research

Pembentukan kriteria bagi garis panduan kemudahan asas kolej kediaman lestari di universiti awam

Abstract

Kolej kediaman selama ini telah dibangunkan berdasarkan tiga garis panduan sedia ada iaitu oleh USM (2004), UTM (2007) dan KPT (2012). Namun, kekurangan yang terdapat dalamnya telah menimbulkan kelemahan dalam penyediaan kemudahan di kolej kediaman. Akibatnya berlaku ketidakselesaan penghuni yang memberikan kesan buruk terhadap proses pembelajaran seterusnya menjejaskan kelestarian kolej kediaman. Permasalahan ini akhirnya membawa kepada kemerosotan kualiti hidup penghuni. Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk meneroka dalam aspek penyediaan kemudahan di kolej kediaman universiti awam. Kajian ini mempunyai empat objektif iaitu mengenalpasti tahap keselesaan dan ketersediaan kemudahan kolej kediaman di universiti awam, mengkaji keadaan semasa kemudahan di kolej kediaman universiti awam, menganalisis pandangan pembuat dasar terhadap pembangunan konsep kolej kediaman lestari di universiti awam dan mencadangkan kriteria bagi garis panduan kemudahan asas kolej kediaman lestari di universiti awam. Pengumpulan data secara kuantitatif dan kualitatif. Kajian ini melibatkan tujuh buah kolej kediaman universiti awam dari USM, UPM, UTHM, UITM, UTEM, UPSI dan UKM (2874 responden). Selain itu, tiga responden dari KPT dan KeTTHA turut terlibat. Analisis data diskriptif dan inferens digunakan untuk data kuantitatif menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences. Manakala data kualitatif dianalisis secara analisis kandungan. Hasil kajian menunjukkan keselesaan responden terhadap penyediaan bilik penginapan berada pada tahap selesa. Namun, penemuan kajian visual mendapati masih terdapat kelemahan bagi penyediaan kemudahan dalam bilik seperti peralatan/perabot yang usang, uzur, tidak memenuhi keperluan akademik, rosak dan tidak mencukupi. Bagi penyediaan kemudahan sokongan, didapati kemudahan yang disediakan masih tidak lengkap dan tidak memenuhi keperluan akademik atau untuk pembangunan sahsiah diri penghuni. Hasil temu bual bersama pihak pembuat dasar KPT dan KeTTHA telah mendapatkan input, sokongan dan nasihat. Antara input tersebut kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua membentuk mahasiswa holistik dan penerapan elemen hijau dalam kemudahan di kolej kediaman. Kriteria bagi garis panduan kemudahan asas kolej kediaman lestari telah dicadangkan dengan tiga bahagian utama iaitu pembangunan garis panduan berkaitan penyediaan bilik dan kemudahan, pembangunan garis panduan penyediaan kemudahan sokongan pelbagai kolej kediaman dan pembangunan garis panduan pembangunan reka bentuk fizikal persekitaran luaran kolej kediaman. Garis panduan ini dijadikan sebagai rujukan untuk penyediaan kemudahan yang selesa dan lengkap Secara keseluruhannya, kajian ini telah menyumbang kepada perbincangan berkaitan penyediaan kemudahan di kolej kediaman yang lestari seterusnya membawa kepada peningkatan kualiti hidup penghuni

    Similar works