Terhasilnya buku ini adalah atas hasrat untuk berkongsi sedikit pengetahuan mengenai
revolusi industri terkini yang pesat berkembang mengikut peredaran masa. Sejajar dengan
kehendak pendidikan abad 21, atas kesedaran bahawa masih ramai lagi antara kita masih
kurang cakna tentang proses yang sedang pesat berlangsung ini. Dengan adanya
transformasi sebegini, proses pertumbuhan ekonomi menjadi lebih kuat dan menghasilkan
tahap produksi lebih tinggi.
Penggunaan teknologi yang semakin berkembang pesat ke serata dunia termasuklah
di Malaysia dan telah mempengaruhi manusia setiap hari hingga tidak boleh dibayangkan
bagaimana dunia hari ini tanpa penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian. Dalam
melahirkan modal insan yang berdaya saing menghadapi revolusi industri, pihak universiti
dan syarikat antarabangsa sentiasa menjalin kerjasama yang baik. Dengan adanya platform
yang canggih sebagai contoh dalam teknologi IoT ini, keupayaan berkomunikasi dengan
efisyen secara lisan dan bertulis menjadi sangat kritikal pada masa kini. Pada hari ini, sesi
perbincangan boleh dilakukan di mana-mana sahaja tanpa mengira sempadan. Oleh itu, jika
bahasa dan seni komunikasi tidak dijaga dengan baik, ia boleh menimbulkan konflik antara
komunikasi, salah faham dan kerja berpasukan yang kurang berkesan.
Penggunaan teknologi-teknologi yang canggih menjadi semakin meluas mengikut
peredaran zaman. Setiap individu perlulah meningkatkan potensi diri selaras dengan
pembangunan negara agar kita tidak jauh ketinggalan. Dengan berkembangnya
pembangunan negara yang begitu pesat ini juga, setiap individu perlu memberi sokongan
yang padu agar negara kita menjadi negara yang setanding dengan negara maju yang lain
serta menjadi negara yang kompetitif. Ternyata revolusi industri ini mempunyai banyak
kesan baik dan memberi manfaatnya kepada orang ramai tetapi jika ia tidak ditangani
dengan baik akan menyebabkan kesan buruk kepada negara