'Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM Press)'
Abstract
Pengawalan penyakit koksidiosis ayam yang disebabkan oleh jangkitan parasit Eimeria melibatkan penggunaan vaksin
hidup. Namun, kaedah ini mempunyai batasan disebabkan kos pengeluarannya yang tinggi secara relatif dan hanya
memberikan perlindungan yang terhad disebabkan oleh sifat Eimeria yang khusus-hos. Justeru, vaksin rekombinan
diperkenalkan sebagai strategi alternatif. Antigen permukaan-2 (SAG2) Eimeria tenella telah dikenal pasti berupaya
merangsang gerak balas imun ayam berikutan jangkitan. Oleh itu, dalam kajian ini, protein rekombinan SAG2 terlarut
telah dihasil dan digunakan dalam pengimunan ayam. Hasil ELISA menggunakan sampel ayam terimun menunjukkan
bahawa program pengimunan berjaya merangsang penghasilan antibodi-khusus SAG2 pada ayam terimun. Antibodi
IgG, IgM dan IgA khusus-SAG2 pada serum ayam berjaya dikesan selepas suntikan perangsang yang pertama,
manakala IgA rembesan khusus-SAG2 dikesan pada sampel kandungan mukosa ayam yang telah melengkapkan
keseluruhan program pengimunan. Ayam seterusnya telah diberikan jangkitan cabaran oosista tersporulasi E. tenella.
Hasil menunjukkan bahawa ayam terimun menghasilkan bilangan oosista yang lebih rendah berbanding dengan ayam
tidak terimun (p<0.05) dan ini mencadangkan keupayaan protein rekombinan SAG2 untuk melindungi ayam terhadap
kesan jangkitan E. tenella. Secara keseluruhannya, hasil kajian ini menunjukkan kesesuaian protein rekombinan SAG2
E. tenella sebagai calon vaksin rekombinan bagi penyakit koksidiosis