research

Pemulihan akhlak di pusat perlindungan wanita: kajian di Baitul Ehsan dan Dar Assaadah

Abstract

Dalam konteks Malaysia, masyarakat kini sememangnya sedang bergelut dengan masalah keruntuhan akhlak yang begitu membimbangkan khususnya membabitkan golongan remaja, antaranya masalah kehamilan luar nikah. Hakikatnya, perbincangan mengenai topik akhlak telah mengisi hampir satu pertiga daripada kandungan al- Quran. Selain itu, matlamat Nabi Muhammad SAW diutuskan juga adalah untuk memperbaiki akhlak manusia. Bertitik tolak dari kesedaran pelbagai pihak terhadap keutamaan akhlak sebagaimana yang ditekankan oleh Islam, maka usaha-usaha pemulihan akhlak kini giat dijalankan. Pusat perlindungan wanita menjadi antara institusi penting yang diwujudkan secara khusus bagi menjalankan proses pemulihan akhlak remaja bermasalah, sebagai contoh pusat perlindungan wanita Baitul Ehsan (BES) dan Kompleks Dar Assaadah (KDS). Justeru, satu kajian dijalankan bagi melihat sejauh manakah kedua-dua pusat perlindungan ini komited dalam menjalankan usaha-usaha pemulihan akhlak remaja bermasalah. Kajian kualitatif ini menggunakan beberapa teknik pengumpulan data iaitu dokumentasi, pemerhatian serta temu bual ke atas 6 orang kakitangan dari kedua-dua pusat perlindungan tersebut. Hasil kajian mendapati BES dan KDS memanfaatkan tempoh perlindungan pelatih dengan mewujudkan beberapa platform penting bagi tujuan pemulihan akhlak iaitu penganjuran kelas pemantapan ilmu agama dan kemahiran, pelaksanaan aktiviti berbentuk kerohanian dan ketahanan fizikal serta penguatkuasaan peraturan. Ringkasnya, kajian juga mendapati kesemua platform yang digunakan selari dengan konsep penyucian jiwa (tazkiyat al-nafs) sebagaimana yang disarankan oleh Islam bagi tujuan memperbaiki akhlak manusia ke arah yang lebih baik

    Similar works