'Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM Press)'
Abstract
Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses (JKKP), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina,
Universiti Kebangsaan Malaysia telah mengambil initiatif semasa semakan kurikulum 2016
untuk melaksanakan Kursus Elektif secara bermodul bagi pelajar tahun IV sejak kohot
kemasukan 2015/2016 sehingga 2019/2020. Kaedah pembangunan modul yang digunakan
adalah melalui penanda-arasan bersama universiti terkemuka di dalam dan luar negara, serta
melalui input daripada panel penilai industri yang dilantik dan menjalankan soal selidik
bersama industri berkaitan. Pembangunan modul kursus elektif ini merupakan satu langkah
untuk memberikan peluang kepada pelajar untuk mengambil kursus pengkhususan
kejuruteraan kimia mengikut kombinasi kursus tertentu sahaja secara lebih berfokus. JKKP
telah memperkenalkan 3 modul kursus elektif iaitu bioproses, kejuruteraan sistem proses dan
proses industri. Pendekatan ini mampu untuk memberi pelajar pilihan yang lebih berstruktur
dalam mengikuti kursus elektif yang wajib diambil pada semester akhir pengajian mereka.
Amalan ini adalah sangat berbeza dengan amalan sebelumnya yang lebih terhad dan tidak
berstruktur. Di dalam kurikulum terkini ini, terdapat lebih banyak pilihan kursus yang
dibangunkan mengikut acuan terkini industri di dalam bidang-bidang utama yang dikenalpasti.
Kajian ini dilakukan untuk membandingkan tentang penawaran kursus elektif di peringkat
jabatan dalam tempoh sebelum dan selepas semakan kurikulum dilakukan. Kemudian, minat
pelajar berdasarkan pemilihan modul yang dilakukan telah diselidiki. Didapati bahawa
kebanyakkan pelajar sangat cenderung untuk memilih modul proses industri, diikuti dengan
kejuruteraan sistem proses dan akhir sekali bioproses. Melalui amalan ini, dapat dilihat
kecenderungan minat pelajar ke arah bidang pengkhususan tertentu. Maklum balas yang
positif juga diperoleh daripada pelajar di mana mereka menyatakan bahawa kursus elektifbermodul ini perlu diteruskan di masa akan datang kerana pelajar dapat menentukan
halatuju kerjaya yang lebih jelas melalui pengkhususan kursus yang dipilih. Namun, terdapat
beberapa cabaran yang perlu ditangani oleh jabatan bagi memupuk lebih minat pelajar
kepada bidang yang kurang diminati seperti bioproses. Antaranya adalah dengan
meningkatkan kualiti pengajaran dan bahan pengajaran yang digunakan serta melibatkan
industri di dalam pelbagai cara untuk menerapkan minat bidang-bidang tersebut. Dengan
penghasilan graduat jurusan kejuruteraan kimia dari bidang yang pelbagai serta mencukupi
dipercayai mampu untuk membekalkan tenaga kerja yang kompeten di dalam era revolusi
industri 4.0 (IR 4.0) kini