Elemen-elemen model tadbir urus koperasi di Malaysia

Abstract

Sumbangan sektor koperasi di Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara masih berada pada tahap yang tidak memuaskan. Beberapa laporan menyatakan KDNK negara hanya dicapai antara 3% hingga 4% sehingga 31 Disember 2019 berbanding dengan sasaran 10% seperti yang ditetapkan dalam Dasar Koperasi Negara (DKN) 2011-2020. Berdasarkan DKN 2011-2020, salah satu pencapaian yang menyumbang kepada peningkatan KDNK adalah kawal selia dan tadbir urus baik. Strategi pencapaian yang sama diteruskan dalam cadangan teras strategik keempat DKN 2021-2030 iaitu mewujudkan kawal selia yang berkesan. Oleh itu, bagi merungkai permasalahan kajian, objektif kajian adalah mengenalpasti elemen-elemen model tadbir urus koperasi berdasarkan kepada garis panduan tadbir urus koperasi di Malaysia dan menyiasat kesan model tadbir urus koperasi berpandukan garis panduan tadbir urus koperasi terhadap prestasi koperasi di Malaysia. Kajian ini akan menggunakan kaedah penyelidikan kuantitatif untuk mencapai objektif yang telah ditetapkan iaitu teknik soalselidik dan analisis kandungan. Pengesahan model kerangka kerja kajian akan dijalankan menggunakan teknik analisis kuantitatif menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS). Jangkaan output kajian adalah Model Tadbir Urus Koperasi yang boleh dirujuk oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia serta koperasi-koperasi. Hasil signifikan kajian ini dijangka boleh memberi input kepada pihak SKM berkaitan elemen-elemen tadbir urus koperasi yang baik serta dapat dijadikan sebagai maklumat tambahan untuk disebarluaskan kepada koperasi-koperasi di Malaysia. Peningkatan pencapaian tadbir urus koperasi dijangka dapat menyumbang kepada peningkatan perolehan koperasi yang seterusnya mencapai sasaran sumbangan kepada KDNK negara

    Similar works