'Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM Press)'
Abstract
Ekstremisme adalah isu yang berpanjangan. Ideologi ini apabila dikaitkan dengan agama, ia bukan sahaja berkisar
tentang implikasi keganasan bahkan menjadi asas kepada pembentukan ajaran-ajaran sesat dan yang menyeleweng
daripada aliran ahli Sunah Waljamaah. Untuk membanterasnya, pendekatan harus kolektif dan memerlukan kerjasama
semua pihak. Konsep asas mengenainya harus benar, sahih dan meyakinkan. Ia mestilah datang daripada sumber dan
struktur akademik yang lengkap, sistematik dan konsisten supaya kritikan dan refleksi terhadap ideologi ini dilihat
tersusun, adil dan mudah difahami. Antara tokoh-tokoh besar Islam yang pernah menilai dan menulis secara sistematik
tentang ideologi ini adalah Yusuf al-Qaradawi, seorang ulama Islam kelahiran Mesir yang menetap di Doha, Qatar.
Beliau adalah salah seorang ulama Islam paling berpengaruh semasa hidupnya. Beliau juga dikenali sebagai seorang
pemikir yang sederhana tetapi tegas. Pandangan-pandangan beliau tentang kesederhanaan telah banyak diulas, dipetik
dan dicerakin oleh ulama Islam lainnya di seluruh dunia. Namun disebalik kederhanaan ini beliau juga dikenali sebagai
seorang yang tegas dan memiliki pandangan yang keras dan konsisten terhadap ideologi ekstremisme dan ekstremisme
agama. Justeru, makalah ini akan mengupas dan membahas pandangan, kritikan dan refleksi beliau terhadap ideologi
ekstremisme dan ekstremisme agama. Tulisan ini adalah sebahagian daripada dapatan kajian mengenai Islam dan
ekstremisme di Malaysia yang menggunakan pendekatan kualitatif dan kuantitatif sebagai metode pengumpulan data.
Analisa kandungan yang sebahagian besarnya membabitkan bahan-bahan daripada tulisan beliau telah digunakan
di samping temubual separa struktur yang digunakan untuk mendapatkan pandangan tokoh-tokoh agama, aktivis dan
pihak berkuasa tempatan berkaitan hal ini. Analisa hasil kajian mendapati, Yusuf al-Qaradawi telah mengupas hal ini
dalam banyak tulisan-tulisan beliau sama ada memberi refleksi secara khusus terhadap ideologi ini ataupun menyebut implikasi ideologi ini melalui tulisan-tulisan beliau dalam hal ehwal kehidupan secara umum. Pandangan-pandangan beliau juga menjadi teras pada kebanyakan tulisan tokoh-tokoh Islam lain apabila menulis dan bercakap mengenai
ekstremisme dan ekstremisme agama