'Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM Press)'
Abstract
Penurunan kekuatan otot dan kualiti hidup memberi impak tinggi ke atas dewasa yang berisiko keretakan osteoporotic. Walaubagaimanapun, kekuatan otot dan kualiti hidup dalam kalangan dewasa Malaysia yang berisiko keretakan osteoporotic tidak diketahui. Tujuan kajian kami adalah untuk mengkaji kekuatan otot dan kualiti hidup serta perkaitannya dalam kalangan dewasa berisiko keretakan osteoporotic rendah dan sederhana hingga tinggi. Kajian keratan-rentas ini melibatkan 27 lelaki dan 78 wanita (purata usia 69.3 ± 85 tahun) dari klinik Ortopedik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia. Kebarangkalian 10 tahun untuk keretakan osteoporotic dikira berdasarkan penilaian risiko keretakan osteoporotic (FRAX) dengan ketumpatan mineral tulang femoral (femoral neck). Peserta kajian telah dikategorikan sebagai rendah dan sederhana hingga tinggi risiko keretakan osteoporotic berdasarkan keputusan FRAX titik potong 10%. Kekuatan otot extensor belakang dan kekuatan genggaman tangan dominan telah diukur dengan menggunakan masing-masing sistem sel beban (load cell system) dan dynamometer tangan (hand dynamometer). Borang soal selidik kualiti hidup Eropah (EQ5Dvas) telah digunakan untuk mengukur kualiti hidup. Regresi linear berganda dilakukan dengan kualiti hidup sebagai pembolehubah bergantung dan kekuatan otot extensor belakang dan kekuatan genggaman tangan sebagai pembolehubah bebas. Anggaran sebanyak 40% orang dewasa telah dikategorikan ke dalam kumpulan sederhana hingga tinggi risiko keretakan osteoporotic. Purata nilai di antara kumpulan rendah dan sederhana hingga tinggi risiko keretakan osteoporotic bagi mutu kualiti hidup adalah masing-masing 80.5 ± 13.2 dan 76.9 ± 16.9 (p = 0.77); kekuatan genggaman tangan adalah 25.7 ± 17.3 dan 20.6 ± 5.5 kg (p < 0.001) dan otot extensor tulang belakang adalah 25.0 ± 7.0 dan 18.9 ± 9.5 Newton (p < 0.01). Kekuatan otot genggaman tangan telah muncul sebagai penentu kualiti hidup dan menyumbang sebanyak 5.8% daripada jumlah varians. Peningkatan kekuatan otot boleh menyebabkan kualiti hidup yang lebih baik dalam kalangan dewasa berisiko keretakan osteoporotic