research

Profil penerima Implan Koklea Kebangsaan bagi kanak-kanak bermasalah pendengaran pralingual di Malaysia

Abstract

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan Program Implan Koklea Kebangsaan sejak tahun 2008. Sehingga November 2014, program ini telah mengimplan sejumlah 205 orang individu yang mempunyai masalah pendengaran di mana sebahagian besarnya adalah kes kanak-kanak bermasalah pendengaran pralingual (71%). Kajian ini bertujuan memprofil penerima implan koklea kanak-kanak pralingual di bawah program KKM. Data yang dilaporkan meliputi 121 penerima implan koklea (82.8%) dari sembilan buah hospital satelit yang terlibat dalam program ini. Dari jumlah tersebut, 58 adalah kanak-kanak lelaki dan majoritinya ialah Melayu (66.9%). Seramai 39 daripada mereka (32.2%) mempunyai faktor berisiko tinggi dan majoriti mempunyai beberapa faktor berisiko tinggi (46%) untuk kehilangan pendengaran kekal. Dalam kohort ini, hanya 12 orang kanak-kanak (9.9%) telah dikenal pasti melalui program saringan pendengaran bayi baru lahir. Umur diagnosis masalah pendengaran adalah antara 1 hingga 46 bulan (Min = 24.3 ± 10.2 bulan). Alat bantu pendengaran telah dipasang pada usia 4 hingga 46 bulan (Min = 27.5 ± 9.9 bulan). Min umur pemasangan implan koklea adalah 41.5 ± 10.3 bulan. Min keseluruhan tempoh menunggu dari lawatan pertama berjumpa audiologis hingga implan koklea diaktifkan adalah 18.5 ± 9.1 bulan. Data deskriptif menunjukkan bahawa kanak-kanak ini didiagnos dan menerima implan pada usia lewat secara relatif untuk perkembangan bahasa dan pertuturan. Program saringan pendengaran bayi baru lahir kebangsaan yang sedia ada perlu lebih diperkemas dan dimantapkan supaya mampu menjadi penyumbang utama untuk mengenal pasti awal masalah pendengaran bagi penerima implan kanak-kanak di bawah Program Implan Koklea KKM. Seterusnya pengesanan awal masalah pendengaran diharapkan dapat mengurangkan usia pemasangan implan koklea dalam kalangan kanak-kanak pada masa hadapan

    Similar works