'Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM Press)'
Abstract
Pengurusan sisa pepejal adalah satu proses yang rumit dan kritikal. Usaha-usaha untuk memastikan kemampanan
pengurusan sisa pepejal di pulau tarikan pelancong yang kecil seperti Pulau Pangkor adalah lebih mencabar kerana
kekangan-kekangan yang berkait dengan saiz, lokasi dan landskap pulau. Satu kajian telah dijalankan untuk
mengenalpasti isu dan cabaran dalam pengurusan sisa pepejal di Pulau Pangkor. Kajian ini berbentuk kualitatif dan
data-data dikumpul dari November 2014 hingga Ogos 2015. Beberapa kaedah pengutipan dan analisis data telah
digunakan seperti temu bual, Perbincangan Kumpulan Berfokus/Focus Group Discussion (FGD), pemerhatian dan
lawatan tapak. Hasil analisis data mendapati terdapat empat isu serta cabaran utama dalam pengurusan sisa pepejal
di Pulau Pangkor iaitu yang berkait dengan sikap masyarakat yang tidak mengutamakan kebersihan persekitaran,
pengurusan sumber manusia yang tidak cekap, kemudahan penyimpanan dan pengangkutan sisa yang tidak efisien
dan konflik dalam proses pelupusan sisa pepejal. Isu-isu ini merupakan cabaran utama yang perlu diatasi demi
memastikan pengurusan sisa pepejal mampan boleh dicapai. Perkara ini jika dibiarkan berterusan berupaya
mendatangkan implikasi negatif kepada alam sekitar. Kekurangan kedatangan pelancong akan memberi kesan
kepada ekonomi penduduk yang kebanyakannya bergantung kepada kegiatan ekonomi ini. Penduduk yang
menampung hidup dengan aktiviti perikanan juga akan terjejas. Selain daripada itu, sisa yang tidak diuruskan
dengan baik juga boleh menjadi tempat pembiakan haiwan yang merupakan vektor pembawa penyakit dan
meningkatkan kes-kes kesihatan. Pengurusan sisa pepejal yang baik perlulah diberi perhatian utama dalam usaha
mencapai objektif pembangunan mampan. Ianya adalah satu usaha yang bukan mudah dan menuntut kerjasama
banyak pihak terutamanya penduduk, pelancong dan pemerintah