unknown

Komunikasi lisan dalam kalangan masyarakat Che Wong, Pahang

Abstract

Penyelidikan ini dijalankan bertujuan untuk memerihalkan komunikasi lisan dalam masyarakat Che Wong. Masyarakat Che Wong majoritinya terdapat di daerah Lanchang, Pahang dan merupakan antara suku Orang Asli yang diancam kepupusan,iaitu hanya terdapat sekitar 500-600 orang. Pemilihan tajuk ini berdasarkan fenomena yang dilihat semasa pengkaji menyertai Program Tinjau Budaya dan Klinik Bahasa Orang Asli Che Wong dan Semelai, Pahang (2010) didapati bahawa masyarakat Che Wong lebih bersikap pemalu dan sukar untuk berkomunikasi, terutama sekali para remajanya berbanding dengan masyarakat Semelai yang lebih peramah dan sudah dipengaruhi dengan budaya masyarakat luar. Rentetan daripada fenomena tersebut, pengkaji merasakan bahawa kajian ini perlu dilakukan untuk mengetahui komunikasi lisan mereka terutama sekali dalam kalangan remaja yang merupakan pewaris generasi akan datang. Oleh itu, objektif kajian ini ialah menghuraikan bentuk bahasa dalam komunikasi lisan remaja masyarakat Che Wong di Perkampungan Kuala Gandah berdasarkan Kerangka Etnografi Komunikasi Savillie-Troike (2003), kedua meneliti dan membincangkan komunikasi lisan bahasa Melayu dalam kalangan remaja masyarakat Che Wong dan yang terakhir ialah membincangkan status dan kedudukan bahasa Che Wong dalam kalangan remaja khasnya dan masyarakat umumnya. Data kajian diperoleh daripada hasil temu bual, soal selidik, pemerhatian dan rakaman. Di samping penggunaan Kerangka Etnografi Komunikasi Saville-Troike (2003), pengkaji turut menggunakan, Teori Mandala yang meliputi mandala kekeluargaan dan kemasyarakatan serta Teori Tipologi Keterancaman Bahasa yang merangkumi Kerangka Edward dan Model Sasse untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan status dan kedudukan bahasa masyarakat Che Wong. Data akan dianalisis mengikut pendekatan kualitatif dan kuantitatif. Berdasarkan kepada dapatan kajian didapati bahawa remaja menggunakan pelbagai bentuk bahasa dalam berkomunikasi. Walau bagaimanapun, kebanyakan remaja mempunyai komunikasi lisan bahasa Melayu yang lemah dan kurang memberangsangkan. Para remaja mempunyai kosa kata bahasa Melayu yang terhad disebabkan kurang bergaul dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu tetapi keadaan ini telah memberikan kelebihan kepada bahasa ibunda mereka, iaitu bahasa Che Wong. Berdasarkan kepada soal selidik dan pemerhatian yang dilakukan didapati bahasa Che Wong berada di tahap yang memuaskan dan tidak dipengaruhi oleh bahasa-bahasa lain. Kajian yang dilakukan ini diharapkan dapat memberikan maklumat tentang komunikasi lisan dalam masyarakat Che Wong

    Similar works