'Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM Press)'
Abstract
Pemetaan dengan menggunakan kaedah pantulan bunyi telah menemukan satu permukaan lantai laut yang unik dengan ciri morfologi yang pelbagai bermula dari kawasan pesisir laut cetek Delta Sungai Kelantan hingga ke pelantar benua Laut China Selatan. Morfologi lantai laut menunjukkan peningkatan sehingga 38 m ke arah pelantar benua. Empat rentasan lantai laut menunjukkan kemiringan yang kurang daripada 1° dengan nilai antara 0.05° dan 0.57°, menunjukkan penurunan yang sekata sehingga pelantar benua. Suatu tindakan mekanisme pencetus telah menyebabkan fenomena lompatan hidraulik berlaku dan membentuk ketakseragaman morfologi lantai laut dan menghasilkan satu lohong hitam sedalam 26 m dari lantai laut sekitarnya dan pembentukan satu beting pasir yang mempunyai ketinggian sehingga 8 m dari permukaan laut dengan keluasan sekitar 9 km2. Penentuan fenomena yang terhasil dikukuhkan dengan penemuan empat kontur tertutup yang dikenal pasti sebagai kaviti kecil di tiga kawasan yang berbeza. Kesemua fitur dan perubahan morfologi yang berlaku di kawasan lantai laut ini terhasil daripada jatuhan air dari mulut Sungai Kelantan yang berterusan dengan kadar kelajuan berbeza bergantung kepada pelepasan air dan musim monsun