research

Kejituan persediaan rawatan antara-pecahan dengan peranti cegah gerak yang berbeza untuk VMAT bagi pesakit kanser oral

Abstract

Kejituan persediaan rawatan dengan teknik yang kesamabentukannya tinggi seperti terapi isi padu arka termodulat (VMAT) berupaya mengurangkan dedahan dos sinaran yang berlebihan di bahagian mukosa oral. Oleh itu, satu kajian telah dijalankan untuk meningkatkan kejituan persediaan rawatan antara-pecahan rawatan dengan mengenal pasti penggunaan peranti cegah gerak yang sesuai. Seramai dua belas pesakit kanser mulut terlibat dalam kajian ini. Mereka dikategorikan kepada tiga kumpulan yang menggunakan peranti cegah gerak yang berbeza; HFW: headFIX® mouthpiece dibentuk dengan lilin, SYR: 10 cc / ml picagari dan TDW: lilin dibentuk pada kayu penekan lidah. Sebelum rawatan diberikan, pesakit menjalani radioterapi berpandukan imej (IGRT) bagi pengukuran ralat persediaan rawatan posisi. Sejumlah 292 set imej tomografi berkomputer bim-kon (CBCT) diperolehi. Perbezaan pada translasi (lateral, longitudinal, vertikal) dan rotasi (pic, guling, rewang) dalam setiap imej CBCT ditentukan. Ralat posisi pesakit dianalisis untuk aliran masa sepanjang radioterapi. Pengiraan ralat sistematik (Σ) dan rawak (σ) dilakukan dan margin CTV-PTV ditentukan. Min ± SD bagi ralat persediaan rawatan mutlak untuk HFW adalah paling rendah (p < 0.001) untuk semua ralat translasi dan arah rewang. Ralat vektor 3D adalah 1.93 ± 0.66, 3.84 ± 1.34 dan 2.79 ± 1.17 mm bagi HFW, SYR dan TDW. Terdapat peningkatan ralat vektor 3D selari dengan aliran masa antara-pecahan rawatan bagi semua peranti. Margin CTV-PTV bagi arah R-L, S-I dan A-P yang dikira adalah 3.08, 2.22 dan 0.81 mm, 3.76, 6.24 dan 5.06 mm dan 3.06, 3.45 dan 4.84 mm masing-masing. HFW menunjukkan ralat paling kecil dalam hampir semua perbandingan. Ini membuktikan HFW mempunyai kejituan dan kebolehulangan yang tinggi berbanding peranti yang lain dalam mengekalkan kedudukan pesakit. Semua margin bagi setiap peranti tidak melebihi protokol hospital (5 mm) kecuali SYR pada arah S-I dan A-P. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, seperti penyinaran semula atau organ berisiko tinggi berdekatan dengan kawasan berdos tinggi atau margin lebih rendah (3 mm) boleh mendapat manfaat daripada IGRT

    Similar works