'Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM Press)'
Abstract
Aliran tematik adalah berkenaan cara idea dilanjutkan ayat demi ayat dalam teks. Dengan itu,
aliran tematik merupakan unsur penting dalam penghasilan sesebuah penulisan. Kajian
penulisan tertumpu kepada kajian linguistik, pembelajaran dan pengajaran dan eksperimental
benar. Namun, kajian linguistik yang memfokuskan aliran tematik hanya mengkaji
pembinaan aliran tematik yang terkandung dalam teks tanpa melibatkan pembolehubah
kategori pelajar, manakala kajian penghasilan teks sebagai bahasa asing selain bahasa
Inggeris amat terhad dan tidak membincangkan hubungan antara pencapaian bahasa dengan
pemanfaatan jenis aliran tematik. Maka, makalah ini membahaskan penguasaan ciri aliran
tematik penulisan naratif yang dihasilkan oleh pelajar tahap lanjutan bahasa Sepanyol bukan
natif berdasarkan pembolehubah kategori pelajar dan mengenal pasti hubungannya dengan
pencapaian bahasa. Kajian ini menganalisis 30 teks naratif yang melibatkan 106 buah
perenggan. Pergerakan aliran tematik dalam setiap perenggan dianalisis berpandukan skema
aliran tematik, Rema Regresi, Rema Ulangan, Tema Rencam, Box Development dan Pair to
Single Development. Hasil kajian memaparkan, ketiga-tiga kategori pelajar mewacanakan
penulisan secara dominan menerusi aliran Tema Rencam tanpa peka kepada genre penulisan.
Pembolehubah kategori pelajar secara hakikatnya tidak memainkan peranan dan tidak
mempengaruhi pembinaan aliran tematik mereka. Tiada hubungan yang signifikan antara
aliran tematik dengan pencapaian bahasa diperolehi. Hasil penemuan ini membuktikan aliran
tematik berupaya dijadikan sebagai satu teknik yang efektif kepada guru dan pelajar untuk
membentuk dan membina sebuah penulisan yang berkesinambungan