Pengaruh teknik pengeringan yang berbeza terhadap ketumpatan, keliangan dan kebioaktifan β-wolastonit daripada batu kapur tempatan dan jerami padi

Abstract

Pengaruh teknik pengeringan yang berbeza terhadap ketumpatan, keliangan dan kebioaktifan sampel β-wolastonit dikaji dan dibandingkan antara dua teknik pengeringan; kering beku pada -40°C dan di dalam inkubator pada suhu badan (36.5°C). Sampel β-wolastonit dihasilkan daripada batu kapur terkalsin dan abu jerami dengan nisbah CaO:SiO2 pada 45:55. Campuran ini diautoklaf selama 8 jam, kemudian dikeringkan dan disinter pada suhu 950°C selama 3 jam. Sampel β-wolastonit dibentuk menjadi silinder dan dikeringkan menggunakan dua teknik pengeringan iaitu kering beku pada suhu -40°C selama 12 jam dan pada suhu badan (36.5°C) selama dua hari di dalam inkubator. Kemudian, sifat ketumpatan, keliangan dan kebioaktifan sampel berbentuk silinder ini diperiksa. Didapati bahawa penggunaan teknik pengeringan kering beku menghasilkan sampel β-wolastonit yang lebih tumpat, (3.20 gcm-3) berbanding pengeringan pada suhu badan (3.03 gcm-3). Sampel yang dikering beku mempunyai bilangan liang yang lebih rendah berbanding dengan sampel yang dikeringkan pada suhu badan, masing-masing dengan 47.5% dan 53.8%. Bagi sifat kebioaktifan, selepas direndam selama 21 hari di dalam larutan SBF, didapati kalsium fosfat amorfus (ACP) dengan nisbah molar Ca/P yang berkisar antara 1.2 - 2.0 dan hidroksiapatit kurang kalsium (CDHA) dengan nisbah molar Ca/P pada 1.5 - 1.67, terhasil pada permukaan sampel β-wolastonit bagi kedua-dua teknik pengeringan

    Similar works