Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) merupakan satu kemahiran yang ditekankan dalam dunia pendidikan masa kini. Ia melibatkan beberapa kemahiran berfikir yang utama dan salah satunya adalah kemahiran berfikir secara kritikal. Kemahiran berfikir secara kritikal menjadi sebuah konsep penting dalam dunia pendidikan seantero dunia dan menjadi satu kemahiran yang dituntut dalam diri setiap pelajar. Justeru, peranan pendidiklah untuk menawarkan strategi pengajaran yang melibatkan aspek KBAT dalam pembelajaran. Namun, panduan atau kaedah dalam membangunkan sebuah aplikasi pembelajaran berasaskan teknologi mudah alih yang menekankan KBAT amat diperlukan oleh para pendidik dalam merencanakan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Ini kerana teknologi mudah alih dilihat telah menjadi sebahagian daripada kehidupan pelajar masa kini. Oleh yang demikian, kertas kerja ini akan membincangkan cadangan sebuah kerangka teori dalam membangunkan sebuah aplikasi mudah alih yang dapat meningkatkan pemikiran kritikal pelajar.dengan menggunakan pendekatan Pembelajaran Berasaskan Masalah. Kerangka teori yang akan dicadangkan dalam kajian ini diharap dapat membantu para pendidik dan dijadikan sebagai panduan bagi membangunkan aplikasi mudah alih yang mengimplementasikan strategi pembelajaran untuk tujuan meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) khususnya pemikiran kritikal pelajar