research

Kesan penggunaan prosedur pembelajaran kawalan kendiri (self-regulated learning) terhadap pencapaian akademik, kemahiran meta kognitif dan motivasi pelajar politeknik : kajian kes

Abstract

Pembelajaran Kawalan Kendiri (PKK) merupakan satu strategi pembelajaran efektif yang membantu pelajar untuk kompeten dan mempunyai autonomi dalam diri. Namun, prosedur yang betul bagi mengaplikasikan PKK masih memerlukan penambahbaikan disebabkan oleh pelajar cepat bosan belajar subjek teori. Pelajar juga didapati mengamalkan surface learning, mudah hilang fokus dalam kelas dan tidak cekap dalam mengawal kemahiran meta kognitif. Oleh itu, tujuan kajian ini dilaksanakan adalah untuk membangunkan satu prosedur PKK khusus untuk pelajar politeknik yang mengambil subjek Prinsip Pengurusan dan diuji keberkesanannya terhadap pencapaian akademik, kemahiran meta kognitif dan motivasi pelajar. Terdapat dua (2) fasa telah digunakan dalam kajian ini. Fasa pertama (1) ialah pembangunan prosedur PKK menggunakan analisis dokumen dan model Kemp. Analisis frekuensi telah digunakan dalam fasa ini. Terdapat tiga (3) hasil dapatan kajian daripada fasa pembangunan iaitu Prosedur PKK, Aktiviti Pengajaran dan Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Fasa kedua (2) ialah pelaksanaan prosedur PKK menggunakan reka bentuk kuasi eksperimen iaitu ujian pra-pasca bagi kumpulan-kumpulan tidak seimbang. 43 orang pelajar Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) telah dipilih sebagai kumpulan rawatan manakala 38 orang pelajar Politeknik Merlimau (PMM) sebagai kumpulan kawalan. Analisis deskriptif skor min dan analisis inferensi MANCOVA telah digunakan dalam kajian ini bagi menguji perbezaan antara kumpulan kajian. Berdasarkan hasil analisis MANCOVA yang telah dijalankan, didapati wujud perbezaan yang signifikan secara statistik antara kumpulan rawatan dan kawalan bagi pencapaian akademik [F (1, 76) = 24.786, p = .000], kemahiran meta kognitif [F (1, 76) = 14.864, p = .000] dan motivasi [F (1, 76) = 65.148, p = .000]. Kesimpulannya, prosedur PKK terbukti berkesan dan boleh dijadikan panduan kepada pensyarah dalam mengaplikasikan PKK dengan lebih efektif dan berkesan

    Similar works