research

Pencirian molekul glikogen sintase kinase-3 dari Eimeria tenella

Abstract

Penemuan sasaran dadah antikoksidia baharu merupakan antara usaha yang diperlukan untuk mengawal penyakit koksidiosis ayam yang disebabkan oleh spesies Eimeria. Dalam kajian ini, serpihan yang mengekodkan glikogen sintase kinase-3 (GSK-3) Eimeria tenella putatif telah diamplifikasi daripada cDNA E. tenella. Hasil pemadanan homologi menunjukkan jujukan GSK-3 E. tenella yang terjana mempunyai padanan yang tinggi dengan jujukan GSK-3 organisma lain. Domain terpulihara GSK-3 dan residu yang penting untuk aktiviti GSK-3 juga diramalkan hadir dalam jujukan GSK-3 E. tenella. Analisis struktur sekunder serta pemodelan homologi menunjukkan pembahagian struktur protein kepada domain bebenang beta pada hujung N dan domain heliks alfa pada hujung C, yang merupakan ciri enzim GSK-3. Kesemua hasil analisis ini menyokong bahawa jujukan yang dikaji mengekodkan protein GSK-3 dalam E. tenella. Walaupun darjah keterpuliharaan adalah tinggi, namun terdapat perbezaan yang bermakna diperhatikan antara GSK-3 E. tenella dan perumahnya. Residu Ser 9 yang dilaporkan penting untuk perencatan aktiviti GSK-3 didapati tidak terpulihara dalam GSK-3 E. tenella. Memandangkan Ser 9 merupakan tapak pemfosfatan bagi GSK-3β dalam haiwan vertebrata, ketiadaan residu ini dalam jujukan GSK-3 E. tenella mencadangkan bahawa pengawalaturan GSK-3 E. tenella melibatkan tapak pemfosfatan dan mekanisme yang berbeza. Tambahan pula, hasil analisis filogenetik menunjukkan bahawa GSK-3 E. tenella mempunyai pertalian yang rapat dengan protein GSK-3 tumbuh-tumbuhan. Analisis superposisi GSK-3 E. tenella dengan GSK-3β Homo sapiens pula menunjukkan bahawa perencat GSK-3 mampu berinteraksi dengan protein GSK-3 E. tenella. Keputusan kajian ini mencadangkan bahawa GSK-3 E. tenella mempunyai potensi untuk diperkembangkan sebagai sasaran dadah antikoksidia

    Similar works