'Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM Press)'
Abstract
Organisasi menggunakan pelbagai alat automasi untuk memudahkan tugas mereka. Salah satu alat automasi
yang digunakan adalah Automasi Proses Robotik (APR). APR didefinisikan sebagai aplikasi teknologi yang
menggunakan alat perisian untuk berinteraksi dengan sistem yang sedia ada dan menggantikan manusia bagi
memudahkan dan meningkatkan produktiviti pekerjaan tersebut. APR semakin mendapat perhatian kerana ia
berpotensi untuk meningkatkan keberkesanan tugasan, mengurangkan kos, dan meningkatkan daya saing
organisasi. Tujuan kajian ini adalah untuk memahami pengaruh APR terhadap peningkatan kemahiran pekerja
di unit perakaunan di dalam industri Perkhidmatan Perniagaan Global (PPG) berdasarkan lensa logik profesion.
Kajian ini menggunakan kajian kes mendalam dengan menemubual 14 orang responden daripada pelbagai pihak
pengurusan di salah satu firma PPG terbesar di dalam industri minyak dan gas di Malaysia. Data telah dianalisa
berdasarkan kaedah penteorian. Hasil kajian menunjukkan bahawa APR memberikan pengaruh yang besar
terhadap kemahiran pekerja di unit perakaunan seperti kemahiran bernilai tambah, kemahiran analitikal,
kemahiran interpersonal, kemahiran komputer dan teknologi maklumat, serta kemahiran perakaunan. Kajian ini
membantu memberikan gambaran di dalam proses perancangan dan pengurusan APR bagi organisasi yang
sedang atau akan mempertimbangkan penggunaan APR. Ia juga dapat menyumbang kepada literatur mengenai
pengaruh APR terhadap kemahiran pekerja di dalam industri PPG dan unit perakaunan menggunakan lensa
logik institusi