Etnik Suluk merupakan salah satu dari kelompok etnik yang terdapat di Kudat, Sabah dan memiliki status bumiputera yang diiktiraf sebagai peribumi Sabah. Sama seperti bangsa dan etnik lain, etnik Suluk memiliki keunikan tersendiri yang menggambarkan budaya etnik tersebut. Kajian ini bertujuan untuk membentangkan satu penceritaan secara umum tentang citra etnik Suluk serta adat perkahwinan yang diamalkan oleh mereka. Rekabentuk kajian adalah kualitatif melibatkan kaedah perpustakaan menerusi penelitian ke atas beberapa literatur terpilih serta kaedah temubual dengan 11 orang informan. Dapatan kajian menunjukkan adat perkahwinan etnik Suluk memiliki keunikan tradisi tersendiri. Oleh itu, artikel ini diharapkan dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran tentang etnik Suluk serta adat perkahwinan mereka yang mewarnai corak kepelbagaian etnik dan budaya masyarakat di Sabah