Fatwa merupakan salah satu elemen penting dalam pentadbiran zakat di Malaysia. Ini diperuntukkan
di dalam undang-undang pentadbiran agama Islam di negeri masing-masing. Justeru itu, kajian ini menjurus
kepada fatwa-fatwa berkaitan zakat yang dimuatnaik dalam e-SMAF (Sumber Maklumat Fatwa) yang
dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Sebanyak 129 fatwa berkaitan zakat dianalisa
menggunakan metod analisis kandungan. Hasil kajian mendapati dua topik utama iaitu kutipan dan agihan
zakat. Antara isu-isu di bawah kutipan ialah penentuan zakat fitrah setiap tahun, bayaran zakat secara elektronik
dan zakat saham serta kaedah pengiraan. Di bawah agihan, isu yang timbul antaranya ialah ketetapan had
kifayah, tafsiran asnaf dalam konteks semasa dan skim-skim bantuan zakat. Kajian ini seterusnya mengenalpasti
isu-isu yang sering dikaitkan dengan penggunaan dana zakat bagi tujuan projek pembangunan seperti (i)
pengurusan lebihan zakat, (ii) pelaburan wang zakat, dan (iii) agihan zakat dalam bentuk manfaat. Kajian ini
mendapati penggunaan dana zakat bagi tujuan pembangunan berlaku di Majlis Agama Islam Negeri-Negeri
(MAIN). Ianya digunakan dalam konteks keperluan asnaf kepada prasarana yang tertentu seperti rumah
perlindungan warga emas dan muallaf. Malah, sinergi antara MAIN melalui agensi zakat serta pemaju dan
Jabatan Mufti dilihat mampu untuk mewujudkan kerangka perolehan pembangunan yang berbentuk Islamik.
Akhirnya kajian ini mengesyorkan beberapa perkara yang memerlukan kepada penelitian fatwa seperti (i)
tafsiran lebihan zakat, (ii) metodologi pengiraan had kifayah, dan (iii) sumber-sumber zakat yang lain