahan tazkiyah al-nafs dan perawatan Islam dengan
simptom gangguan emosi. Implikasi kajian dapat membantu pelbagai pihak dalam
menangani punca dan simptom histeria remaja dengan menggunakan pendekatan
psikologi
3
dakwah