Ekskavasi Tapak Senibina Jeti Sb2e, Sb1h, Sb1j, Sb1k Dan Sb1l, Di Kompleks Sungai Batu, Lembah Bujang, Kedah.

Abstract

Kajian ini melibatkan tapak SB2E, SB1H, SB1J, SB1K dan SB1L di Kompleks Sungai Batu, Lembah Bujang, Kedah. Kajian telah dijalankan pada tahun 2010 sehingga 2011. Tapak SB2E, SB1H-SB1L telah diekskavasi bagi membuktikan interpretasi awalan kewujudan struktur senibina jeti. Bagi mendapatkan data, kajian lapangan yang melibatkan aktiviti survei dan pemetaan, penggerudian cetek dan ekskavasi telah dijalankan disamping analisis saintifik di makmal. Hasil kajian telah mendedahkan bukti kewujudan senibina jeti yang dibina sejak sebelum abad pertama Masihi lagi. Fungsinya sebagai jeti dicadangkan berdasar atas lokasi struktur senibina dan orientasi bangunan yang dibina mengarah ke arah Sungai Batu kuno. Secara amnya, penemuan struktur senibina jeti di kelima-lima tapak mendedahkan bukti senibina lantai, dinding, koridor, laluan pejalan kaki dan adanya atap genting sebagai bukti ianya berbumbung. Ianya dibina daripada bata. Senibina daripada bata sejak tahun 89 sebelum Masihi (SB1H) mencadangkan teknologi pembuatan bata dan proses perdagangan telah mulai wujud lebih awal daripada abad pertama Masihi. Gabungan kelima-lima tapak dan tiga tapak lain di timur Sungai Batu kuno mencadangkan adanya pelabuhan di Kompleks Sungai Batu ini. Berdasarkan usia senibina jeti tahun 89 sebelum Masihi, maka ini adalah penemuan pelabuhan tertua di rantau ini buat masa kini. Ini menunjukkan masyarakat di Sungai Batu telah mempunyai teknologi dan taraf hidup yang baik mendahului tamadun lain di rantau Asia Tenggara

    Similar works